5 Ciri kenapa Perodua Aruz pilihan yang bagus

oleh Muhammad Md Tajudin|
Sejak pelancaran Myvi, Perodua belum gagal lagi dalam membaca selera pengguna terbanyak. Senang kata, Perodua tahu apa yang majoriti pengguna di Malaysia perlukan.

Prinsip Perodua mudah sahaja, mampu milik. Dari situ lahirlah Axia, Bezza dan terkini Aruz. Ketiga-tiga model ini termasuk Myvi generasi ketiga mewakili definisi mampu milik oleh Perodua.

Bukan sahaja mampu milik dari segi harga tetapi juga kos bahan api, penyelenggaraan, alat ganti dan nilai jualan semula.

Selain itu, pengalaman pemilikan turut dibantu dengan prestasi baik oleh pusat servis rasmi Perodua.
Perodua Aruz

 

Melalui Myvi generasi ketiga, Perodua nampaknya telah naik ke satu tahap lagi iaitu dalam bidang keselamatan pula.

Perodua Myvi Advance misalnya dilengkapi dengan enam beg udara dan Advanced Safety Assist atau A.S.A.

Ini satu yang bagus selepas Proton Iriz Premium diperkenalkan dengan enam beg udara.

Selepas Myvi generasi ketiga Perodua buat hal lagi dan kali ini melalui Aruz, sebuah SUV dengan tujuh tempat duduk.

Sama seperti Myvi Advance, Aruz turut dilengkapi dengan enam beg udara dan generasi kedua Advanced Safety Assist atau A.S.A 2.0

Jadi apa bagusnya Perodua Aruz? Sebelum pelancaran rasmi para jurnalis telah di bawa ke litar Perodua untuk menguji Aruz dan berikut ialah lima sebab kenapa SUV ini pilihan yang bagus.

1. Pakej yang berbaloi untuk wang

 

Perodua Aruz

 

Kereta yang murah sahaja tidak cukup berdasarkan ragam pembeli tempatan. Pengguna tempatan mahukan sebuah model yang mampu milik, jimat, bergaya dan selamat.

Aruz mempunyai varian dua iaitu X dan AV. Suatu yang menarik apabila untuk varian asas X pun dilengkapi dengan beberapa kelengkapan utama berikut:

  • Enam beg udara
  • ABS dengan EBD & BA
  • Kawalan penstabilan kenderaan (VSC)
  • Kawalan cengkaman (TRC)
  • Kamera undur
  • Eco idle (enjin dimatikan dan dihidupkan secara automatik semasa enjin melahu – lampu isyarat, berhenti beli air kelapa, pisang goreng)

Pakej tersebut suatu yang bagus untuk sebuah kereta keluarga dan setakat artikel ini ditulis belum ada pesaing dalam segmen sama menawarkan pakej serupa seperti Aruz kecuali kembarnya iaitu Toyota Rush.

Satu lagi perkara menarik ialah enjin Aruz hanya bersesaran 1.5 liter DUAL VVT-i yang menawarkan bahan api ekonomikal dan cukai jalan rendah.

2. Tujuh tempat duduk dan pelbagai guna

 

Perodua Aruz

 

Harus diketahui, Aruz bukanlah sebuah MPV (Proton Exora, Toyota Innova) dan ia terletak dalam segmen SUV tujuh tempat duduk.

Berdasarkan pengalaman pandu uji, Aruz selesa untuk dinaiki empat penumpang dewasa.

Lagi dua tempat duduk di barisan ketiga pula selesa untuk digunakan oleh kanak-kanak.

Ruang simpanan juga terhad dan ini boleh diatasi dengan melipat terus kerusi baris ketiga.

Apabila kerusi baris ketiga dilipat pelbagai muatan boleh diisi seperti basikal, bakul kain, perabot IKEA, pasu bunga dan sebagainya.

Berdasarkan gaya hidup rakyat Malaysia, jarang kerusi ketiga digunakan untuk diisi penumpang dewasa kecuali dalam keadaan kecemasan sahaja.

Jika balik kampung, biasanya kerusi baris ketiga dilipat untuk diisi beg, bantal dan sebagainya.

Anak-anak boleh duduk selesa di kerusi baris kedua.

3. Pemanduan selesa 

Perodua Aruz

Satu perkara yang jelas ketara apabila berada berhampiran Aruz ialah jarak kelegaan bumi yang tinggi dan tayar tebal.

Jarak kelegaan bumi ialah 220 mm manakala ukuran tayar pula 215/60 R17.

Gabungan ini menjadikan Aruz boleh melepasi banjir kilat lebih tinggi berbanding pesaing lain dan melalui lopak atau jalan berlubang dengan baik.

Sewaktu memandu di litar ujian, simulasi banjir kilat dan laluan tidak rata dapat diuruskan dengan baik oleh chasis dan suspensi Aruz.

Tambahan pula SUV ini dibangunkan untuk pasaran negara membangun jadi kedua-dua ciri tersebut iaitu jarak kelegaan bumi dan hentakan diberi fokus utama.

Pada kelajuan melebihi 100 km/j pula, Aruz biasa sahaja dan ini bukanlah sebuah kereta penumpang atau sport untuk dibelasah.

Ia masih sebuah Perodua yang bermakna pengendalian, kedap bunyi, reka letak, ergonomik dibuat mengikut pelanggan massa.

4. Rating keselamatan 5 Bintang ASEAN NCAP

 

Perodua Aruz

 

Dakwaan pengeluar tentang kecanggihan teknologi keselamatan dan betapa model keluaran mereka selamat sahaja tidak mencukupi.

Berdasarkan brosur rasmi Aruz, tertera logo 5 Bintang ASEAN NCAP yang diuji pada April 2018 sedangkan SUV ini masih belum dilancarkan lagi.

Ujian pelanggaran yang dibuat sebenarnya berdasarkan Toyota Rush 1.5G spesifikasi Indonesia.

Mengikut kenyataan rasmi ASEAN NCAP, berdasarkan dokumentasi yang disediakan Perodua, ASEAN NCAP melanjutkan rating Toyota Rush kepada Perodua Aruz.

Kelengkapan standard Aruz terdiri daripada enam beg udara, Kawalan Penstabilan Elektronik (ESC), amaran tali pinggang keledar penumpang depan dan belakang, ISOFIX dan cangkuk top tether untuk kerusi kanak-kanak.

Sebagai tambahan, Aruz AV dilengkapi Brek Kecemasan Autonomi (AEB) dan Amaran Pelanggaran Depan (FCW).

Dengan markah keseluruhan 86.49 poin, Aruz layak untuk menerima rating 5 Bintang ASEAN NCAP.

5. Teknologi dan rangkaian antarabangsa

 

Perodua Aruz

 

Dalam menghasilkan kenderaan, Perodua banyak berkerjasama dengan Daihatsu.

Daihatsu Motor Co. dan Daihatsu Malaysia mempunyai pegangan sebanyak 25 peratus dalam Perodua.

Melalui pegangan dan kerjasama di antara kedua-dua syarikat, Perodua meraih faedah dalam pengetahuan, pengalaman, kejuruteraan, pengilangan, kawalan kualiti, platform dan teknologi.

Faedah tersebut diterjemahkan kepada barisan produk Perodua jadi tidak hairan kenapa model yang ditawarkan mempunyai reputasi bagus.

Teknologi keselamatan dan nadi kuasa telah terbukti di peringkat antarabangsa dan disesuaikan oleh tenaga kerja tempatan untuk rakyat Malaysia.

Enjin 1.5 liter 2NR-VE DUAL VVT-i pada Aruz turut digunakan pada ratusan ribu kenderaan lain seperti Perodua Myvi, Toyota Avanza dan Rush, Daihatsu Xenia dan Terios dan Toyota Vios.

Di peringkat serantau pula Perodua Aruz turut dikenali sebagai Toyota Rush dan Daihatsu Terios.

Jadi anda sebenarnya boleh diibaratkan memiliki tiga jenama dalam satu iaitu Perodua-Toyota dan Daihatsu!.

Kesimpulan

 

Perodua Aruz

 

Perodua Aruz ditawarkan dalam dua varian iaitu X dan AV yang masing-masing ditawarkan pada harga RM 72,900 dan RM 77,900.

Jika ditanya secara peribadi, saya lebih cenderung untuk memilih Aruz AV kerana ia dilengkapi satu ciri yang tidak boleh dibeli di kedai aksesori iaitu A.S.A 2.0. dengan pengesan pejalan kaki.

A.S.A 2.0 dilengkapi sistem Amaran Pra Pelanggaran (PCW), Brek Automatik Pra Pelanggaran (PCB), Amaran Pelanggaran Berdepan (FDA) dan Kawalan Salah Tekan Pedal (PMC).

Bagaimana A.S.A 2.0 mencegah kemalangan?

 

Perodua Aruz

 

Ia melalui dua peringkat iaitu Amaran Pra Pelanggaran (PCW) dan Brek Automatik Pra Pelanggaran (PCB).

PCW berfungsi dengan memberi amaran kepada pemandu dalam keadaan risiko berlakunya pelanggaran dengan kenderaan (4 – 100 km/j) dan pejalan kaki (4 – 50 km/j).

PCB pula berfungsi dengan membrek secara automatik jika tiada intervensi daripada pemandu apabila terdapat risiko pelanggaran dengan kenderaan (4 – 100 km/j) dan pejalan kaki (4- 50 km/j).

Melalui perbezaan RM 5,000 di antara Aruz X dan beberapa kelengkapan lain seperti kerusi balutan kulit dan perakam video pemanduan bersepadu, ternyata Aruz AV lebih berbaloi.

Nasihat kami ialah pandu uji Aruz terlebih dahulu dan bawa keluarga bersama bagi menilai kelebihan pada SUV ini.

Setelah itu teliti juga spesifikasi dan anda boleh lihat Aruz menawarkan nilai terbaik untuk pakej dan harganya.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Jualan di bulan Mei terdiri daripada 2,612 Myvi, 2,028 Axia, 1,820 Bezza, 950 Aruz dan 476 Alza…
Berita Domestik
Menurut Presiden dan CEO Perodua, Dato' Zainal Abidin Ahmad berkata, "kami juga ingin mengumumkan…
Berita Domestik
Walaubagaimana pun para pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi Perodua terlebih dahulu untuk…