16 tahun mengumpul, koleksi Hot Wheels Uncle Chia kini cecah RM300k!

oleh Mohamad Hanif|
Chia Joon Hock, atau lebih mesra dipanggil sebagai Uncle Chia atau Uncle Hot Wheels di kalangan komuniti diecast dari Mattel itu mungkin nampak biasa-biasa sahaja.

Namun, siapa sangka, susuk tubuh berusia 65 tahun itu sebenarnya merupakan pengumpul tegar Hot Wheels di Malaysia!

Manakan tidaknya, koleksi diecast Hot Wheels yang dikumpul sejak 16 tahun yang lalu kini sangat besar, sehinggakan beliau menyewa sebuah rumah semata-mata untuk mempamerkan barisan kereta berskala kecil itu. 

Cerita beliau sampai ke pengetahuan Hot Wheels Amerika sehinggakan ketua pereka Hot Wheels, Steve Vandervate yang kebetulan berada di Art of Speed 2019 turun padang sendiri untuk melihat koleksi beliau. 

 


Minatnya bermula pada tahun 2003 apabila abangnya menghadiahkan sebuah diecast Ferrari berskala 1:18. 

Daripada situ, minatnya berkembang sehinggakan Uncle Chia sanggup berkunjung ke kedai serbaneka 7-11 semata-mata untuk mencari kereta miniatur itu, sebelum menghalakan tujuan ke Armcorp Mall, Petaling Jaya yang lebih dikenali sebagai lubuk mainan di kalangan pengumpul. 

Dianggarkan koleksi diecast yang telah dikumpulnya dari seluruh dunia (termasuklah Jepun dan Amerika) sehingga kini bernilai antara RM200,000 sehingga RM300,000 mengikut nilai pasaran semasa!
 


Antara koleksi yang paling berharga adalah Nissan Skyline Sweet Rods Premium Series yang dianggarkan nilainya mencecah RM800. 

Untuk menyimpan dan mempamerkan segala koleksi kereta miniatur yang dibelinya, Uncle Chia menggunakan kepakarannya sebagai seorang bekas jurutera menghasilkan sendiri rak-rak khas. 

Hasilnya, memang terbaik!
 


Sebagai seorang pengumpul tegar, Uncle Chia sememangnya tahu dengan teliti perbezaan disebalik dua model yang sama hanya melihat kepada variasi rim, tayar serta bonet yang didatangkan. 

Ketika ditanya, apakah yang menyebabkan Uncle Chia begitu taksub kepada kereta kecil ini, beliau tidak mempunyai perkataan khusus bagi menjawab persoalan itu.

"Semangat. Itu satu-satunya perkataan yang sesuai. Saya boleh habiskan masa duduk dan melihat setiap koleksi miniatur ini. 
 


"Hobi mengumpul ini membuatkan saya kembali menjadi muda!" jelas Uncle Chia berkobar-kobar mendefinisikan semangat beliau.

Saksikan galeri gambar di bawah untuk melihat dengan lebih dekat koleksi Hot Wheels Uncle Chia. 

 

Add new comment

Careta Ad