Acura ADX untuk Amerika Syarikat, 1.5 VTEC Turbo sama seperti Integra, 2WD/AWD

oleh Muhammad Md Tajudin|
Acura ADX A-Spec - Advance Package
Acura ADX A-Spec - Advance Package
Acura ADX, sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) dari jenama prestasi dan premium Honda. 

ADX berada dalam segmen SUV kompak dan Acura menyasarkannya kepada pembeli muda untuk melangkah ke dalam dunia Acura.

ADX boleh dikatakan sebagai versi mewah ZR-V (Jepun) atau HR-V (Amerika Syarikat).

Untuk makluman, HR-V pasaran AS berbeza daripada model global manakala pelanggan di Jepun ditawarkan kedua-dua HR-V dan ZR-V.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025
 Acura ADX A-Spec with Advance Package

 

Sama seperti Integra, ADX digerakkan enjin 1.5 liter VTEC Turbo. Ada sebuah lagi enjin Honda iaitu 2.0 liter hibrid dan nampaknya tidak memasuki senarai pilihan.

ADX ditawarkan dalam tiga varian iaitu ADX, A-Spec dan A-Spec dengan pakej Advance.

Kesemua varian dilengkapi AcuraWatch™, skrin pemandu digital, skrin tengah sembilan inci, ampaian talaan sport, pintu but berkuasa, sistem telematik 5G dan pelbagai lagi.

A-Spec lebih istimewa dengan pakej luar dan dalam sport, bumbung panoramik, stereng bentuk D dan rim 19 inci dengan pengalun untuk mengurangkan bunyi jalan.

 

 Acura ADX A-Spec with Advance Package

 

A-Spec dengan pakej Advance pula ditambah Sistem Dinamik Bersepadu dengan lima mod pemanduan, sistem bunyi Bang & Olufsen dan penderia parkir depan dan belakang.

Turut dilengkapi sistem kamera pandangan sekeliling, stereng dengan fungsi pemanas dan penghidup enjin kawalan jauh dengan maklum balas kenderaan.

Dari segi reka bentuk, ADX jauh berbeza daripada ZR-V sehingga kepada penutup tangki minyak.

Pakej aerodinamik ADX terdiri daripada penutup jeriji aktif, bibir bampar depan dan penutup bawah lantai untuk kecekapan bahan api.

 

 Acura ADX A-Spec with Advance Package

 

Jeriji yang menyerlah diapit liang yang mengalirkan udara melalui bampar dan melepasi roda bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik.

Penggunaan teknologi penyambungan laser (laser-brazing) menjadikan bumbung lebih kemas dan pengelap cermin depan disorokkan di sebalik tukup.

Satu lagi keistimewaan ialah warna Adriatic Sea Blue Metallic khusus untuk ADX.

Pada bahagian dalam, papan pemuka juga berbeza dan satu persamaan dengan ZR-V/HR-V yang boleh dikesan ialah panel pintu belakang.

 

 Acura ADX A-Spec with Advance Package

 

Honda tidak berkongsi mengenai kuasa enjin namun nadi L15CA pada Integra menghasilkan 200 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm dan 260Nm dari 1,800 sehingga 5,000 rpm.

Enjin dipadan bersama kotak gear CVT talaan sport dan pengguna boleh memilih pacuan dua roda atau semua roda.

Berkenaan harga, tiada angka terperinci diberi kecuali bermula daripada pertengahan AS$30,000 (RM156,440) dan bakal tiba di pengedar Acura pada awal 2025.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

 Acura ADX A-Spec with Advance Package