21 fakta Bufori Geneva - kereta ultra mewah paling mahal dibuat di Kepong!

oleh HEZERI SAMSURI|
Bufori ialah sebuah syarikat kenderaan premium yang sebenarnya berasal dari Australia dalam tahun 1987, tetapi sudah berpindah ke Malaysia dalam tahun 1998.

Ia mempunyai pejabat, pusat penyelidikan dan pembangunan serta kilang pemasangan di Kepong, Malaysia serta menggunakan tenaga mahir tempatan. Malah Bufori menyediakan perkhidmatan kejuruteraan automotif untuk mereka yang memerlukan sebuah kenderaan yang khusus.

Bufori sendiri mampu menghasilkan model-model prototaip dan konsep ataupun melakukan projek baik pulih (restoration) untuk peminat-peminat kenderaan-kenderaan klasik di rantau Asean.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Nama Bufori sendiri mempunyai maksud yang unik:

B - Beautiful, atau cantik
U - Unique
F - Funtastic, atau gabungan perkataan Fun dan Fantastic
O - Original, gaya tulen dan asli
R - Romantic, citarasa romantik
I - Irresistible atau menggoda

Bufori menggunakan rekabentuk kenderaan klask Amerika tetapi menggabungkan ia dengan kejuruteraan moden. Ini bermakna, walaupun ia nampak retro, ia boleh digunakan setiap hari seperti kenderaan modern biasa.

 

 

Ia juga jauh lebih selamat dari kenderaan-kenderaan klasik yang betul kerana ia menggunakan kerangka yang tegap dan mempunyai ciri-ciri keselamatan modern seperti ABS, traction control dan sebagainya.

Dalam tahun 2010, Bufori melancarkan modelnyayang paling mewah, iaitu Geneva. Seperti namanya, ia dilancarkan di Geneva Motor Show.

Penulis sebenarnya berpeluang untuk melihat kenderaan itu di sana ketika ia dilancarkan dan penerimaan dari dunia permotoran global adalah sangat menarik.

Di bawah ialah 21 fakta berkaitan Bufori Geneva yang anda perlu tahu:

 

 

1. Ia adalah kenderaan sedan 4-pintu super mewah.

2. Ia menggunakan enjin Chrysler Hemi 6.1L V8 aspirasi normal pada mulanya, tetapi kini telah dinaiktaraf kepada enjin 392 Hemi 6.4L V8, juga tanpa turbo. 

3. Kuasa maksimum ialah 470 hp pada 6,000 rpm

4. Daya kilas maksimum pula ialah 630 Nm pada 4,200 rpm

5. Transmisi ialah 8-kelajuan automatik dari ZF.

6. Geneva sebenarnya boleh juga dijana oleh enjin yang lebih kecil, iaitu enjin 3.6L Pentastar V6, sekiranya anda merasakan cukai jalan enjin Hemi itu tidak termampu.

7. Dengan ukuran panjang 5,540 mm, Bufori ini adalah 142 mm lebih panjang dari Ford Ranger Raptor.

 

 

8. Geneva juga sebenarnya lebih berat dari Ranger Raptor, iaitu 2,450 kg (berat kering) berbanding 2,325 kg untuk trak pikap premium itu.

9. Walaupun berat, enjin Hemi itu membenarkan Bufori ini melakukan pecutan dari 0 ke 100 kmsj ialah dalam 5.4 saat!

10. Untuk memastikan ia mempunyai pemanduan yang menarik dan kadar keselamatan serta keselesaan penumpang yang tinggi, Bufori menggunakan kerangka komposit carbon Fibre dan Kevlar. Kerangka ini setaraf dengan yang digunakan oleh jenama-jenama supercar dunia.

11. Seperti kereta-kereta super mewah yang lain, Bufori membenarkan Geneva ini dibina mengikut citarasa pemiliknya. Ini termasuk segala jenis kulit, kayu, warna, rekabentuk tempat duduk, corak jahitan, kelengkapan kabin dan sebagainya. Selagi ia boleh dibuat, Bufori akan buatkan!

 

 

12. Antara unit pertama Geneva yang ditempah dahulu mempunyai tempat untuk membuat air teh cina untuk ruang VIP di belakang. Ia mempunyai cerek pemanas air dan tempat meletakkan cawan teh khusus.

13. Anda juga boleh meletakan peti sejuk kecil, tempat letak curut (humidor), pembuat air kopi dan sebagainya di ruang tempat duduk belakang.

13. Seperti Rolls Royce, anda boleh memilih untuk meletakkan lampu-lampu halus LED pada siling, umpama bintang-bintang bergemerlapan di waktu malam.

14. Seperti kereta moden yang lain, Geneva juga kini dilengkapi dengan sistem ADAS seperti Lane Departure Warning dengan Lane Assist, Adaptive Cruise Control, Full Speed Forward Collision Warning dengan Active Braking, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Path Detection dan bantuan parkir depan dan belakang.

 

 

15. Untuk membantu memperlahankan atau memberhentikan Geneva ini, Bufori menggunakan brek terbaik dari Brembo dengan cakera bersaiz 360 mm di hadapan dan 350 mm di belakang.

16. Bufor memperkenalkan sistem brek canggih dengan Geneva ini. Smart Brake Assistants ini terdiri dari Rain-Ready Brake Support, Ready Alert Braking dan brake Assist.

17. Ia mempunyai tujuh beg udara dan head-rest jenis re-active.

18. Anda juga boleh memasang sistem pemadam api di ruang enjin Geneva jika mahu.

19. Seperti mana-mana model Bufori yang lain, Geneva ini dibuat dengan tangan oleh pekerja-pekerja mahir yang terlatih dan berpengalaman.

20. Ia memerlukan tenaga kerja tangan selama 9,000 jam (minimum) untuk menyiapkan sebuah Geneva.

21. Harga Bufori Geneva semasa pelancarannya dalam tahun 2010 ialah bermula dari RM1.3 juta. Ini menjadikannya kereta tempatan paling mahal di dalam negara.
 

 

 

Jadi sekiranya anda mahu sebuah kenderaan premium yang lain dari yang lain, dan anda mahukan kenderaan yang anda benar-benar kustom-kan mengikut citarasa anda, Geneva memang adalah satu pilihan yang menarik.

Paling penting, ia dibina di sini dan diiktiraf oleh negara-negara maju serta pengkritik-pengkiritk automotif termasyhur. Dan kerana ia dibina di kilang tempatan, anda bukan sahaja mendapat insentif cukai yang banyak, anda sendiri boleh melawat ke kilang untuk melihat Geneva anda yang sedang dibina!

Siapa sangka Kepong sebenarnya adalah rumah untuk kereta buatan tempatan paling mahal di dalam negara!

 

 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Bufori telah membina sebuah La Joya istimewa ini, khusus untuk memenuhi permintaan seorang…
Berita Domestik
Menurut Felix Haller, Pengurus Besar Pemasaran dan Pembangunan Pasaran Antarabangsa untuk Bufori,…