3 sekeluarga maut Exora terhumban dalam gaung, 12 cedera nahas di LPT

oleh SALINA JALIL|
Gambar ihsan dari Bomba
Tiga sekeluarga maut selepas kereta mereka terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 13 meter di Kilometer (Km) 135.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala Kuantan, di Temerloh awal pagi tadi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Turut menjadi korban dalam kejadian dilaporkan kepada bomba pada jam 3.26 pagi itu adalah seorang pekerja LPT. Nahas membabitkan empat kenderaan dan keseluruhan 17 mangsa.
 

Kemalangan dipercayai apabila sebuah lori kontena terbabas dan merempuh lori penunda LPT yang ketika itu sedang mengangkat kereta Proton Exora rosak di bahu jalan serta sebuah Proton Waja yang berhenti di tempat kejadian.
 

Akibat rempuhan berkenaan, Proton Exora terjunam ke dalam gaung di tepi lebuh raya dan mengorbankan dua warga emas serta seorang remaja lelaki dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) itu, selain seorang individu menaiki lori penunda.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata sembilan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dikejarkan ke lokasi kejadian. 
 

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan kemalangan membabitkan empat kenderaan, iaitu lori kontena, lori kren penunda, kereta Proton Waja dan Proton Exora. 

 

"Dalam kemalangan itu, dua lelaki serta dua warga emas, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi.

 

"Tiga daripada empat individu yang meninggal dunia menaiki Proton Exora, manakala lapan lagi individu menaiki kenderaan sama dilaporkan cedera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Gambar ihsan dari Bomba

Mereka yang cedera membabitkan enam kanak-kanak lelaki, dua kanak-kanak perempuan, seorang lelaki serta tiga wanita, manakala seorang lagi lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan. 
 

"Seorang individu yang menaiki lori kren penunda juga dilaporkan cedera, selain empat individu yang menaiki kereta Proton Waja, manakala individu yang menaiki lori kontena dilaporkan selamat," katanya.

 

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori kontena merempuh lori penunda yang menunda Proton Exora yang rosak, selain merempuh kereta Proton Waja berhenti di tepi lebuh raya. 
 

Katanya, rempuhan itu menyebabkan Proton Exora berkenaan terhumban ke dalam gaung sedalam lebih 12 meter. 

 

"Anggota bomba bertugas membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Proton Exora, lori kren penunda dan Proton Waja. 

 

"Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak hospital, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. 

 

Katanya, operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya 6.38 pagi tadi.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota daripada…