55 buah model baharu sepanjang tahun 2019!

oleh Mohamad Hanif|
Sekurang-kurangnya 55 model dan varian baharu termasuk versi dinaik taraf akan dilancarkan pengeluar automotif di Malaysia tahun ini, dengan sebahagian besar adalah model kenderaan cekap tenaga (EEV).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata pengenalan model baharu dan dipertingkatkan tahun ini menunjukkan impak positif industri automotif negara, terutama dari segi peningkatan kesedaran pengguna mengenai kelebihan memiliki kenderaan EEV.

“Permintaan pasaran kepada EEV sebenarnya membawa daya tarikan positif bagi pengeluar kereta untuk membawa lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia,” katanya. 


Madani menjelaskan, sebagai negara yang memeterai WP29 (World Forum for Harmonisation of Vehicle Regulations), model terbaharu yang bakal diperkenalkan juga dilengkapi ciri keselamatan terkini, yang mana sudah ditawarkan dalam kenderaan mampu milik sejak tahun lalu.

Katanya, walaupun pasaran dijangka masih bertumpu kepada segmen kenderaan penumpang, model kenderaan utiliti sukan (SUV) dijangka menjadi perhatian tahun ini dengan kedua-dua jenama kereta nasional juga mengambil bahagian dalam segmen itu.

“Proton X70 sudah dilancarkan pada Disember lalu dan kita juga bakal melihat SUV terbaharu daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) yang dikenali sebagai Aruz tidak lama lagi,” katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, kenderaan berteknologi tinggi kian mampu dimiliki pada harga kompetitif, disebabkan ekosistem yang berdaya saing, selain kesedaran pengguna dalam sektor automotif.
 


Mengulas mengenai pelancaran model terkini, tahun 2019 bakal merancakkan lagi saingan dalam kalangan peserta industri automotif di Malaysia apabila pelbagai model baharu bakal diperkenalkan untuk pasaran tempatan pada tahun ini.

Malah, beberapa syarikat automotif sudah mendedahkan beberapa produk baharu pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS'18) Disember lalu, sekali gus memberi gambaran kepada orang ramai mengenai model kereta yang bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan.

Segmen SUV dijangka terus menjadi antara segmen pilihan pelanggan di Malaysia, apabila kebanyakan peserta industri dilihat bakal berlumba-lumba memperkenalkan model baharu tahun ini.
 


Antara model yang bakal menarik perhatian pasaran domestik sepanjang tahun 2019 termasuklah: 

  • Perodua Aruz
  • Honda HR-V RS
  • Hyundai Santa Fe
  • Hyundai Kona
  • Hyundai Elantra
  • Haval H9
  • Lexus UX 200
  • Lexus ES
  • Kia Cerato
  • Kia Picanto GT Line
  • Ford Mustang
     

Sumber: Berita Harian 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut CEO Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Dato' Madani Sahari berkata,…
Berita Domestik
Ini adalah jawapan balas daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merujuk…
Berita Domestik
Program Revolusi Industri keempat (Industri 4.0) yang dianjurkan oleh MARii bermula dari tahun 2016…