50 pembeli terawal terima Toyota C-HR

oleh Afandi Che Muhamad|
Pengedar rasmi kenderaan jenama Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini menyempurnakan majlis serahan 50 unit Toyota C-HR kepada kelompok pembeli terawal bertempat di Taman Teknologi Malaysia.

Sejak melakukan debut global baru-baru ini, model crossover kompak Toyota itu mendapat sambutan hangat dalam kalangan penggemar setia jenamanya di seluruh pelosok dunia.

Menurut UMWT, pihaknya sahaja menerima lebih 1,500 tempahan sejak model berkenaan dibawa masuk ke dalam pasaran domestik Januari lalu.

Presiden UMWT, K. Ravindran (gambar) berkata, pihaknya hanya menawarkan varian Toyota C-HR dengan enjin 1.8 liter petrol yang dipadankan bersama kotak transmisi tujuh kelajuan jenis Sequentical Shiftmatic CVT untuk pengguna di negara ini.

"Antara ciri menarik boleh ditemui pada varian yang diperkenalkan ini termasuk Sistem Brek Anti-kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM), Brek Parkir Elektrik dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).

"Semua fitur keselamatan itu didatangkan sebagai ciri standard untuk varian ini," ujarnya.

Mengulas lanjut, Ravindran memberitahu, varian berkenaan sengaja dibina di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) sama seperti model lain.

Justeru, tidak menghairankan jika Toyota C-HR tersebut memiliki penampilan unik dan menarik.

Tutur Ravindran lagi, keunikan yang dimaksudkan lebih mudah didapati pada ruang kabin crossover berkenaan.

Toyota C-HR baharu tersebut disuntik teknologi dengan perincian khusus pada meter Optitron 4.2 inci lengkap fungsi Paparan Pelbagai Maklumat (MID).

Dalam perkembangan sama, Ketua Jurutera Toyota Motor Corporation, Takatomo Suzuki (gambar) menambah, model premium berkenaan turut disediakan dengan fungsi G-Monitor.

"Fitur itu memberikan kelebihan paparan kadar daya G ketika membelok di selekoh, memecut mahu pun memperlahankan kenderaan.

"Bagi menambah nilai terhadap crossover ini, Toyota menyediakan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan seiring dengan pembelian pengguna," katanya.

Tambah Takatomo, pihaknya amat menghargai sokongan yang diberikan pengguna terutamanya di pasaran Malaysia.

Serentak dengan majlis itu juga, Takatomo menyeru orang ramai untuk berkunjung ke lokasi sama (Taman Teknologi Malaysia) hujung minggu ini (24 dan 25 Mac) bagi menyaksikan acara kemuncak Festival Toyota Gazoo Racing.

Tiket masuk ke festival yang bermula seawal pukul 9 pagi hingga 6.30 petang itu adalah percuma.

Pelbagai slot aktiviti menarik menanti pengunjung seperti persembahan drift daripada drifter terkemuka Jepun, Masato Kawabata dan Hideyuki Fujino.

Selain itu, pemeriksaan kenderaan percuma daripada Toyota Topmark juga disediakan untuk pengunjung.

Antara selebriti yang hadir menjayakan acara berkenaan nanti terdiri daripada Fattah Amin, Janna Nick, Diana Danialle, Shukri Yahaya dan Didi & Friends.

Terdahulu, festival tersebut sebelum ini dianjurkan di beberapa lokasi lain seperti Batu Kawan (Pulau Pinang), MAEPS Serdang (Selangor) dan Medini City (Johor).

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Informasi
Membeli sebuah kereta bukan sahaja dengan menilai rupa luarannya, namun ketenangan fikiran dan…