Abarth 500e 2023 dilancarkan - hot hatch EV berkuasa 153 hp, 235 Nm

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat pengeluar kereta berprestasi tinggi Abarth baharu sahaja melancarkan model elektrik penuh pertama jenama itu dengan menggunakan asas daripada Fiat 500e, iaitu Abarth 500e.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Berbanding model penderma yang tampak sopan, Abarth telah mengubah beberapa aspek bagi menjadikannya lebih agresif, dan lebih berkuasa.

Pertama sekali, motor elektrik tunggal itu telah ditala semula bagi menghamburkan kuasa setinggi 153 hp dan 235 Nm, atau peningkatan sebanyak 36 hp dan 15 Nm berbanding Fiat 500e.
 

500e


Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas tujuh saat, namun Abarth menyifatkan 500e sebagai sebuah hot hatch yang pantas dan mengujakan untuk pemanduan urban dan suburban.

Abarth tidak mendedahkan naiktaraf yang dibuat terhadap casis 500e ini, namun besar kemungkinan ia diberikan sistem suspensi yang lebih keras serta nisbah stereng yang lebih cepat.

Ini adalah berdasarkan pencapaian 500e satu saat lebih pantas di Misto Alfa Handling Track berbanding model Abarth 695.
 

500e


Selain daripada warna Acid Green, Abarth 500e dipasangkan dengan rim aloi 18 inci, grafik Abarth, skirt sisi unik dan diffuser pada bahagian belakang tanpa kehadiran tip ekzos.

Terdapat tiga mod pemanduan, di mana mod Turismo mengehadkan kuasa kepada 134 hp/220 Nm untuk tahap kecekapan yang lebih baik, Scorpion Street untuk prestasi penuh dengan tahap brek regeneratif maksimum, dan Scorpion Track untuk mod serangan penuh.

Pek bateri 42 kWh dikekalkan, namun dibantu dengan sistem pengecasan pantas 85 kW yang membolehkan penambahan jarak 40 km dalam masa kurang lima minit, atau pengecasan 0-80 peratus dalam 35 minit sahaja.
 

500e


Abarth turut mendatangkan sistem penjanaan bunyi untuk hot hatch comel ini.

Untuk pemanduan kelajuan melebihi 20 km/j, ia akan memainkan irama 'strumming guitar', dan opsyen 'Sound Generator' yang mampu meniru deruman enjin petrol Abarth.

Bersempena dengan pelancaran model hot hatch ini, Abarth turut mengumumkan kehadiran 500e edisi Scorpionissima yang dihasilkan sebanyak 1,949 unit bersempena dengan tarikh penubuhan Abarth, dengan ciri-ciri seperti berikut:
- warna Acid Green atau Poison Blue
- rim aloi potongan berlian Titanium Grey 18 inci
- bumbung kaca kekal
- upholsteri Alcantara
- tempat duduk jenis bucket
- pedal keluli
- kemasan Titanium Grey
- lencana Acid Green Scorpion
- grafik Performance Pages unik pada skrin kluster digital dan skrin tengah 10.25 inci