Di bawah adalah antara 10 informasi yang ramai tidak tahu berkaitan Proton Waja ini.
1. Proton tidak terbabit langsung
Proton sebenarnya tidak terbabit langsung di dalam projek Waja BTCC ini.
Malah segala kerja teknikal untuk menjadikan Waja itu kepada kenderaan BTCC tidak dilakukan langsung di Malaysia.
Penulis juga diberitahu, segala alat ganti turut dibeli sendiri oleh Petronas.
Kerana itu, Waja BTCC ini tidak ada dalam pegangan Proton dan ia tidak digunakan untuk sebarang promosi dari Proton.
Petronas bagaimanapun mahu menggunakan nama Proton di dalam nama rasmi pasukan itu, Petronas Syntium Proton atas dasar semangat patriotik mereka.
2. Projek Waja BTCC ini bermula di Afrika Selatan
Pelan cadangan projek Waja BTCC ini bermula di Afrika Selatan kerana dalam tahun 2002, Petronas sudah mula terbabit di dalam kejohanan siri perlumbaan di negara itu.
Projek ini kemudian dibantu oleh sebuah syarikat penalaan di Australia sebelum ia dibawa ke Norfolk, UK untuk dihasilkan.
Kerana itu, pasukan PSP ini mempunyai ibupejabat di UK.
5. Komponen sistem gantungan ditukar 100 peratus
Sistem gantungan jentera BTCC ini ditukar ke komponen khas untuk perlumbaan.
Bahagian hadapan menggunakan pegas MacPherson dengan lower wishbone yang diringankan, peredam Penske dan pegas Eibach.
Bahagian belakang menggunakan komponen-komponen yang diringankan dan peredam Penske serta pegas Eibach.
Bermula tahun 2004, peredam Penske telah ditukar kepada Ohlins.
6. Fariqe Haruman adalah pemandu Malaysia pertama dalam Waja BTCC
Fariqe Haruman adalah anak tempatan pertama yang memandu Waja ini di dalam siri perlumbaan BTCC itu.
Cara anak kelahiran Johor ini menjadi pemandu untuk pasukan ini juga sangat menarik - pasukan PSP dan Petronas mahu mencuba mendidik seorang pemandu yang tidak ada langsung pengalaman berlumba.
Fariqe yang ketika itu bertugas sebagai marshal sambilan di litar Pasir Gudang dipilih secara rawak (ayahnya adalah Clerk of Course untuk litar itu).
Menurut wawancara penulis bersama mendiang David Wong, beliau melihat Fariqe di tepi litar dan beliau terus berkata, "Nampak budak tu? Kita ambil dia dan kita latih dia."
Ternyata Fariqe memang berusaha keras dan beliau menjadi antara pelumba ternama dalam kejohanan tersebut, dan di sirkit perlumbaan kereta di Asia sehingga kini.
7. Nama Fariqe memang dieja tanpa U dan beliau handal memasak!
Mungkin ramai yang terbaca laporan berkaitan Fariqe di dalam akhbar dan majalah serta laman web. Ejaan nama sebenar beliau ialah Fariqe, bukan Farique!
Namun beliau sebenarnya lebih dikenali dengan nama Wak Tempe di kalangan rakan-rakan perlumbaan.
Fariqe juga pernah mempunyai restoran steambot di Johor Bahru tetapi kini lebih menumpukan perhatian kepada perniagaan katering milik keluarganya.
8. Proton Waja BTCC menjadi underdog terkenal
Semasa awal-awal pembabitan Proton Waja di dalam BTCC, ia mula terkenal apabila mampu memintas kenderaan-kenderaan lain seperti BMW 3-Series dan sebagainya.
Media UK langsung terkesima dengan kehandalan Waja tersebut dan mereka makin kagum apabila mengetahui Waja itu bukannya pasukan rasmi dari Proton. Ia bukan Works Team, tetapi pasukan satelit di bawah Petronas!
Fariqe juga menempa nama sebagai pemandu handal dari Asia kerana beliau mampu bertarung dengan pelumba-pelumba Eropah lain dengan jentera-jentera "works" rasmi.
9. Di manakah Proton Waja BTCC itu?
Pastinya bukan di Proton dan sayang sekali Petronas sendiri tidak mahu menyimpannya.
Menurut Fariqe, Waja BTCC itu disimpan di New Zealand oleh salah seorang mekanik pasukan PSP dan ia dalam proses restorasi.
Jika ada yang mahu membeli Waja BTCC itu, boleh hubungi Fariqe di Facebook beliau!
* Penulis ingin mengucapkan terima kasih kepada Wak Tempe yang membantu dalam memastikan fakta-fakta dalam artikel ini lebih lengkap.