150,000 penumpang dijangka guna Projek Sistem Transit Rapid sehari

oleh SALINA JALIL|
Kira-kira 150,000 penumpang dijangka menggunakan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) sehari, apabila ia dijangka beroperasi pada penghujung 2026 nanti.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim, berkata jangkaan itu membabitkan 50 peratus daripada 350,000 pekerja Malaysia di Singapura yang berulang-alik menggunakan laluan Tambak Johor, sehari.

 

Beliau berkata, pembangunan RTS membabitkan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar setinggi empat tingkat serta hab pengangkutan multi model dan hartanah campuran di atas tanah berkeluasan 1.49 hektar, manakala depoh di Wadi Hana membabitkan keluasan 5.26 hektar.

 

Katanya, apabila siap nanti RTS akan menjadi sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pertama yang dibangunkan di Johor sekali gus bakal mengubah landskap pengangkutan bandar raya Johor Bahru.

 

"RTS sejauh empat kilometer yang menghubungkan antara ICQ Bukit Chagar ke Stesen Woodlands North, di Singapura, sudah dimulakan dengan kerja awalan iaitu pembersihan tapak dan pengalihan utiliti di kawasan berkenaan.

 

"RTS yang kos ditanggung Malaysia bernilai RM3.7 bilion itu bakal menggunakan lapan set tren dengan setiap satu set tren berkenaan mengandungi empat gerabak dengan kapasiti setiap gerabak adalah seramai 250 pengguna.

 

"Masa perjalanan hanya lima minit dengan kekerapan tren 3.6 minit ketika waktu puncak dan enam minit waktu bukan puncak. Waktu operasi bermula 6 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari.

 

"Harga tiket masih belum ditentukan, namun harganya akan kompetitif dan mampu milik bagi pengguna, " katanya pada sidang media majlis pecah tanah RTS secara maya.

 

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

 

Majlis pecah tanah berlangsung di tapak bangunan ICQ Bukit Chagar dengan disaksikan Sultan Ibrahim secara maya dari Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda, hari ini.

 

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

 

 

Laporan asal: Berita Harian