Kali ini, projek NSX bertrailer tersebut direalisasikan sendiri oleh Honda, di mana jentera 'satu separuh' NSX Type S akan membuat kemunculan di acara perlumbaan Tire Rack One Lap of America 2023 yang dianjurkan oleh Grassroots Motorsports Magazine.

Supercar Acura NSX Type S itu standard tanpa sebarang modifikasi berat, melainkan penggunaan minyak sintetik Red Line, set rim ringan HRE serta balutan tayar berprestasi tinggi Falken.
Sementara trailer belakang pula sebenarnya diambil daripada sebuah model ujian yang telah dirancang untuk dilupuskan.

Daripada membazir, unit ujian tersebut kemudian dibelah dua untuk dijadikan sebagai trailer simpanan barang, sebelum ia dipadankan dengan sistem suspensi H&R, serta rim HRE yang dibaluti tayar Falken yang serupa.
Trailer NSX itu digunakan untuk membawa muatan termasuklah tayar simpanan serta bendalir penting yang diperlukan untuk perlumbaan. Sistem kamera belakang turut dihubungkan kepada sistem infohibur supercar ini.

Dalam perlumbaan yang akan diadakan bermula 6 Mei hingga 13 Mei itu, pasukan Honda akan turut berlumba menggunakan sedan Acura TLX Type S, di mana kedua-dua jentera ini merupakan sebahagian daripada pasukan sukarela Honda of Amerika Racing Team (HART).
Projek NSX Type S bertrailer itu merupakan projek sukan permotoran kedua khas yang dibangunkan oleh divisyen Auto Development Center Honda Amerika, selepas mereka menghasilkan jentera lumba Honda CR-V Hybrid Racer berkuasa 800 hp.