223 kemalangan, 148 kes maut akibat jalan rosak di Selangor

oleh SALINA JALIL|
Sebanyak 223 kemalangan direkodkan berpunca daripada keadaan fizikal jalan raya termasuk jalan berlubang serta rosak akibat pembinaan sepanjang tahun 2018 hingga 2020.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, berdasarkan statistik berkenaan, sebanyak 148 daripadanya adalah kemalangan maut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Kemalangan yang berpunca daripada fizikal jalan raya banyak membabitkan penunggang motosikal iaitu 117 kes, kereta (26) dan lori (6).

 

"Bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa kemalangan itu juga berlaku disebabkan kecuaian pengguna jalan raya termasuk memandu melebihi had laju justeru kita tidak boleh menyalahkan 100 peratus terhadap faktor fizikal jalan.

 

"Kawasan pembinaan contohnya sudah diletakkan kon dan tanda jalan supaya berwaspada dan memandu secara perlahan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tadi.

 

Beliau berkata, daerah Sabak Bernam dan Klang adalah lokasi yang kerap berlaku kemalangan berikutan pembinaan jalan dan laluan kenderaan berat selain kurang pencahayaan lampu pada waktu malam.

 

Azman turut menegaskan pihaknya sentiasa berhubung dengan pihak-pihak berkaitan supaya melakukan pemeriksaan dan membaiki jalan-jalan terutamanya jalan bandaran yang ditadbir oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

Dalam pada itu, secara keseluruhan, statistik kemalangan di Selangor mencatatkan penurunan pada tahun lalu berbanding 2019.

 

"Statistik kemalangan pada 2020 mencatatkan sebanyak 123,244 berbanding 168, 599 pada tahun 2019.

 

"Dari segi jumlah kemalangan maut, sebanyak 764 kes dicatatkan pada tahun 2020 berbanding 1,008 pada tahun 2019," katanya.

 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azman memaklumkan kemalangan berbasikal menyumbang sebanyak 299 kes dengan hanya enam kes membabitkan basikal riadah bagi tempoh sama.

 

"Secara keseluruhan, jumlah kes itu disebabkan masih ramai pendatang asing menggunakan basikal untuk ke tempat kerja mereka di negeri ini," katanya.

 

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Penduduk Kampung Poropot, Charls Dodee, 26, berkata, kerosakan jalan itu berlarutan sejak tiga…
Berita Domestik
Keadaan jalan itu dikongsikan oleh seorang pengguna jalan raya, Mohd Fauzie Jasneh, 31, menerusi…
Berita Domestik
Penduduk, Hassan Serian, 56, berkata penduduk, terutama petani yang mempunyai kebun perlu berhati-…