5 fakta menarik Ford Ranger 2022, macam sama tapi tak serupa!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ford Ranger Wildtrak 2022
Ford Ranger Wildtrak 2022
Ford pada 24 November telah memperkenalkan pikap Ranger serba baharu selepas berada di pasaran sejak tahun 2011.

Memang lama bunyinya namun dalam tempoh itu Ford memperkenalkan beberapa versi termasuk Ranger Raptor yang berkuasa tinggi.

Lagi pula adalah menjadi kebiasaan untuk sesebuah pikap berada dalam tempoh kitaran produk yang panjang.

Selepas Ranger baharu diperkenalkan ada yang berpendapat ianya sama sahaja seperti model terdahulu ditambah pula Ford hanya mengubahsuai dan menggunakan platform lama (T6).

Memang tidak dinafikan Ford membawa semula beberapa elemen yang menjadi identiti Ranger T6 namun ia lebih sekadar pada mata kasar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Ford Ranger Wildtrak 2022

 

Untuk model baharu ini, Ford telah menghabiskan banyak masa untuk mendengar pendapat pelanggan termasuk lebih daripada 5,000 temuramah dan lebih sedozen bengkel pelanggan.

Ianya dibuat bagi memahami bagaimana pelanggan menggunakan pikap mereka dan apa yang dimahukan dan diharapkan untuk Ranger baharu.

Berikut disenaraikan 5 ciri menarik pada Ford Ranger baharu:

1. Masih lagi diterajui oleh Ford Australia

Seperti model sebelumnya, program pembangunan Ranger diterajui oleh Pusat Pembangunan Produk Ford di Australia.

Ini tidak bermakna Ranger baharu dibangunkan oleh Ford Australia sahaja.

 

Ford Ranger 2022

 

Para pereka dan jurutera yang terlibat di dalam projek ini terdiri daripada pelbagai warganegara dan turut dibangunkan bersama rakan lain di serata dunia.

Seperkara lagi, model kenderaan terlaris di Australia sejak sekian lama ialah Toyota Hilux dan menunjukkan pikap adalah kenderaan yang penting untuk pengguna di sana.

2. Reka bentuk baharu

Bahagian ini yang menjadikan Ranger baharu nampak seperti model lama.

Walaupun Ranger baharu tampil dengan wajah depan selari dengan pikap Ford lain, secara keseluruhan ia masih nampak seperti model terdahulu.

Bentuk dan aura memang nampak seakan sama namun perinciannya berbeza.

Sebagai contoh gril baharu, lampu dengan pencahayaan bentuk C, lekuk badan sisi dan arka roda lebih tebal.

 

Ford Ranger Wildtrak 2022

 

Lampu belakang juga direka dengan nyalaan abjad C dan secara keseluruhannya Ranger baharu ini menggunakan gaya tema evolusi berbanding revolusi.

Selain reka bentuk, Ranger baharu mempunyai ciri-ciri menarik dan praktikal.

Sebagai contoh, pemijak kaki dipasang di tepi kotak kargo atau di sebelah roda belakang. Ianya dipasang selepas bahagian kejuruteraan Ford memerhatikan pemilik memijak tayar belakang.

Dengan pemijak tersebut, pemilik atau sesiapa sahaja tidak perlu lagi menggunakan tayar, guna pemijak yang ada dan selesai masalah.

 

Ford Ranger XLT 2022

 

Lagi ciri praktikal ialah pintu kargo boleh digunakan sebagai meja kerja dan menariknya mempunyai pembaris macam pita ukur dan slot untuk apit g.

Bagus kan?

3. Dalaman dengan skrin besar!

Bahagian dalaman Ranger baharu masih mengekalkan aura sebuah Ranger namun canggih dengan skrin saiz besar di tengah dalam kedudukan menegak.

Ada dua saiz paparan buat pemandu iaitu 10.1 inci dan skrin sentuh 12 inci. Skrin itu mempunyai pelbagai fungsi dan perisian seperti SYNC™ 4 dan FordPass Connect.

Melalui aplikasi FordPass, pemilik ditawarkan pelbagai fungsi seperti Remote Start, Status Kenderaan serta buka dan kunci pikap melalui telefon pintar.

Selain itu, beberapa suis kawalan pada papan pemuka dipindahkan ke skrin digital.

 

Ford Ranger Wildtrak 2022

 

Dengan hanya satu sentuhan, pemandu dipaparkan dengan skrin khas untuk kesemua ciri off-road dan mod pemanduan bagi membaca dan mengawasi pelbagai maklumat seperti sudut stereng dan sebagainya.

Para pereka Ranger juga menyediakan pelbagai ruangan untuk menyimpan barang termasuk di belakang dan di bawah kerusi belakang.

Bolehlah sumbat pita ukur, tukul, spanar dan sebagainya.

4. Casis dan ruang enjin lagi besar

Walaupun gayaan luar membawa tema evolusi, bahagian casisnya pula berbeza dengan aspek pemanduan dan pengendalian ditingkatkan.

Jarak roda Ranger baharu 50 mm lebih panjang dan trek roda pula 50 mm lebih lebar.

Dengan roda depan dianjak 50 mm ke depan, Ranger baharu mempunyai sudut mendaki (approach angle) lebih baik.

Suspensi belakang juga dianjak yang memberikan tahap pemanduan lebih baik kepada pemandu dan penumpang sama ada di jalan biasa atau off-road.

 

Ford Ranger Wildtrak 2022

 

Ford memaklumkan pelanggannya terbahagi kepada dua kelompok iaitu pemilik perniagaan kecil yang memerlukan kenderaan untuk kerja.

Mereka mahukan pikap single cab dengan dua pacuan roda manakala sebahagian lagi jenis pemain off-road yang menggunakan Ranger sampai ke hadnya ibarat perlumbaan lasak seperti Rali Dakar.

Dua karakter tersebut sangat berbeza dan Ford membangunkan Ranger bagi memenuhi keperluan kedua-dua jenis pelanggan tersebut termasuk golongan di tengahnya.

Betul, pelanggan yang jenis rilek-rilek memandu di hutan konkrit tidak boleh dilupakan.

 

Ford Ranger XLT 2022

 

Selain perubahan dan penalaan, struktur bahagian depan Rangger dibuat menggunakan kaedah hydro‑formed dan turut memberikan ruang lebih besar untuk enjin.

Dengan ruang lebih besar, enjin 3.0 liter V6 baharu boleh dipasang selain dapat digunakan untuk nadi janaan baharu (hibrid/elektrik?) pada masa depan.

Ianya juga dapat menghala lebih banyak udara untuk radiator bagi mengekalkan suhu rendah semasa menunda dan membawa muatan yang berat.

5. Rangkaian kuasa baharu

Fungsi pikap terutama sekali di Amerika Syarikat bukan sahaja untuk membawa barang tetapi juga menunda beban berat dan dipandu dalam laluan off-road.

Mendengar kehendak pelanggan, Ford melengkapi Ranger baharu dengan enjin 3.0 liter V6 diesel turbo dan secara keseluruhannya ada tiga pilihan enjin diesel turbo.

Ford juga meneruskan tawaran enjin 2.0 liter diesel turbo tunggal dan Bi-Turbo empat silinder.

 

Ford Ranger Wildtrak 2022

 

Enjin turbo tunggal mempunyai dua tahap kuasa dan tork dengan penggunaan bahan bakar yang merupakan faktor penting bagi pemilik perniagaan kecil atau kenderaan komersial.

Enjin Bi-Turbo lebih berprestasi untuk pelanggan yang mahukan lebih kuasa.

Dipadankan bersama enjin ialah pilihan transmisi automatik enam dan sepuluh kelajuan serta enam kelajuan manual.

Dari segi pacuan seperti biasa ada pilihan dua dan empat roda dengan sistem tukaran elektronik on-the-fly.

Dipasang di Thailand dan Afrika Selatan

 

Ford Ranger Wildtrak 2022

 

Ford Ranger baharu akan dipasang di negara jiran dan juga Afrika Selatan bermula tahun 2022.

Pelancaran di Asia Tenggara juga dijangka dibuat tahun depan dan bagaimana pula dengan Ranger Raptor?

Masih belum ada berita atau pengesahan mengenainya.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Selepas itu, Latihan Kemahiran 4WD Sarawak 4x4 Training Academy (Sar4Trac) pula akan diadakan, yang…
Berita Global
Isuzu D-Max menjadi kenderaan ketiga paling popular di negara kangaroo itu, dengan jualan sebanyak…
Berita Global
  Selain itu, XR3 dijual pada harga yang berdaya saing dan gabungan ciri-ciri tersebut…