Kajian yang dijalankan oleh German Institute for Applied Ecology (Oko-Institut) itu melibatkan 57 syarikat pengangkutan yang telah menggunakan lori elektrik sekurang-kurangnya selama setahun. Secara keseluruhan, syarikat terbabit memiliki lebih 300 unit lori elektrik.

Menurut hasil kajian tersebut, sebanyak 93 peratus pemilik lori elektrik menyatakan mereka “berpuas hati” atau “sangat berpuas hati” dengan pengalaman penggunaan EV truck.
Antara faktor utama yang dipuji termasuk tahap kebolehpercayaan tinggi, keselesaan pemanduan lebih baik serta kos operasi yang lebih rendah berbanding lori diesel konvensional.
Kos Permulaan Masih Jadi Cabaran
Walaupun majoriti memberikan maklum balas positif, beberapa cabaran masih dikenal pasti.
Kos pembelian awal yang tinggi menjadi isu utama, selain kesukaran memperluaskan sambungan grid elektrik untuk depot pengecasan lori elektrik berskala besar.
Kajian itu turut mendapati purata kapasiti sambungan grid di depot syarikat yang terlibat mencecah 1,115 kW, manakala purata kuasa pengecasan yang dipasang adalah sekitar 629 kW.
Pengendali lori turut menyatakan pengecualian tol jalan raya memainkan peranan penting dalam menggalakkan lebih banyak penggunaan lori elektrik pada masa depan.
Jarak Operasi Harian Cecah 500 KM
Sekitar 40 peratus syarikat yang disurvei dilaporkan mengendalikan lori elektrik dengan jarak perjalanan harian melebihi 500 kilometer.
Secara purata, lori elektrik dalam kajian tersebut mencatatkan perjalanan harian sekitar 432 km melibatkan pelbagai kategori kenderaan komersial, daripada van 3.5 tan sehingga lori haulage 18 tan.
Menariknya, lori elektrik juga didapati sedikit lebih boleh dipercayai berbanding lori diesel dari sudut masalah teknikal.
Sebanyak 16 peratus responden menyatakan lori elektrik mengalami masalah jauh lebih sedikit berbanding diesel, manakala hanya 7 peratus berkata masalah berlaku dengan lebih kerap.
Pengecasan Awam Masih Tidak Praktikal
Kajian itu turut mendapati kebanyakan syarikat lebih gemar mengecas lori elektrik di depot sendiri.

Kurang daripada lima peratus sesi pengecasan dilakukan di stesen pengecas awam kerana kebanyakan fasiliti sedia ada tidak mempunyai ruang mencukupi untuk lori bersaiz besar.
Selain itu, harga pengecasan yang tinggi serta kekurangan ketelusan kos di stesen awam turut menjadi rungutan utama pengendali.
Berdasarkan hasil kajian tersebut, sebanyak 93 peratus responden percaya lori elektrik bakal menjadi kenderaan standard dalam operasi syarikat mereka menjelang tahun 2030.

Kajian itu turut melibatkan pelanggan Daimler Truck di Eropah yang menggunakan model seperti Mercedes-Benz eActros, eEconic dan eArocs.
Sumber: EV Insider