Acara tukar beli - Proton catat 624 tempahan baharu

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Facebook Proton
Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd mencatatkan 624 tempahan baharu menerusi acara tukar beli "Trade-in Trade-Up Saturday" dengan kerjasama syarikat pembidaan dalam talian (EBC) Carsome, baru-baru ini.

Kerjasama pertama kali antara pengeluar peralatan asal (OEM) dan EBC yang melibatkan 32 cawangan Proton itu menarik perhatian seramai 1,552 pengunjung, dengan 320 pelanggan memilih untuk menukar kenderaan semasa mereka, kata Proton dalam satu kenyataan pada Rabu.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

"Carsome juga menjalankan pemeriksaan ke atas 489 unit kenderaan pada hari tersebut, jauh melebihi jangkaan awal sebanyak 320 unit yang ditetapkan sebelum acara itu,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, "Memandangkan jumlah jualan kami terus berkembang, syarikat wajar mempertimbangkan cara untuk memudahkan pengambilan, pengedaran dan pelupusan kereta terpakai bagi menyokong tempahan baharu.

"Bahagian pengurusan kereta terpakai kami telah dibentuk untuk mencapai matlamat ini dan dengan bekerjasama dengan EBC, kami dapat menawarkan proses yang lebih cekap dan telus yang memudahkan pelanggan ke arah memiliki kereta baharu.

"Dengan lebih banyak pilihan untuk mereka tukar dan beli, adalah penting bagi kami untuk mengekalkan pelanggan semasa kami dalam jenama dan salah satu cara adalah untuk menstabilkan nilai kereta terpakai kami bersama-sama rakan kongsi kami,” katanya.

Bagi 2023, pengeluar kereta nasional itu berkata, bahagian pengurusan kereta terpakai telah menerima lebih 4,500 unit kereta melalui 32 cawangannya dan berada di landasan untuk mencipta rekod baharu menjelang akhir tahun.

 

Sinar Harian