8 model baharu Modenas-Kawasaki tahun ini, tumpu segmen bawah 700 cc!

oleh Mohamad Hanif|
Seperti mana yang kita semua maklum, Kawasaki Heavy Industries telah meningkatkan pegangan di dalam Modenas lebih daripada 30 peratus, dan sudah tentu banyak perancangan yang telah dibuat khusus untuk pasaran Malaysia.

Dan dalam satu temuramah yang dijalankan bersama CEO Modenas, Roslan Roskan ketika pengumuman NAP 2020 sebentar tadi, beberapa informasi lanjut telah berjaya dikorek untuk makluman anda. 

Menjelang pertengahan tahun ini (2H 2020), sebanyak lapan model baharu yang telah dirancang oleh Kawasaki-Modenas akan diperkenalkan secara berperingkat termasuklah model pertama pemasangan Gurun - Modenas Ninja 250 SE ABS. 

Tambah beliau lagi, sehingga kini jumlah nilai pelaburan tambahan mencecah sehingga RM5 juta untuk menghasilkan barisan produksi baharu, renovasi fasiliti, penambahan komponen serta fasiliti pengujian motosikal baharu di Gurun, Kedah, dengan target kandungan tempatan mencecah setinggi 50 peratus!

 


Modenas mensasarkan jumlah produksi tahunan sebanyak 1,000 unit untuk model baharu yang dibangunkan bersama Kawasaki, dan jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa. 

Roslan juga turut mengumumkan pengkhususan Modenas-Kawasaki, di mana mereka bercadang untuk menumpukan perhatian pada motosikal di bawah sesaran 700 cc terlebih dahulu termasuklah segmen street bike, moped dan juga skuter. 

Manakala segmen melebihi 700 cc masih tiada di dalam perancangan, memandangkan masih tiada lagi pengumuman rasmi daripada Kawasaki Motors Malaysia. 

Adakah ini bermakna Kawasaki akan turut memasang model seperti Kawasaki Ninja ZX-25R?
 


Jawapan yang diterima setakat ini masih lagi tiada kata putus sama ada untuk memasang motosikal yang dinanti-nantikan oleh para peminatnya ini di Malaysia. 

Harga jualan pula hanya akan turut diumumkan menjelang separuh kedua tahun ini, namun melihatkan kepada posisi Modenas sebagai sebuah syarikat nasional, mereka akan memastikan harga jualan akan kekal kompetitif di dalam segmen yang tersendiri. 

 

Add new comment

Careta Ad