7 trak pikap elektrik selain Tesla Cybertruck

oleh Mohamad Hanif|
Pelancaran trak pikap elektrik Tesla Cybertruck tempoh hari menimbulkan pelbagai reaksi, tidak kurang yang mencela, tidak sedikit pula yang menerima rekaan bersegi tersebut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, bagi mereka yang meminati segmen trak pikap sifar emisi ini usah terlupa kerana selain daripada Tesla Cybertruck, sudah terdapat kira-kira tujuh buah model trak pikap elektrik menanti untuk memeriahkan segmen tersebut. 

 


Sekadar imbas kembali, Tesla Cybertruck didatangkan dengan tiga konfigurasi motor elektrik (tunggal, berkembar dan tiga unit motor elektrik) dengan jarak operasi yang mampu mencecah sehingga 800 km untuk sekali cas penuh. 

Dari segi prestasi dunia nyata, ia mampu memecut sepantas 2.9 saat dengan keupayaan mengangkut beban sehingga 1,600 kilogram dan keupayaan menunda sehingga 6,350 kilogram. 

Baca: Tesla Cybertruck

Berikut merupakan pencabar-pencabar yang bakal hadir dalam masa terdekat:

 

1. Ford F-150 Electric


Dibangun menggunakan platform trak pikap paling popular di Amerika, Ford juga bakal hadir dengan trak pikap elektrik tersendiri tidak lama lagi. 

Walaupun Ford tidak mendedahkan angka spesifikasi secara rasmi, Ford F-150 Electric tersebut berjaya menunjukkan keupayaan untuk menunda muatan seberat 567 tan sepanjang 305 meter. 

Ford menyifatkan keupayaan tersebut jauh mengatasi keupayaan yang ditunjukkan oleh mana-mana trak pikap (pada ketika itu). 

Baca: Ford F-150 Electric tarik gerabak keretapi
 

2. Rivian R1T


Syarikat yang berpengkalan di Michigan ini turut menerima pelaburan daripada Ford untuk membangunkan trak pikap R1T menggunakan platform papan selaju. 

Platform ini memposisikan pek bateri jauh rendah pada dasar kenderaan, menawarkan titik graviti yang lebih rendah dan tahap pengendalian yang setanding dengan sedan sport. 

Ditawarkan dalam tiga varian pek bateri, Rivian R1T mampu mencecah jarak operasi sejauh 644 km manakala kuasa yang terhambur daripada empat motor elektrik mampu mencapai angka 700 hp dan daya kilas 1,120 Nm. 

Kelebihan platform ini tidak terhenti setakat itu, malah trak pikap ini mampu menawarkan ruang kargo yang lebih besar - cukup sesuai untuk dijadikan kenderan seharian.

Baca: Rivian R1T

 

3. Bollinger B2


Menggunakan input daripada model prototaip B1, Bollinger kini mampu menghasilkan sebuah produk B2 yang lebih baik dan lebih sempurna. 

Bollinger B2 memiliki rupa paras kekotakan seakan sebuah Land Rover Defender, dengan konfigurasi motor elektrik berkembar menghasilkan 614 kuasa kuda dan 906 Nm daya kilas. 

Bollinger B2 memiliki badan yang diperbuat daripada aluminium dan turut didatangkan dengan kotak gear dua kelajuan, serta kotak gear Hi/Lo Range untuk kegunaan off-road. 

Dari segi prestasi, ia mampu mengangkut beban seberat 2,268 kg dengan keupayaan menunda sehingga 3,402 kg. 

Jarak operasi pula mampu mencecah sehingga 322 km mengikut data EPA.

Baca: Bollinger B2 

 

4. Hercules EV


Tidak banyak informasi yang didengari berkenaan jenama yang satu ini, namun berdasarkan carian di laman web Hercules, trak pikap elektrik segmen mewah ini dikatakan mempunyai empat motor elektrik berkuasa 1,000 hp. 

Ia juga turut menyokong sistem pengecasan pantas DC dengan jarak operasi yang mampu mencapai sehingga 483 km untuk sekali cas penuh.

Trak pikap Hercules EV ini juga berupaya mengangkut beban sehingga 1,588 kg. 

Spesifikasi penuh bakal didedahkan menjelang tahun hadapan. 

 

5. Lordstown Motors Endurance


Dalam masa yang sama Tesla memperkenalkan trak pikap elektrik mereka, Lordstown juga turut mengambil kesempatan mendedahkan trak pikap mereka yang digelar sebagai Endurance. 

Menggunakan lokasi lama kilang GM sebagai tempat pemasangan di Lordstown, Ohio, pengeluar tersebut hanya sekadar mendedahkan lakaran rasmi trak pikap dan bukan berbentuk produk sebenar. 

Trak pikap Endurance ini bakal menggunakan empat unit motor elektrik dikatakan mampu mengurangkan jumlah komponen yang bergerak, sekaligus mengurangkan amaun kerosakan jika dibandingkan dengan trak pikap konvensional. 

Tidak banyak info yang diketahui selain menggunakan teknologi trenkuasa yang dilesenkan daripada Workhorse. 

Menariknya, pengasas Workhorse, Steve Burns sebenarnya merupakan CEO dan pengasas jenama Lordstown itu sendiri. Beliau dibantu oleh bekas ketua unit pembuatan Tesla, Rich Schmidt. 

 

6. Neuron EV


Sebuah lagi pendatang baharu di dalam segmen kenderaan elektrik adalah Neuron EV, di mana mereka kini memperlihatkan prototaip trak pikap yang digelar sebagai T.One. 

T.One juga turut dibangunkan menggunakan platform papan selaju di mana ia memiliki tahap versatiliti tersendiri dan boleh dikonfigurasikan mengikut keperluan pengguna. 

Daripada sebuah trak pikap kabin tunggal, sehinggalah kepada sebuah minivan tiga baris dan masih mampu menawarkan ruang kargo yang besar di belakang. 

Tidak banyak info yang didedahkan, namun Neuron EV bakal mempamerkan model ini pada acara Hongqiao Import Commercial Exhibition and Trading Centre pada bulan hadapan bersama-sama model prototaip trak semi TORQ.

Baca: Neuron T.One
 

7. GM


Sebuah lagi pengeluar automotif ternama GM bakal hadir dengan produk trak pikap elektrik tersendiri bagi memberikan saingan kepada Ford F-150 Electric. 

Hal ini disahkan sendiri oleh CEO GM, Mary Barra dalam satu pengumuman di mana ia bakal hadir ke pasaran menjelang tahun 2021. 

GM berkemungkinan besar akan menggunapakai platform Silverado sedia ada bagi mengurangkan kos pembangunan. 

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Kita sedia maklum bahawa rekaan Cybertruck sememangnya sukar untuk dihadam, lebih-lebih lagi…
Gaya Hidup
Bagi merancakkan lagi rangkaian produk Cybertruck, Tesla telah memperkenalkan satu lagi varian yang…
Pelancaran
Dipertontonkan buat pertama kali pada tahun 2019, harga rasmi yang diumumkan 50 peratus lebih…