Sejak tahun 2017, hubungan rasmi antara RXZ Members Official dan PETRONAS Sprinta telah mula terjalin menerusi kerjasama yang dirintis oleh En. Ismadi, wakil PETRONAS yang komited mendekati komuniti ini. Hari ini, hubungan itu bukan lagi sekadar kerjasama, tetapi satu bentuk simbiosis di mana budaya jalanan disokong terus oleh jenama pelincir terkemuka negara.
Sidang media Sembang Santai PETRONAS Sprinta bersama RXZ Members Official turut dihadiri oleh Eirwan Ahmad. (Bertopi Hitam)
Apa yang membezakan RXZ Members Official dengan komuniti lain ialah jalinan persaudaraan yang merentasi negeri dan laut. Keahlian paling ramai datang dari Johor, Selangor dan Pantai Timur, manakala dari negeri-negeri utara sedikit kurang. Namun apa yang paling mengagumkan ialah komitmen ahli dari Sabah dan Sarawak yang sanggup menghantar motosikal dalam kontena semata-mata untuk hadir ke acara-acara utama di Semenanjung.
Dan kini, komuniti ini sedang bersiap sedia untuk menganjurkan RXZ 7.0, yang bakal berlangsung pada 22 dan 23 Ogos 2025 di Gong Badak, Terengganu, satu acara yang kini dianggap himpuan motosikal kedua terbesar di Malaysia selepas MotoGP Sepang.
Tahun lalu, RXZ 6.0 mencatat kehadiran lebih 80,000 pengunjung, dan kali ini angka itu dijangka meningkat mendadak. Seperti tahun lalu tempahan awal menunjukkan hotel dan homestay di kawasan sekitar penuh, memberi isyarat awal kepada betapa besarnya impak himpunan kali ini.
Hadiah RXZ 6.0 sudah berpunya, tahun ini dilaporkan Toyota Alphard pula yang pasti bukan Accord reput.
Antara tarikan utama dalam RXZ 7.0 adalah cabutan bertuah sebuah Toyota Alphard, menjadikan acara ini bukan hanya platform pertemuan peminat motosikal, tetapi juga peluang pulang dengan hadiah luar biasa. Selain itu, pentas hiburan, jualan barangan eksklusif, serta Dyno Battle akan kembali menguji keperkasaan enjin 2T dengan syarat utama, minyak yang digunakan mestilah PETRONAS Sprinta 2T.
Walaupun sinonim dengan RXZ, PETRONAS Sprinta kini melangkaui sempadan gaya. Hari ini, jenama ini menyokong pelbagai segmen permotoran dua roda dari kapcai Ysuku hinggalah ke motosikal mewah seperti Harley-Davidson dan Ducati. Malah dalam satu program khas di Phuket, PETRONAS mempertemukan dua komuniti berbeza RXZ dan Harley-Davidson dalam satu meja, menandakan pendekatan inklusif yang progresif.
Satu lagi kejutan menarik menjelang RXZ 7.0 ialah pelancaran edisi khas minyak Petronas Sprinta RXZ Members 7.0 beraroma baharu yang dibangunkan bersama syarikat wangian terkenal. Label dan bau eksklusif ini bakal mencipta memorabilia tersendiri buat para pengumpul dan pengguna setia satu produk yang bukan sahaja berfungsi, tetapi juga ikonik secara emosi.
RXZ bukan sekadar satu model motosikal, ia adalah warisan jalanan, simbol kebebasan, dan kini, gerakan komuniti yang digerakkan oleh semangat dan kesetiaan. Dengan PETRONAS Sprinta sebagai pendukung utama, tahun ke-40 ini bukan sekadar sambutan, tetapi peringatan bahawa budaya motosikal Malaysia masih hidup dan terus berkembang.