5 feri ikonik Pulau Pinang diserah kepada 3 syarikat untuk diubahsuai

oleh SALINA JALIL|
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) hari ini, menyerahkan lima feri ikonik lama Pulau Pinang kepada tiga syarikat yang berkelayakan yang akan mengubahsuai kepada feri pelancongan, muzium dan restoran terapung.


Ia membabitkan Printhero Merchandise (M) Sdn Bhd, Chuen Shin Aquaculture Sdn Bhd dan Kantan Jaya.


Pengerusi SPPP Datuk Tan Teik Cheng berkata, Mesyuarat Lembaga Pengarah SPPP pada pertengahan Jun lalu meluluskan tiga syarikat berkenaan untuk mengubahsuai dan mengendali lima feri ikonik negeri ini sepanjang 15 tahun.

 

Menurutnya, kedua-dua pihak akan menandatangani kontrak pajakan feri selama 10 tahun dengan pilihan penyambungan lima tahun disamping syarikat yang mengambil alih feri juga mesti menyerahkan wang jaminan RM200,000 setiap feri kepada SPPP.

"Printhero Merchandise (M) Sdn Bhd akan mengubahsuai Feri Pulau Pinang kepada muzium terapung di Tanjung City Marina.

 

"Syarikat ini berpengalaman dalam mengendalikan kedai cenderamata di Stesen Bawah Bukit Bendera, Muzium Negara dan Muzium Perak selain berpengalaman dalam bidang percetakan dan industri makanan serta minuman (F&B)," katanya pada kenyataan.

 

Menurut beliau, syarikat berkenaan akan memastikan Muzium Feri Pulau Pinang ini mengembalikan nostalgia tentang sejarahnya kepada pelawat, terutamanya warga Pulau Pinang.

 

Muzium berkenaan pula akan terdiri daripada pameran bergambar, visual, kedai cenderamata, kafe dan tempat fotografi.

 

Teik Cheng Chuen Shin Aquaculture Sdn Bhd pula memperoleh hak untuk mengubahsuai Feri Pulau Kapas dan Feri Pulau Payar kepada restoran terapung.

 

"Kedua-dua feri ini akan ditempatkan berhampiran Pulau Jerejak. Syarikat ini memiliki banyak sangkar ternakan ikan di sekitar Pulau Jerejak.

 

"Syarikat ini juga mengendali beberapa restoran makanan laut serta mempunyai pengetahuan maritim," katanya.

 

Menurut beliau, Kantan Jaya pula memperoleh hak untuk mengubahsuai Feri Pulau Undan dan Pulau Talang-Talang kepada feri pelancongan.

 

"Feri pelancongan akan berlabuh di Swettenham Pier dan hanya membawa penumpang tanpa kenderaan.

 

"Rekabentuk feri pula dikekalkan bagi menjaga warisan Pulau Pinang. Feri pelancongan ini dilengkapi bilik persidangan, restoran untuk jamuan dan perkahwinan, menjual produk tempatan, kedai cenderamata dan lain-lain," katanya.

 

Menurut beliau, Kantan Jaya mempunyai 40 tahun pengalaman dalam bidang perkapalan dan berupaya menyelenggara feri.

 

Kelebihan ini membolehkan syarikat itu memastikan perkhidmatan feri pelancongan dapat disediakan secara berterusan.

 

Dalam pada itu, Teik Cheng menegaskan, hanya Feri Pulau Talang-Talang dan Feri Undan yang masih boleh berlayar manakala tiga lagi feri sudah tidak dapat diperbaiki lagi serta diberhentikan operasi pada akhir 2019.

 

"Bagaimanapun, SPPP akan memastikan feri-feri ikonik ini akan muncul di perairan Pulau Pinang untuk bertemu warga negeri ini serta pelancong," katanya.

 

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Informasi
  “Pada masa ini, tambang feri yang dibayar oleh penunggang motosikal ialah RM2, manakala RM1.20…
Informasi
  "Kerajaan negeri telah memutuskan untuk membiayai tambang perkhidmatan feri (bot penumpang laju…
Informasi
  Dalam pada itu, kenyataan berkenaan juga menyebut bahawa selain membawa penumpang pejalan kaki,…