56% pemandu takut dengan pemanduan autonomi, bagaimana dengan anda?

oleh Muhammad Md Tajudin|
Pengguna di pasaran tempatan sekarang ini sedang ditawarkan dengan pengenalan teknologi pemanduan automatik. Ada yang kata separa automatik tetapi terma rasmi lebih besar ialah autonomous driving.

Teknologi pemanduan automatik paling mudah dan arus perdana yang boleh didapati di dalam kenderaan hari ini ialah kawalan jelajah atau auto cruise.

Menggabungkan fungsi tersebut dengan beberapa lagi teknologi seperti radar, sensor dan kamera membolehkan kereta mengambil alih tugas pemandu yang tidak perlu meletakkan tangan di stereng dan kaki di brek dan pedal minyak.

Hebat bukan? Perhatikan teknologi canggih pada Proton X70, Perodua Myvi dan Aruz. 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebelum teknologi tersebut diperkenalkan sehingga ke tahap tanpa pemandu adakah kita sudah bersedia?

Ini ada satu kajian menarik dibuat di United Kingdom oleh pakar penjualan kenderaan dalam talian BuyaCar.co.uk.

Kajian yang dibuat mendapati separuh daripada pemandu mendapati idea kereta tanpa pemandu menakutkan mereka.

Angka terbaru itu menunjukkan semakin ramai berasa takut dan skeptikal mengenai kereta yang dikawal komputer berbanding dua tahun lalu.

BuyaCar.co.uk sebenarnya telah mengkaji sikap pemandu terhadap konsep pemanduan autonomi sejak April 2017 lagi.

 

Kenderaan autonomi

 

Dapatan ini sepatutnya mewujudkan kerisauan kepada penggubal polisi yang mahu kenderaan tanpa pemandu diperkenalkan di UK secepat mungkin.

Pada Februari lalu, Jabatan Pengangkutan (UK) mengumumkan bahawa mereka mahu kereta tanpa pemandu diperkenalkan seawal 2021.

Hasil kajian pemandu yang dibuat oleh portal ini nampaknya memberi naratif lain.

Berikut ialah dapatan kajian yang dibuat oleh BuyaCar.co.uk:

  • Pada 2017, 46 peratus pemandu mengatakan idea menyerahkan kawalan kenderaan menakutkan mereka
  • Kajian terbaru menunjukkan angka tersebut telah meningkat kepada 56 peratus
  • Sebelum ini 11 peratus mengatakan kereta tanpa pemandu adalah perkembangan yang menarik dan kini hanya 6 peratus sahaja merasakan begitu
  • Pada April 2017, hampir satu daripada lima pemandu berpendapat mereka akan dan mungkin memiliki kereta tanpa pemandu satu hari nanti
  • Angka tersebut kini jatuh kepada 13 peratus walaupun terdapat pelbagai publisiti tentang perancangan kerajaan untuk menggalakkan penggunaan kereta tanpa pemandu dalam masa beberapa tahun akan datang
  • Satu lagi angka mengejutkan apabila mereka yang tidak mahu langsung memiliki kenderaan tanpa pemandu pada bila-bila masa telah meningkat daripada 38 peratus kepada 42 peratus
  • Sejak dua tahun lalu, rasa takut tidak dapat mengawal kenderaan telah meningkat daripada 55 peratus kepada 62 peratus
  • Kerisauan tentang garis atau tanda jalan yang teruk yang boleh mengakibatkan kekeliruan pada sistem pengecaman visual kenderaan meningkat daripada 24 peratus kepada 29 peratus. Faktor ini turut menyumbang kepada ketidakpercayaan terhadap kereta tanpa pemandu.
  • 44 peratus pemandu kini mengatakan mereka tidak percaya langsung kepada idea kereta tanpa pemandu berbanding 34 peratus pada April 2017
  • Faktor serangan siber yang menjejaskan keadaan dan keselamatan pun turut dibimbangi dengan peningkatan daripada 23 peratus kepada 28 peratus

Jadi apakah penyelesaian terhadap isu ini? Menurut Austin Collins, Pengarah Urusan BuyaCar.co.uk, satu cara utama untuk pemandu menerima kenderaan autonomi ialah dengan menyaksikan secara kerap ia berfungsi dengan selamat dan cekap setiap hari apabila ia benar-benar menjadi realiti pada satu masa nanti.

Buat masa sekarang, terdapat lima kenderaan autonomi menjalani ujian pada waktu siang dan malam di bandar Bromley dan Croydon, London.

Bagaimana pula dengan penerimaan pemandu tempatan terhadap pemanduan autonomi? Pada kami biarlah ia teruji terlebih dahulu di negara maju.

Setakat ini, teknologi pemanduan autonomi bukan hanya tentang pengeluar sahaja tetapi turut melibatkan kerajaan.

Seperti yang diberitahu di dalam artikel ini, teknologi pemanduan autonomi sangat bergantung kepada infrastruktur jalan raya. Tanda dan garis jalan perlu mempunyai standard tertentu untuk teknologi berfungsi dengan baik.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Satu lagi dapatan menarik ialah melalui kajian oleh portal pembelian kereta baharu dan terpakai…