33 pelajar sekolah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan trafik

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

gambar hiasan. sumber: Warna Asia

Seramai 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perkasa, Hutan Melintang di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Didik yang diadakan April lalu.

Kesemua mereka berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun dan masing-masing ditemani penjaga itu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mujib Saroji. 

Kesemua 26 pelajar lelaki dan tujuh pelajar perempuan yang berusia dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun itu majoritinya didakwa melakukan kesalahan memandu motosikal berumur kurang 16 tahun selain tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(5) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM2,000 jika sabit kesalahan.

Selain itu, ada antara mereka yang didakwa atas beberapa kesalahan lain seperti tidak memiliki lesen, tidak memakai topi keledar, tidak mempamerkan nombor plat kenderaan serta tiada cermin belakang.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pelajar tersebut sewaktu Ops Didik dijalankan oleh pihak polis di Jalan Hutan Melintang pada 24 April lalu, kira-kira pukul 3 petang.

Bagi pertuduhan tidak memiliki lesen memandu, mereka didakwa mengikut Seksyen 26(1) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 26(2) akta sama yang boleh didenda minimum RM300 dan tidak melebihi RM2,000 jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Perundangan dan Pendakwaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis (IPD) Hilir Perak, Fatisha Badrul Hisham manakala kesemua pelajar diwakili peguam bela M. Saravanan yang menawarkan khidmat guaman secara percuma.

Mujib sebelum menjatuhkan hukuman bagaimanapun sempat menasihatkan pelajar berkenaan agar mendapatkan lesen memandu apabila sudah cukup umur. 

"Selepas umur 16 tahun, sepatutnya kamu kena ambil lesen (motosikal), jika tidak boleh dikenakan hukuman minimum sebanyak RM300 kerana kita sudah pinda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Ini menunjukkan kerajaan serius atas kesalahan tersebut kerana di bawah umur 16 tahun, masih ada budi bicara. Namanya pun Op Didik, sepatutnya ibu bapa kena hantar anak mereka ke sekolah bagi yang berusia 16 tahun ke bawah,” katanya. 

Terdahulu, Saravanan dalam hujahnya merayu supaya setiap OKS dikenakan hukuman denda paling minimum berikutan kebanyakan ibu bapa pelajar tersebut hanya bekerja kampung selain mereka telah memohon maaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan para pelajar itu didenda antara RM50 hingga RM150 mengikut budi bicara hakim dengan dua daripadanya dilepaskan dengan amaran. - K! ONLINE

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ia merupakan sebuah inisiatif yang bertujuan untuk memulihkan minat dalam STEM (Science, Technology…
Berita Domestik
  Katanya, sebuah helikopter didapati mendarat di lokasi berkenaan untuk menghantar seorang…
Berita Global
Dalam kejadian yang berlaku pada 15 Mac di Halifax County, North Carolina, Tillman Mitchell, 17,…