2,000 teksi motosikal (okadas) dirampas dan dimusnahkan selepas larangan penggunaan berkuatkuasa 1 Jun

oleh SALINA JALIL|
Lebih 2,000 teksi motosikal yang dirampas telah dimusnahkan di bandar terbesar Nigeria, Lagos, berikutan larangan ke atas kenderaan yang dikenali sebagai okadas, lapor Badan Penyiaran British (BBC), Jumaat lalu.


Tindakan itu dibuat berikutan tragedi yang menyebabkan kematian seorang penumpang lelaki yang menggunakan perkhidmatan okadas dan mencetuskan kemarahan orang awam.


Sunday David, seorang jurutera berusia 38 tahun, terbunuh di kawasan kejiranan mewah Lekki selepas perselisihan faham mengenai tambang yang dikenakan pemandu okadas.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Larangan tersebut mendapat reaksi bercampur-campur daripada penduduk tempatan,  ada yang mengatakan penunggang memandu secara berbahaya manakala yang lain mengatakan menunggang okadas menyediakan peluang kerja penting untuk golongan muda.

 

Seorang penduduk, Abraham merayu agar larangan yang dikenakan untuk diringankan dengan berkata menunggang okadas memberikan pendapatan penting bagi ramai orang.

 

“Terdapat kemiskinan di negara ini. Pengharaman total adalah tindakan tidak realistik.

 

“Inilah yang digunakan oleh sesetengah orang untuk menyara kehidupan,” ujarnya.

 

Larangan tersebut terpakai kepada enam kawasan kerajaan tempatan iaitu Eti-Osa, Ikeja, Surulere, Pulau Lagos, Tanah Besar Lagos dan Apapa yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2022.

 

Gabenor Lagos, Babajide Sanwo-Olu, yang mengumumkan larangan itu bulan lalu, berkata larangan itu akan mengekang ancaman okadas.

 

Penunggang okadas terkenal dengan kecenderungan memandu laju dan mengambil risiko ketika mengharungi kesesakan lalu lintas yang terkenal di bandar itu.

 

“Nyawa semakin hilang setiap hari, kemalangan yang boleh dielakkan berlaku setiap hari dan penunggang tidak menghormati mana-mana undang-undang jalan raya kita,” katanya.

 

 

– Agensi