4 situasi tayar tak selamat untuk ditampal lagi!

oleh HEZERI SAMSURI|
Selagi teknologi tayar masih menggunakan udara, selagi itu akan wujud kes tayar bocor.

Ada pelbagai cara tayar boleh bocor dan selalunya, kita akan tampal.

Kadang-kadang, ada yang mengadu berkata tokey kedai sengaja hendak memaksa kita tukar tayar dengan mengatakan tayar itu tidak boleh ditampal lagi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jika anda lahir dengan terus cop mohor pakar tayar di dahi, kami mungkin akan dengar cakap anda tetapi memang ada situasi di mana memang tampalan bukan lagi pilihan.

Faktor keselamatan adalah punca utama kenapa ada ketikanya, tampalan memang tidak dibenarkan.

 

 

1. Dinding tayar ranap kerana dipandu semasa tayar tiada udara

  • Dinding tayar sebenarnya mengandungi jalinan dawai-dawai besi halus yang membentuk kerangka tayar. 
  • Getah atau polimer kemudian menyaluti kerangka tersebut untuk menjadi bentuk donut yang kita biasa lihat.
  • Namun begitu, kecuali tayar anda ialah jenis Run-Flats, kerangka tayar tidak dibina untuk menampung berat kenderaan. Ia memerlukan udara untuk fungsi itu.
  • Jika sekiranya kita teruskan pemanduan dengan tayar tanpa udara, bahagian dinding tayar itu akan rosak.
  • Ia mungkin setakat nampak bercalar atau haus di bahagian luar, tetapi dari dalam tayar, dinding itu sudah rosak, terkoyak atau menunggu saat untuk terburai sahaja.
  • Tiada pilihan melainkan diganti dengan tayar baharu.

 

 

2. Besar lubang pancit

  • Piawaian industri tayar menjelaskan bahawa lubang bocor yang tidak melebihi 1/4 inci masih boleh ditampal. 
  • Ini bermakna kebanyakan lubang akibat paku atau skru masih boleh diselamatkan tetapi jika lubang itu terhasil dari tusukan pisau, besi pipih, tumit kasut wanita dan objek-objek yang besar, maka anda tidak ada pilihan lain.
  • Tukar kepada tayar baharu kerana lubang yang terlalu besar tidak mungkin boleh ditampal dengan selamat.
  • Tetapi sebelum anda tampal, baca situasi ketiga dahulu!

 

 

3. Lokasi bocor

  • Piawaian industri tayar hanya membenarkan tampalan dilakukan di bahagian rata bunga tayar (tengah).
  • Jika kebocoran berlaku di bahagian bahu atau dinding sisi tayar, minta maaf. Ini ialah antara kawasan paling sensitif untuk tayar dan mengalami tekanan yang tinggi.
  • Tidak selamat untuk menampal tayar bila kebocoran berlaku pada kawasan ini.
  • Anda tiada pilihan lain kecuali tukar kepada tayar baharu.

 

 

4. Berapa kali sudah bocor?

  • Kebanyakan syarikat tayar berkata satu tayar itu tidak boleh ditampal lebih dari dua kali.
  • Tampalan-tampalan itu pula mesti mempunyai jarak minimum 16-inci antaranya.
  • Jika ia tidak menepati ciri-ciri tersebut, sila tukar kepada tayar baharu.


Memang kadang-kala nasib tidak menyebelahi kita. Tayar yang baharu dibeli terkoyak kerana terlanggar besi.

Paling penting, untuk ummat Muslim, baca doa naik kenderaan agar dipermudahkan perjalanan kita, InsyaAllah.
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Tayar BluEarth-XT AE61 merupakan tayar musim panas yang dibangunkan khusus untuk digunakan pada SUV…
Berita Domestik
Menurut pengumuman dari Nathaniel Madarang, Presiden untuk GoodYear Asia Pasifik, tindakan itu…
Berita Global
Bridgestone mahu memberi fokus kepada tayar-tayar berprestasi tinggi untuk kenderaan penumpang dan…