5 fakta menarik Toyota Aqua (Prius C), guna petrol 35.8 km/l sahaja!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Aqua
Toyota Aqua
Beberapa tahun dahulu kerajaan pernah memberi pelepasan cukai kepada kenderaan hibrid dan elektrik seterusnya memberi peluang kepada rakyat untuk merasai teknologi tersebut.

Pucuk dicita ulam mendatang, sejumlah besar model hibrid dibawa masuk ke pasaran tempatan.

Impaknya boleh dilihat pada pemilikan Toyota Prius, Prius C, Lexus CT200h, Honda Insight, Honda Jazz Hybrid, Honda CR-Z membanjiri jalan raya kita.

Ini menunjukkan ada kelompok pengguna yang tidak kisahkan teknologi hibrid dan mereka berani mencuba.

Bagaimana pula dengan penyelenggaraan dan pembaikan selepas polisi itu ditamatkan?

Faktanya ialah jumlah besar kenderaan hibrid yang dibawa masuk telah membuka jalan kepada bengkel tempatan untuk meneroka teknologi ini dan tidak sukar untuk mencari mereka yang pakar tentangnya.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02
Toyota Aqua

Satu daripada model hibrid yang popular pada tahun 2012 di pasaran tempatan ialah Toyota Prius C atau dikenali sebagai Aqua di Jepun.

Semasa dilancarkan pada Februari 2012 model ini dijual pada harga RM97,000 dan lebih rendah berbanding Honda Insight yang berharga RM99,812.00.

Prius C membawakan satu pakej menarik, gaya badan hatchback yang digabung bersama teknologi hibrid.

Senang kata, saiz sedang-sedang yang praktikal untuk dipandu, teknologi canggih dan jimat minyak.

Toyota Aqua

 

Selain itu, Prius C generasi pertama lama di pasaran, selepas melalui beberapa kemaskini Toyota akhirnya memperkenalkan model generasi kedua Aqua pada 19 Julai 2021.

Sekali pandang, Aqua baharu ini mampu mengukir senyuman kerana reka bentuknya yang harmoni dan tidak provokatif seperti trend kereta hari ini.

Jadi apa yang menarik tentang Aqua baharu? Berikut kami senaraikan lima fakta penting mengenainya:

1. Penggunaan minyak petrol hanya 35.8 km/l

Toyota Aqua

Bab enjin dan penjimatan minyak Toyota memang handal. Aqua baharu menggunakan enjin 1.5 liter M15A-FXE Dynamic Force tiga silinder yang sama seperti Yaris dan SUV Yaris Cross.

Enjin itu mempunyai kuasa 91 PS pada 5,500 rpm dan 120 Nm dari 3,800 rpm hingga 4,800 rpm.

Berapakah pula kadar penggunaan minyak?

Menurut ujian yang dilakukan oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, kadar penggunaan petrol Aqua (varian B) ialah 35.8 km/l berdasarkan kitaran ujian WLTC (Worldwide harmonized Light vehicle Test Cycles).

Sememangnya menjimatkan, sebagai perbandingan Prius C generasi pertama menggunakan 29.8 km/l petrol.

2. Kenderaan pertama didunia guna bateri nikel-hidrogen bipolar output tinggi

 

Toyota Aqua

 

Aqua baharu adalah kenderaan pertama yang menggunakan bateri seumpamanya di dunia sebagai bateri pacuan elektrik.

Berbanding bateri nikel-hidrogen pada Prius C terdahulu, bateri Aqua baharu mempunyai output hampir dua kali ganda dan ciri lain seperti respon pecutan lebih baik dan membolehkan pecutan yang lancar dan linear dari kelajuan rendah.

Selain itu, jarak pemanduan dengan hanya menggunakan kuasa elektrik juga semakin bertambah (jarak sebenar belum didedahkan).

Lagi ciri menarik pada Aqua baharu ialah slot untuk bekalan elektrik dengan kapasiti 100 volt atau 1,500 watt.

Maknanya Aqua boleh bekalkan tenaga ketika bekalan elektrik di rumah atau mana-mana sahaja lokasi terputus atau jadi gen set!

 

Toyota Aqua

 

3. Guna satu pedal pun okay!

Satu kelebihan kereta sebegini ialah penggunaan satu pedal sahaja. Aqua baharu adalah model pertama Toyota yang menggunakan sistem Comfort Pedal.

Apa yang perlu pemandu buat ialah pilih Power+ Mode dan kemudian hanya perlu mengangkat pedal secara tenang bagi menghasilkan tenaga pembrekan regeneratif dan kemudian kereta diperlahankan.

Comfort Pedal turut mempunyai kelebihan lain dengan mengurangkan kekerapan kaki daripada membrek dan memecut atau guna satu pedal pun dah cukup untuk dua kerja.

 

Toyota Aqua

 

Toyota turut melengkapi Aqua baharu dengan sistem E-Four atau pacuan empat roda dengan menambah motor elektrik pada gandar belakang.

Ciri ini diperlukan semasa memandu di atas permukaan jalan yang bersalji.

4. Reka bentuk harmoni, tidak provokatif

Sejak dari generasi pertama lagi Aqua digayakan dengan harmoni. Memandangnya tidak rasa seperti mata ditikam dengan garisan badan dan bentuk agresif.

Aqua baharu ditampilkan dalam bentuk selesa mata memandang dan gayaan begini boleh bertahan lama.

Aqua baharu dibina berdasarkan platform TNGA (GA-B) yang turut diguna pada Yaris pasaran Jepun.

 

Toyota Aqua

 

Dari segi saiz, jarak roda Aqua telah dipanjangkan sebanyak 50 mm dan memberi lebih ruang terutama sekali penumpang belakang dan bahagian bagasi.

Selain ukuran itu, turut berubah ialah tinggi bertambah 30 mm kepada 1,485 mm manakala panjang ialah 4,050 mm dan lebar 1,695 mm.

Sama seperti bahagian luar dalaman Aqua baharu juga tidak berserabut kecuali papan pemuka nampak moden dan saiz skrin 10.5 inci yang menonjol.

 

Toyota Aqua

 

5. Harga tidak mahal mana!

Toyota memasarkan Aqua baharu dengan empat varian iaitu gred B,X,G,Z dengan setiap satu didatangkan melalui pilihan pacuan depan (FWD) atau empat (E-Four).

Harga paling murah ialah Aqua B dengan pacuan FWD iaitu JPY 1,980,000 (RM75,973) manakala varian tertinggi ialah Aqua Z E-Four dipasarkan pada JPY 2,598,000 (RM99,686).

 

Toyota Aqua

 

Julat angka itu memang berpatutan dan boleh dikatakan mampu milik dan lebih menarik jika kerajaan memperkenalkan semula dasar pelepasan cukai seperti yang dibuat dahulu.

Toyota mensasarkan untuk menjual 9,800 unit Aqua baharu di Jepun dan tahukah anda berapa banyak generasi pertama dimiliki?

Sekitar 1.87 juta unit di serata dunia dari 2011 hingga 31 Mei 2021! Pengurangan emisi CO2 yang dicapai pula sekitar 12.4 juta tan!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Toyota FT-1 Concept 2014   Model edisi istimewa Supra A90 Final Edition akan ditawarkan ke…
Berita Global
Bagi menonjolkan lagi RAV4, Toyota Service Parts and Accessories Development (SPAD)…
Berita Global
  Celoreng Castrol dan aksi dari selekoh ke selekoh menghiburkan. Tahukah anda? Perodua juga…