5 SEBAB KENAPA HONDA BR-V PILIHAN MENARIK

oleh Muhammad Md Tajudin|
Pelanggan di negara ASEAN mempunyai citarasa unik terhadap kenderaan. Walaupun saling berjiran tetapi setiap negara mempunyai segmen kenderaan tersendiri berbanding yang lain. 

Sebagai contoh, kereta sedan dan hatchback digemari penduduk Malaysia, pikap digemari warga Thailand manakala Indonesia pula lebih sukakan MPV kompak.

Walaupun mempunyai kenderaan kegemaran masing-masing, tempias itu turut dirasai dan dinikmati secara bersama dan lihatlah tawaran yang pelbagai dalam segmen sedan, pikap dan MPV kompak di negara ASEAN.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dalam hal ini, Honda menawarkan pelbagai pilihan dan boleh dikatakan paling lengkap berbanding pesaing lain. Sebagai contoh, Honda menawarkan sekecil-kecil kereta seperti Brio hinggalah kereta paling laju di Litar Nürbürgring, iaitu Honda Civic Type R.

Walaupun terdapat model yang tidak dipasarkan di beberapa negara tetapi produk utama turut boleh didapati di banyak negara ASEAN. 

Sebagai contoh, Honda BR-V telah dilancarkan di pasaran tempatan pada Januari lalu selepas beberapa ketika ditawarkan di Thailand dan Indonesia. 

Keputusan untuk menawarkan BR-V di pasaran tempatan adalah tepat apabila ia menerima sambutan yang luar biasa. Dalam tempoh enam bulan dilancarkan jumlah tempahan BR-V sudah pun mencecah 14,529 ribu unit!

Lebih menarik, angka itu terus meninggalkan sasaran Honda Malaysia yang menjangkakan 10 ribu unit jualan dalam masa setahun.

Dek kerana sambutan hangat itu, Honda Malaysia meningkatkan sasaran jualan kepada 15 ribu unit pada tahun ini. Apa yang menarik sebenarnya tentang Honda BR-V sehingga mendapat sambutan begitu rupa?

Berikut ialah lima ciri menarik yang kami dapati pada Honda BR-V.

1. Crossover tujuh tempat duduk

 

 

Segmen MPV kompak dengan tujuh tempat duduk ini sebenarnya sudah lama berada di pasaran. Di antara beberapa model popular ialah Toyota Avanza dan Nissan Grand Livina. Menariknya kedua-dua MPV itu mempunyai reka bentuk yang berbeza.

Begitu juga dengan Honda yang memasarkan BR-V sebagai sebuah crossover iaitu gabungan di antara praktikaliti MPV dan bentuk rugged SUV. Maka terhasillah sebuah kenderaan yang nampak berbeza dengan pesaing lain.

Tentang ruang pula, sama seperti pesaing lain dalam segmen ini, BR-V mempunyai tiga baris tempat duduk. Idea tentang sebuah MPV kompak ialah ia mempunyai jumlah tempat duduk yang lebih banyak berbanding kereta sedan.

Kerusi barisan ketiga ialah bonus di mana jika tidak digunakan untuk penumpang ia boleh dilipat untuk penyimpanan barang. Untuk ruang yang lebih besar, baringkan sahaja kerusi barisan kedua untuk pelbagai isian seperti basikal, tangga atau perabot IKEA. 

Kelebihan seperti ini tidak dipunyai oleh kereta penumpang, kecuali anda memiliki sebuah wagon seperti Volvo.

2. Lima bintang ASEAN NCAP

 

 

Standard dan makmal ujian pelanggaran ini boleh dikatakan sebagai rahmat kepada penduduk ASEAN. Protokol ujian ini ialah ia mesti mengggunakan mana-mana kereta yang dijual di negara ASEAN. Oleh itu, keputusan ASEAN NCAP lebih tepat jika dibandingkan dengan pengeluar yang memaparkan hasil ujian NCAP dari benua lain.

Keputusan ujian pelanggaran ASEAN NCAP yang dilakukan pada Februari 2016 menunjukkan BR-V mendapat skor 14.79/16 untuk perlindungan penumpang (AOP) dan 72 peratus untuk perlindungan kanak-kanak (COP).

Secara keseluruhannya, BR-V dengan spesifikasi tempatan memperolehi lima bintang ASEAN NCAP dan empat bintang untuk COP.

Honda BR-V pasaran tempatan mempunyai kelengkapan standard yang bagus seperti Bantuan Penstabilan Kenderaan (VSA), Sistem Brek Anti Kekunci (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Bantuan Daki Mula (HSA), dua beg udara dan poin ISOFIX pada kerusi barisan kedua.

3. Enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC

 

 

Mereka yang biasa memandu kereta Honda dengan enjin 1.5 liter i-VTEC pasti biasa dengan karakter enjin ini. Walaupun kecil tetapi ia tangkas untuk pemanduan di dalam bandar. Enjin ini adalah sama seperti dua lagi model popular Honda iaitu City dan Jazz.

Kuasa enjin ini ialah 120 PS dengan tork 145 Nm, angka itu tidak lah besar tetapi berpadanan untuk sebuah crossover kompak seperti BR-V. Lagi pula kehebatan enjin Honda terletak pada teknologi     i-VTEC yang dapat memberikan kuasa apabila pedal minyak ditekan ke lantai.

Selain enjin, BR-V turut berkongsi transmisi Continuous Variable Transmission (CVT) dengan City dan Jazz dari teknologi baharu Earth Dreams Honda.

Penggunaan enjin 1.5 liter i-VTEC dilihat ideal untuk pengguna sasaran memandangkan ia mudah diselenggara kerana berkongsi alat ganti dengan puluhan ribu City dan Jazz, penggunaan minyak ekonomikal dan kos cukai jalan rendah iaitu RM 90 sahaja setahun.

4. Lima tahun waranti tanpa had perbatuan dan percuma kos upah servis

 

 

Dalam proses pembelian kenderaan, terdapat tiga kos utama yang harus diambil kira iaitu kos bagi mendapatkannya (bayaran muka), pemilikan (ansuran, cukai jalan, insurans) dan kos penyelenggaraan (alat ganti, upah servis/kos buruh).

Selain dua kos utama, kos penyelenggaraan penting kerana ia boleh melibatkan perbelanjaan tinggi. Dalam hal ini, Honda Malaysia menawarkan lima kali servis dengan kos buruh percuma sepanjang lima tahun pemilikan atau sehingga 100,000 km, yang mana dahulu.

Tempoh dan jarak servis berkala pula ialah setiap enam bulan atau 10,000 km sekali.

Selain itu, Honda Malaysia telah menyusun bahagian yang melibatkan kos tinggi kepada tiga servis utama.

Tiga servis utama itu disusun pada perbatuan ke-100,000 km (bulan ke-60), ke-110,000 km (bulan ke-66) dan ke 120,000 km (bulan ke-72).  

Susunan itu penting kerana daripada membayar sejumlah wang sekaligus, pemilik dapat membahagikan peruntukan kewangan dalam jarak masa yang agak selesa dan kurang membebankan.

Honda Malaysia ada memaparkan butiran dan kos penyelenggaraan lengkap dalam laman web syarikat atau melalui pautan ini. Jadual dan kos yang dipaparkan adalah telus dan amat digalakkan untuk dirujuk oleh mereka yang mahu membeli crossover ini.

Untuk ketenangan minda, Honda BR-V didatangkan dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan dan ia boleh dipindah ke pemilik seterusnya. Jaminan itu bukan sahaja dapat memberi faedah kepada pelanggan tetapi juga lambang keyakinan Honda terhadap model ini.

5. Harga setara kereta sedan

 

 

Honda Malaysia menawarkan BR-V dalam dua varian iaitu E dan V. Varian paling premium iaitu V mendapat sambutan terbanyak dengan 80 peratus tempahan setakat Julai lalu.

Harga Honda BR-V (di atas jalan tanpa insurans) varian E ialah RM 83,210 manakala varian V pula ialah RM 90,010.

Kedua-dua harga tersebut sebenarnya berada pada paras harga majoriti kereta sedan segmen B dan inilah di antara faktor kenapa BR-V mendapat sambutan hangat di kalangan pengguna selain jenama Honda yang kuat.

Pada nilai sebuah kereta sedan, anda boleh memiliki crossover jenama Honda dengan lebih ruang untuk penumpang!

Maklumat lanjut tentang Honda BR-V boleh didapati dari sini.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Galeri gambar Honda BR-V:

Berita Berkenaan

Berita Global
Kemenangan pada tahun ini merupakan tahun kelima berturut-turut produk Honda memenangi anugerah Red…
Berita Global
  Ye Series juga menjadi jawapan kepada yang bertanya di mana EV Honda. Masih awal, belum…
Berita Global
  Nampaknya trend penurunan harga kenderaan elektrik (EV) bukan lagi terpencil. Semasa…