82 peratus kenderaan PDRM N9 lebih had usia

oleh Mohamad Hanif|
Sebanyak 82 peratus daripada keseluruhan 827 kenderaan pelbagai jenis milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah melebihi had usia penggunaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata bagaimanapun aset berkenaan akan digantikan mengikut kemampuan bajet yang diperuntukkan kerajaan secara berperingkat dari masa ke masa.

Beliau berkata pada masa ini kenderaan berkenaan masih dapat digunakan susulan penyeliaan dan  penyelenggaraan mengikut jadual bagi memudahkan penugasan anggota.

“Itu sebabnya kita masih lagi dapat menggunakan kenderaan itu, dari masa ke masa kita akan gantikan kenderaan tersebut dalam melaksanakan tanggungjawab kita di setiap kontinjen dengan baik.

“Kita yakin bahawa kenderaan yang ada di kontinjen ini masih dapat digunakan dan kita dapat selenggara dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas program penyerahan kenderaan pasukan kepada ketua polis daerah dalam kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mazlan berkata pengurusan aset berusia itu melibatkan kos yang tinggi dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani memandangkan tempoh penggunaannya sekurang-kurangnya melebihi 15 tahun.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PDRM menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan baru-baru ini turut memperoleh kelulusan untuk melaksanakan lapan projek fizikal dan 21 projek bukan fizikal namun masih menunggu penyenaraian projek daripada Kementerian Dalam Negeri.

Sebanyak 25 kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo dan van Go Auto Higer Ace diserahkan hari ini kepada kontinjen Negeri Sembilan daripada keseluruhan 640 unit yang diedarkan di seluruh negara melibatkan kos RM108 juta bagi kegunaan penugasan termasuk sekatan jalan raya serta mengangkut barangan dan aset.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop dalam ucapannya melahirkan penghargaan kepada Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM yang sentiasa berusaha menguruskan kenderaan pasukan sedia ada sebaik mungkin meskipun dengan peruntukan yang terhad.

“Usaha penambahbaikan yang sedang dilaksanakan akan diteruskan malah dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
"Empat skuter elektrik diserahkan untuk kegunaan pasukan keselamatan di KLIA Terminal 1 dan 2,…
Berita Domestik
"Menyusahkan oranglah engkau ni. Sebab kau bodoh la kau kerja tol. Buka! Buka! Kalau pandai kau tak…
Informasi
Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai masalah kesihatan dan tidak lagi…