7 Sebab kenapa perlu memilih Kawasaki Versys X 250 sebagai motosikal kembara pertama anda!

oleh Mohamad Hanif|
Sebagai seorang pemilik motosikal moped yang asalnya digunakan untuk ke kuliah, tempat kerja dan sekali sekala dibawa berjalan jauh, penulis sememangnya akur bahawa motosikal jenis ini keupayaannya amat terhad.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Selain daripada karakteristik asal yang kurang sesuai untuk tujuan itu, penulis terpaksa berhenti beberapa kali bagi mengelakkan perasaan ketidakselesaan mengganggu tumpuan ketika tunggangan.

 


Apatah lagi motosikal kecil dua lejang yang kurang berkuasa itu sering kali menjadi mangsa buli kenderaan yang lebih besar seperti lori treler, trak pikap malah kereta yang paling popular di Malaysia, Vios. 

Terlintas juga di hati untuk beralih ke segmen motosikal kembara yang rata-ratanya mempunyai karakteristik yang sesuai untuk hampir kesemua muka bentuk jalan Malaysia, namun faktor kewangan sering membataskan diri untuk naik taraf ke lesen B penuh, sebelum memenuhi impian memiliki motosikal yang dimaksudkan. 

Dengan pengenalan Kawasaki Versys X 250 ke dalam pasaran Malaysia, penulis kembali tersenyum lebar. 
 

Setelah diberi peluang menunggang uji motosikal kelas permulaan kembara ini, penulis mampu berikan 7 sebab utama kenapa ia sesuai dijadikan sebagai motosikal kembara pertama anda:

1. Motosikal kembara yang terbaik untuk melatih keupayaan diri


Sebagai seorang yang meminati motosikal segmen kembara ini, penulis akui dengan badan sekecil ini, penulis berasa kurang yakin dengan keupayaan diri membawa motosikal yang lebih besar seperti Versys X ini. 

Namun, setelah beberapa kali menunggang, dengan posisi tunggangan yang rendah dan fizikal badan motosikal yang kurus, penulis yakin untuk mengemudi motosikal ini dengan mudah, walaupun ada ketikanya terpaksa menempuh keadaan trafik yang amat sesak di Kuala Lumpur. 

Ini dibantu dengan ketinggian tempat duduk hanya sekitar 815 mm membolehkan penulis mampu mengimbangkan motosikal ini menggunakan kedua-dua belah kaki tanpa perlu menjingkit.

Sesuai untuk mereka yang baru hendak berjinak-jinak di dalam segmen motosikal kembara kelas permulaan ini.

 

2. Kuasa yang memadai, mampu memberikan tunggangan yang santai, mahupun ketika memecut


Enjin yang hadir pada Kawasaki Versys X 250 ini merupakan unit yang sama digunakan pada Kawasaki Ninja 250 yang dijana oleh enjin dua silinder sebaris DOHC. 

Ia mampu menghasilkan 33 kuasa kuda dan 21.7 Nm daya kilas yang telah ditala semula bagi memberikan kuasa pecutan yang diperlukan pada julat kuasa rendah dan pertengahan. 

Bagi seorang beginner, kuasa yang diberikan adalah memadai dan mudah untuk dikendalikan, terutama mereka yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke alam kembara. 

Dilengkapi dengan ciri mekanisme "Assist and Slipper", anda akan sentiasa bermain dengan tuil klac walaupun pertama kali menunggang motosikal ini. 

 

3. Perjalanan jauh yang selesa tanpa perlu berhenti dengan kerap


Motosikal ini didatangkan dengan penghadang angin secara default daripada kilang yang mampu menghadang angin daripada memukul secara terus pada badan penunggang, selain memberikan imej gagah kepada Versys X 250 ini.

Pukulan daya angin ini sebenarnya boleh memenatkan penunggang dengan lebih cepat ketika perjalanan jauh dilakukan. 

Anda boleh rasai sendiri perbezaan ketika menunggang motosikal biasa dan kemudian beralih kepada Versys X ini. 

Dengan posisi tunggangan yang serba menegak, anda tidak perlu untuk berhenti secara kerap setiap kali melintasi hentian rehat dan rawat untuk bersenam, membetulkan urat yang kononnya tegang sambil menghirup udara segar dari ladang. 

 

4. Penggunaan bahan api yang cekap


Kawasaki Versys X 250 ini didatangkan dengan tangki bahan api yang mampu memuatkan minyak sebanyak 17 liter, cukup untuk memberikan jarak perjalanan sejauh 400 km dengan mudah untuk tunggangan yang patuh pada kelajuan lebuhraya.

Namun, pada hemat penulis yang agak sopan memulas pendikit, adakalanya jarak yang diberikan mampu melebihi jarak tersebut sekiranya penunggang tidak sewenang-wenangnya menyahut cabaran daripada motosikal kembara kelas atasan yang menguasai laluan paling kanan lebuhraya. 

 

5. Keseronokan tunggangan di lebuhraya dan luar bandar


Perlu diingatkan bahawa kelajuan bukanlah tujuan utama motosikal kembara ini dicipta, kerana ia lebih bertujuan memberikan keseronokan yang tersendiri ketika menyelusuri pelbagai jenis rupa bentuk jalan raya dan sedikit off-road yang ringan. 

Di lebuhraya, ia lebih stabil ketika tunggangan santai, bahkan dengan sedikit keberanian, anda boleh melayan sedikit selekoh dengan bergaya. 

 


Terima kasih kepada sistem suspensi Versys X yang bertugas dengan cemerlang menyerap segala hentakan daripada permukaan jalan yang tidak rata, dan ini memberikan keyakinan kepada penulis untuk mengendalikan motosikal 

Kehebatan pengendalian Versys ini turut dibantu sistem brek cakera di hadapan dan belakang yang mampu memberikan kuasa pemberhentian yang cemerlang tidak kira apa jua kelajuan. 

 

6. Imej motosikal berkuasa besar


Sejujurnya, sepanjang penulis menunggang Kawasaki Versys ini, ramai kawan-kawan dan orang perseorangan bertanyakan adakah motosikal ini bersesaran melebihi 500 cc. 

Ini kerana fizikal motosikal ini yang agak besar dan tiada sebarang pelekat atau emblem yang menunjukkan bahawa Kawasaki Versys X ini sebenarnya boleh ditunggang oleh rakyat Malaysia yang masih memiliki lesen B2. 

Jadi, dengan Kawasaki Versys X 250 ini, anda mampu bergaya di samping rakan-rakan yang mempunyai motosikal berkuasa tinggi tanpa perlu rasa malu dan segan.

 

7. Harga yang sesuai untuk mereka yang baru hendak berjinak di dalam segmen kembara


Dengan harga yang kini ditawarkan atas jalan bermula dari RM22,361.66 (harga tanpa 6% GST), motosikal ini sangat sesuai untuk mereka yang ingin memulakan pengalaman mereka mengembara tanpa perlu mengeluarkan belanja yang sangat besar. 

Tambahan pula, kini Kawasaki Motors Malaysia menawarkan rebat sehingga RM500.00 untuk setiap pembelian Kawasaki Versys X 250 ini yang sah sehingga 31 Ogos 2018. 

Dengan pakej yang ditawarkan, keseronokan yang diberikan ketika tunggangan dan juga imej yang dipaparkan oleh motosikal ini, tidak syak lagi Kawasaki Versys X 250 ini merupakan platform yang sesuai untuk melatih keupayaan diri sebelum beralih kepada segmen motosikal yang lebih besar. 

 


Spesifikasi ringkas Kawasaki Versys X 250
Enjin 250 cc sejukan cecair 4 stroke parallel twin
34 PS kuasa /21.7 Nm daya kilas
Sistem suntikan bahan api
Manual dengan enam nisbah kelajuan
Sistem suspensi teleskopik fork hadapan
Sistem suspensi Bottom-Link Uni-Trak belakang
Sistem brek cakera dua piston hadapan dan belakang
Kapasiti tangki bahan api 17 liter
Berat bersih 173 kg (tidak termasuk berat box Givi Trekker Outback 42 liter
)
Ketinggian tempat duduk 815 mm
 

Berita Berkenaan

Pelancaran Motosikal
Sejak Modenas ZX-25R SE diperkenalkan di Malaysia pada September 2023 lalu, model ini terus…
Berita Domestik
Kempen panggil balik tersebut melibatkan penambahbaikan bahagian bawah kerangka seperti yang…
Pelancaran Motosikal
Warna baharu yang diterima oleh Kawasaki Z900 ABS adalah warna Candy Persimmon Red/Ebony yang…