AAA - terlalu banyak nama untuk sistem bantuan pemanduan mampu kelirukan pengguna

oleh Mohamad Hanif|

Sudah tidak menghairankan apabila para pengeluar masa kini berlumba-lumba untuk menghasilkan sebuah kenderaan yang lebih selamat dengan penawaran ciri bantuan pemanduan yang termaju. 

Malah, ciri seperti sistem pemantauan titik buta dan brek kecemasan automatik yang dahulunya hanya terdapat pada kenderaan mewah sudah pun dilengkapi pada kenderaan yang lebih kecil segmennya. 

Malangnya, keghairahan para pengeluar untuk hadir dengan versi keselamatan tersendiri dikatakan mampu mengelirukan para pengguna - berlawanan dengan tujuan asal untuk memberikan kesedaran. 

Isu ini dibangkitkan oleh American Automobile Association (AAA) dengan memberikan beberapa contoh ciri bantuan pemanduan yang umum dengan pelbagai nama yang didapati daripada setiap pengeluar. 
 


Ciri brek kecemasan automatik (Automatic Emergency Braking, AEB) menduduki tempat pertama dengan lebih daripada 40 designasi unik yang dikhaskan kepada ciri tersebut, dan di tempat kedua pula jatuh kepada ciri kawalan pelayaran adaptif (Adaptive Cruise Control) dan kamera pandang sekeliling (Surround View Camera), masing-masing mencatatkan 20 nama yang berbeza. 

Berikut merupakan antara ciri yang dikesan dengan bilangan nama yang berbeza daripada pengeluar:

  • Automatic High Beams - 18 nama
  • Rear Cross Traffic Alert - 15
  • Driver Alertness Warning - 13
  • Automatic Parking - 12
  • Forward Collision Warning - 8
  • Night Vision - 5
  • Pedestrian Detection - 5

Secara jujurnya, penulis juga ada kalanya sedikit keliru dengan penggunaan nama yang pelbagai namun pada hakikatnya ia menjalankan tugas dan fungsi yang lebih kurang serupa. 

Tiada salahnya untuk para pengeluar hadir dengan nama masing-masing, akan tetapi untuk ciri-ciri keselamatan ini, nama-nama umum ini sewajarnya digunakan kembali untuk memudahkan pendidikan terhadap para pengguna yang lebih berkesan. 

Sumber: Autoblog dan AAA.

Add new comment