Antaranya, menggiatkan penguatkuasaan melibatkan peraturan had muatan kenderaan dan had laju bagi kenderaan berat serta mengeluarkan saman kepada pihak yang melanggar peraturan.
“Bagi tahun 2023, sejumlah 45,015 notis saman telah dikeluarkan melibatkan kesalahan muatan bahaya dan lebih muatan manakala bagi tahun 2024 sehingga April, sejumlah 9,214 notis saman telah dikeluarkan.
“Di samping itu, Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kerja Raya, sedang dalam proses akhir untuk membangunkan sistem “High Speed - Weigh in Motion” atau HS-WIM.
“Menerusi penggunaan sistem HS-WIM ini, aktiviti penguatkuasaan kenderaan berat boleh dilaksanakan secara masa sebenar atau automatik tanpa memerlukan kenderaan tersebut perlu berhenti untuk ditimbang,” katanya.
Tambah beliau, penggunaan sistem HS-WIM juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia atau anggota penguatkuasaan yang tinggi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH - Ledang) yang meminta Menteri Pengangkutan memperincikan statistik dan punca kemalangan melibatkan kenderaan berat bagi suku pertama tahun 2024.