AAM hilang kuasa - acara anjurannya tidak lagi sah? 

oleh HEZERI SAMSURI|
Persatuan Otomobil Malaysia, AAM dikatakan telah dilucutkan tarafnya sebagai sebuah badan sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan negara.

Menurut sumber Careta yang sangat arif berkaitan sukan permotoran dunia, Pesuruhjaya Sukan Malaysia dikatakan sudah memberitahu secara rasmi kepada Presiden FIA, Jean Todt pada awal bulan ini berkaitan pelucutan AAM sebagai sebuah badan sukan yang diiktiraf oleh pihak kerajaan Malaysia.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Alasan yang diberikan untuk pelucutan itu ialah kegagalan AAM untuk mematuhi undang-undang yang dipersetujui di bawah Akta tersebut.

Pelucutan itu bermula dari 30 November 2018 dan jika ia benar, Seksyen 25 (1) Akta Pembangunan Sukan menerangkan bahawa AAM tidak boleh menganjurkan, mengiktirafkan atau mengambil bahagian di dalam mana-mana acara yang membabitkan sukan permotoran, di dalam dan di luar Malaysia.

Ia juga tidak akan lagi menerima sebarang dana dari kerajaan atau Majlis Sukan Nasional atau badan-badan berkanun yang lain.

AAM seterusnya tidak layak untuk menjadi ahli kepada mana-mana institusi atau perbadanan dan AAM tidak boleh menguruskan atau menjadi wakil kepada mana-mana badan kesukanan di Malaysia.

AAM turut tidak dibenarkan menggunakan perkataan "Malaysia" untuk apa juga aktivitinya atau di dalam surat atau cara komunikasi yang memberikan gambaran acara itu dianjurkan oleh mereka bagi pihak negara Malaysia.

Desas-desus ini mula muncul pada hujung tahun 2018 tetapi tidak ada apa-apa sumber yang kukuh atau rasmi.

Drama AAM sendiri sudah bermula lebih awal bila organisasi itu dikatakan menutup operasi perkhidmatan bantuan kepada ahli-ahlinya kerana masalah kewangan.

Namun begitu, unit sukan permotoran di bawah AAM masih beroperasi. Careta diberitahu oleh sumber bahawa AAM masih mengeluarkan lesen sukan permotoran untuk pemandu dan penunggang yang mahu berlumba.

Menurut Timbalan Presiden AAM, Wan Zaharudin Wan Ahmad ketika majlis AAM Malaysian Motorsports Blueprint Forum tahun lalu, ada lebih dari 1,000 orang pemegang lesen sukan permotoran di Malaysia

Apa yang merungsingkan Careta ialah jika benar AAM sudah dilucutkan kelayakan mereka, segala acara sukan permotoran yang dianjurkan oleh organisasi itu boleh dianggap tidak sah dan mungkin akan menyebabkan isu lain, terutama proses insuran.

Kecederaan dan kematian di dalam sukan permotoran bukan satu perkara baharu dan tanpa perlindungan insuran lengkap, ia akan membawa nama buruk kepada negara.

Namun begitu, beberapa individu yang aktif di dalam sukan permotoran negara berkata Pesuruhjaya Sukan Malaysia tidak mempunyai hak untuk melucutkan status itu dari AAM.

Arahan pelucutan akan hanya diiktiraf jika ia datang dari FIA sendiri, badan induk sukan permotoran dunia. FIA pula tidak akan melucutkan sebarang organisasi tanpa mengumumkan pengganti.

Ada juga sumber yang berkata bahawa sekiranya AAM dilucutkan statusnya oleh FIA, ada kemungkinan FIA akan meminta badan sukan permotoran negara berdekatan untuk menjadi organisasi yang bertanggung-jawab mengganti tugas AAM di Malaysia.

Careta sedang menunggu respon dari Kementerian Belia dan Sukan serta pihak AAM sendiri.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perhimpunan Agung FIA di Paris semalam bersetuju untuk meluluskan penambahan masa bagi MAM yang…
Berita Domestik
Pelantikan tersebut dibuat semasa Perhimpunan Agung Tahunan FIM yang diadakan di Monaco baru-baru…
Berita Domestik
Perbincangan antara penggiat sukan bermotor dan pihak AAM yang menhadiri forum AAM Motorsport…