5 Perkara Best pada Ducati Superleggera V4

oleh Mohamad Hanif|
Minggu lalu, Ducati Malaysia telah memperlihatkan secara rasmi sebuah jentera jalanan Ducati yang paling berkuasa pernah dihasilkan - Ducati Superleggera V4 untuk pasaran tempatan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kalau model superbike Panigale pun memang bukan disasarkan untuk golongan marhaen, apatah lagi superbike Superleggera V4 yang memiliki tanda harga menghampiri 1 juta itu.

Apa yang menariknya pada jentera Superleggera V4 ini?
 

1. Superleggera membawa maksud lebih ringan


Superleggera bermaksud 'Super Light' dan ini bermakna dalam pembangunan jentera ini, para jurutera mengutamakan penggunaan bahan komposit yang lebih ringan, terutama di bahagian rangka, sub-rangka, lengan ayun dan roda.

Walaupun ringan adalah resepi utama dengan pengurangan berat yang dicapai sekitar 6.7 kg, aspek keselamatan tidak dilupakan.

Ini kerana komponen yang disebutkan itu tadi telah pun diuji dengan menggunakan teknik yang sofistikated dipinjamkan daripada industri aeroangkasa seperti termografi, ultrabunyi dan tomografi.
 

2. Resepi tambahan - gentian karbon, titanium, aluminium


Selain daripada itu, Superleggera V4 turut mengandungi bahan-bahan ringan yang biasanya digunakan seperti gentian karbon, titanium, dan aluminium.

Disebabkan itu, berat kering Superleggera V4 adalah sekitar 159 kg sahaja, 16 kg lebih ringan berbanding Panigale V4.


3. Nisbah kuasa/berat  mampu capai 1.54 hp/kg!


Dengan nadi V4 berkuasa 224 hp dan daya kilas 118 Nm, Superleggera V4 mempunyai nisbah kuasa-ke-berat 1.41 hp/kg dan ia sememangnya satu rekod yang telah dipecahkan untuk sebuah jentera yang halal digunakan atas jalan raya.

Tak cukup dengan itu?

Tambah kit perlumbaan, anda mampu menghamburkan kuasa bersamaan 234 ekor kuda, turunkan berat kepada 152.2 kg dan anda akan mendapat nisbah kuasa/berat 1.54 hp untuk setiap kg!
 

4. Kelengkapan unik


Sebagai sebuah motosikal yang dihasilkan khusus, Ducati telah melengkapkan beberapa item unik untuk Superleggera V4 seperti:

  • suspensin Ohlins yang telah diringankan
  • sistem brek Brembo dengan angkup Stylema R
  • pakej elektronik yang turut merangkumi Ducati Traction Control dan Ducati Quick Shift up/down


5. Satu unit untuk pasaran Malaysia


Ya, hanya satu unit sahaja dikhususkan untuk pasaran tempatan, dan Superleggera dengan nombor ID 210/500 itu telah pun selamat sampai ke tangan pembeli dengan harga RM888,000.