7 sebab Mitsubishi Triton Adventure-X buat pemilik powil lain hampa

oleh HEZERI SAMSURI|
Jualan trak pikap di Malaysia memang selalu dijuarai oleh Toyota Hilux.

Ini memang tidak boleh dinafikan lagi kerana ia mempunyai peminat tegar di Sabah dan Sarawak - pasaran yang cukup besar dan menyebabkan takhta itu tidak boleh dicabar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun begitu, tangga kedua sering menjadi rebutan antara Isuzu D-Max, Ford Ranger, Nissan Navara dan Mitsubishi Triton.

Triton mula menangkap hati pembeli sejak penghujung tahun 2019, dengan rekabentuk yang lebih agresif serta beberapa ciri-ciri unik yang menjadikan ia lebih berbaloi untuk harga yang dipinta.

Untuk penulis, trak pikap adalah satu genre kenderaan yang sangat rapat di hati. Perkembangan teknologi, kualiti, prestasi dan keselesaan trak pikap memang sudah jauh berubah sejak 20 tahun lalu.

Selepas dua minggu bersama Triton Adventure-X, penulis sudah yakin ini adalah beberapa fakta ringkas kenapa Triton varian Adventure-X makin menarik perhatian ramai, dan kini Triton menjadi trak pikap nombor dua paling popular di dalam pasaran tempatan.

 

 

1. Rekabentuk jantan, menarik perhatian

Dari rekabentuk futuristik ala Storm Trooper dari Star Wars, Triton generasi sekarang muncul dengan bahagian hadapan yang sangat agresif.

Stailing Dynamic Shield yang digunakan, digabungkan dengan lampu hadapan LED, lampu kabus besar di sisi dan hiasan bahagian bawah bamper hadapan yang berani itu menjadikan ia trak paling garang di atas jalanraya.

Dengan warna Sun Flare Orange khusus untuk varian Adventure X, makin terserlah bentuknya.

 

 

2. Corong udara di siling 

Corong pendingin hawa untuk penumpang belakang selalunya diletakkan di bahagian hujung konsol tengah.

Sebenarnya, masih ada trak pikap yang tidak ada langsung corong udara tersebut kerana ruang kabin yang kecil sebenarnya tidak memerlukan tambahan corong itu pun.

Namun  bila Mitsubishi membuat keputusan untuk menggunakan corong pendingin hawa belakang itu diletakkan di bahagian siling, semua orang terkejut.

Faktor "wow" ini memang sukar untuk dinafikan dan sekarang, penumpang belakang Triton tidak akan merungut udara sejuk tidak sampai ke mereka!

 

 

3. Tempat duduk belakang paling selesa

Tempat duduk belakang untuk trak pikap selalunya menegak dan kerana yang membeli selalunya memandu, ia bukan faktor penting dan tidak diendahkan, sehingga ibu mertua mengadu trak jantan menantunya ini tidak selesa.

Baiklah, Mitsubishi mendengar keluhan ibu mertua mu itu dan tempat duduk belakang Triton diberikan sudut condong yang lebih agar selesa. 

Malah penulis rasa ia jauh lebih selesa dari tempat duduk belakang kereta sedan seperti Perodua Bezza.

Ruang kaki juga luas dan rata, serta ada tempat alas lengan di tengah.

 

 

4. Enjin yang bertenaga

Triton menggunakan enjin 4N15 2.4L Mivec VGT Turbodiesel yang menghamburkan 181 PS dan 430 Nm. 

Ia bukan enjin yang paling berkuasa, tetapi ia juga bukan enjin yang paling lengai.

Apa yang penting, penyampaian tenaga oleh enjin Triton ini lebih ke arah apa yang sepatutnya disampaikan oleh sebuah trak 4X4 berenjin diesel.

Ia mempunyai rasa "gradual" yang penting bila kita menyusuri jalan offroad. Maksudnya, ia tidak terus melonjak bila pendikit di tekan.  Enjin yang terlalu lancar akan memberikan perasaan sebuah kereta, dan kereta tidak dipandu di dalam kawasan offroad yang sukar. 

Enjin Mivec ini juga "punchy", atau mampu menghamburkan tenaga pada waktu yang diperlukan. Dalam erti kata lain, ini ialah enjin trak pikap sejati yang akan dinikmati oleh peminat tegar 4X4 diesel.

 

 

5. Transmisi lasak dan sistem 4X4 paling MANTAP dalam pasaran

Untuk varian Triton Adventure X, ia menggunakan transmisi automatik 6-kelajuan dan sistem Super Select 4WD-II.

Seperti biasa, Jepun suka menggunakan nama-nama yang berbelit dan membuatkan orang Malaysia malas hendak mengetahuinya. Di sini, Careta jelaskan dengan mudah.

Triton Super Select 4WD-II mempunyai empat mod:

  1. 2H (4X2 High Range)
    • Pacuan roda belakang sahaja.
    • Memberikan penggunaan bahan api yang paling rendah dan pecutan paling tegar.
  2. 4H (4X4 High Range)
    • Pacuan keempat-empat roda.
    • Oleh kerana ia menggunakan "viscous coupling", ia mampu membezakan tenaga yang dihantar ke setiap roda.
    • Hasilnya, anda boleh memecut laju di atas jalan tar dengan 4H dan mendapat kelebihan yang hampir sama dengan sistem 4WD pada SUV-SUV mewah.
    • *Anda boleh menukar mod 2H ke 4H pada kelajuan di bawah 100 kmsj, tetapi pedal pendikit harus diangkat agar klac boleh bertukar dengan lebih sempurna dan tahan lebih lama.
    • super select 4wD ii

       

  3. 4HLc (4X4 High dengan Centre Differential dikunci)
    • Pacuan empat roda dengan centre differential dikunci.
    • Tidak boleh digunakan di atas jalan tar atau jalan yang mempunyai cengkaman yang tinggi kerana keempat-empat roda itu perlu dibenarkan sedikit ruang untuk "slip".
    • Mod 4HLc memberikan cengkaman yang jauh lebih tinggi dari 4H dan boleh digunakan pada kelajuan dalam 30 kmsj.
    • Ia sesuai untuk jalan-jalan berlumpur dan lasak yang memberikan anda ruang untuk bergerak lebih laju dari mod merangkak.
  4. 4LLc (4X4 Low dengan Centre Differentual dikunci)
    • Pacuan empat roda dengan nisbah rendah, atau mod merangkak.
    • Ini ialah bila keadaan permukaan menjadi sangat ekstrem dan anda perlukan semua tenaga untuk dihantar ke roda.
    • Kelajuan selalunya di bawah 30 kmsj atau kelajuan anda merangkak (kecuali mereka yang ada sakit gout).
    • * Untuk mod 4HLc dan 4LLc, Triton anda perlu berhenti dalam keadaan pegun. Jika tidak, transmisi Super Select 4WD II anda akan menjadi "bil super" dari mekanik anda.

 

 

6. Mod Offroad macam Range Rover

Bila anda menggunakan mod-mod pacuan empat roda, sistem Super Select 4WD II akan memberikan anda empat lagi mod pemanduan offroad yang akan dibantu oleh sistem komputer.

Tidak seperti pesaingnya, sistem ini aktif untuk kedua-dua gandar Triton, bermakna keempat-empat roda Triton ini dikawal oleh komputer untuk membantu anda mencari cengkaman maksimum dalam empat permukaan yang anda boleh pilih:

  • Gravel - Tanah
  • Sand - Pasiaq
  • Mud/Snow - Lumpur atau mana tahu, salji
  • Rock - Search, Wings, Bloodshed. Eh bukan. Permukaan berbatu.

 

 

7. Sistem keselamatan canggih untuk harganya

Selain dari tujuh beg udara, Triton Adventure X lengkap dengan:

  • Lampu projektor Bi-LED untuk lampu rendah dan tinggi lengkap dengan Auto High Beam
  • Kamera 360-darjah
  • Forward Collision Mitigation (brek sendiri jika ada kenderaan atau pejalan kaki)
  • Blind Spot Warning (sistem amaran titik buta)
  • Lane Change Alert (amaran melelong keluar laluan)
  • Rear Cross Traffic Alert (amaran jika kenderaan ada di sisi bila mengundur keluar)
  • Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (pembatalan pendikit jika sistem mengesan ada tembok di hadapan atau belakang - khusus untuk mereka yang tersalah tekan pedal pendikit)


Mitsubishi Triton Adventure X datang dengan harga bermula dari RM137,900 (atas jalan tanpa insuran) dan lengkap dengan waranti yang paling baik untuk kelasnya, 5-tahun atau 200,000 km (yang mana terdahulu).

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Tidak dilupakan, Mitsubishi Storm pasaran tempatan pernah menggunakan nama Evo. Triton…
Berita Global
Mitsubishi Minicab EV 2024 Jepun   Sejak dilancar di Jepun pada Disember 2011 dan sehingga…
Berita Global
Terbaru di Jepun Mitsubishi mempertingkatkan kelengkapan Outlander PHEV, Outlander Black Edition…