15 fakta tentang sejarah Lexus yang langsung anda tak tahu kan? 

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

1. Projek Lexus bermula dalam tahun 1983 bila pengerusi Toyota ketika itu, Eiji Toyoda mencabar syarikat itu menghasilkan kereta terbaik dunia. Projek itu dinamakan F1, atau Flagship One.

 

2. Ramai di Malaysia beranggapan Lexus adalah konsep jenama mewah Jepun pertama di dunia. Sebenarnya tidak. Honda melancarkan jenama mewah mereka, Acura di US dalam tahun 1986. Nissan mengumumkan kewujudan Infiniti setahun selepas itu. Lexus cuma muncul dalam tahun 1989 dan model pertamanya, Lexus LS 400 di Detroit, US.

 

3. Ada yang percaya nama asal Lexus adalah dari gabungan ayat "luxury exports to the US". Sebenarnya, tidak. Menurut sejarah, agensi pengiklanan Toyota, Saatchi & Saatchi mengupah sebuah firma perunding imej, Lippincott & Margulies untuk menghasilkan satu senarai nama untuk jenama mewah Toyota ini. Ada 219 cadangan nama di dalam senarai itu.

 

Antara nama yang tersenarai pendek ialah Vectre, Verone, Chaparel, Calibre dan Alexis. Nama yang dipilih ramai sebenarnya ialah Alexis, tetapi ia terlalu berkait dengan karektor Alexis Carrington dalam drama bersiri Dynasty (lakonan Joan Collins). Oleh itu, huruf I ditukar dengan huruf U dan ia menjadi Lexus.

 

 

4. Toyota benar-benar mahukan LS 400 menjadi kereta paling sempurna di dalam dunia. Kerana itu, kesemua kelengkapan dalam LS 400 itu diuji dan dikaji oleh ramai jurutera Toyota. Contoh terbaik ialah tidak kurang dari 10 jurutera dikerah untuk mengkaji pergerakan ashtray (tempat abu rokok) pada papan pemuka itu. Hasilnya, ashtray pada LS 400 bergerak dengan sangat lancar, seolah-olah ia terapung di atas rel udara.

 

5. Dalam projek LS juga, seorang jurutera ditugaskan untuk menguji semua butang dan suis di dalam kenderaan itu agar ia berfungsi dengan sempurna. Untuk memastikan semua pengguna berpuas hati, jurutera itu membawa tiga set kuku palsu untuk menguji butang dan suis agar ia boleh digunakan tanpa masalah. 

 

 

6. Seramai 60 perekabentuk automotif, 24 pasukan kejuruteraan, 1,400 jurutera, 2,300 juruteknik, 220 pekerja sokongan, 450 buah prototaip dan lebih dari US$1 billion dihabiskan untuk menghasilkan LS400, sedan mewah pertama Lexus. 

 

7. Lexus LS400 mempunyai rekabentuk yang lebih sesuai untuk pasaran US, di mana penanda aras dari segi rekabentuk masa itu lebih kepada jenama mewah Amerika seperti Cadillac, Buick dan sebagainya.

 

Lezus ES250 1989

 

8. Lexus memang dijual di US sahaja pada mulanya. Model LS 400 ialah model pertama khusus untuk Lexus. Semasa model itu mula dijual di US, Toyota sudah siap dengan 81 buah dewan pameran Lexus di seluruh US.

 

Toyota juga menghasilkan ES 250 (gambar atas), sebuah Camry model JDM yang diberi sentuhan rebadge untuk dijadikan sebuah Lexus. Pelancaran Lexus dan LS 400 turut diikuti oleh pakej pengiklanan bernilai jutaan dollar US. Bukan mudah ya!

 

 

9. Walaupun baharu, model pertama Lexus itu dikenali ramai sebagai sebuah kenderaan yang senyap, mempunyai kelengkapan yang tinggi, mutu pemasangan yang terbaik, menjimatkan dan memberi pulangan nilai yang baik. Malah, LS 400 terus menggondol anugerah-anugerah dari pelbagai majalah automotif terkenal US. 

 

10. Jualan BMW dan Mercedes-Benz di US turun 29 dan 19 peratus bila Lexus LS 400 diperkenalkan. Sasaran jualan Lexus pada tahun pertama ia wujud (1989) ialah 16,000 unit. Mereka menjual 16,392 buah kenderaan selepas empat bulan dilancarkan. 

 

11. Lexus hanya mula diperkenalkan di Jepun dalam tahun 2005, iaitu 16 tahun selepas Lexus ditubuhkan. Malah model Lexus lebih tinggi speknya di US, dan ia juga lebih murah di US. Jika Proton yang lakukan, pasti ramai yang memaki hamun. Apapun, ia bukanlah satu isu yang kritikal seperti isu air di Selangor.

 

 

12. Lexus ialah jenama pertama yang mempunyai penyertaan kenderaan hybrid di dalam perlumbaan 24 jam Nürburgring. Model Lexus RX 400h memasuki kategori S1 Alternative Fuels dan berentap dengan kenderaan-kenderaan diesel. 

 

13. Steven Spielberg, seorang pemilik Lexus pernah meminta Lexus untuk membina sebuah kenderaan futuristik dalam tahun 2002 untuk filem Minority Report lakonan Tom Cruise. Hasilnya, Lexus 2054 tercipta.

 

 

14. Dua personaliti tempatan yang mengimport Lexus LS 400 mereka sendiri sebelum jenama itu hadir secara rasmi di Malaysia. Menurut sumber yang dipercayai, keduanya memang sangat meminati kualiti pemasangan Lexus dan juga tahap keselesaan LS 400 itu. Mereka ialah Tan Sri Datuk Azman Hashim, Pengerusi Kumpulan Ambank dan mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

15. Lexus Malaysia dilancarkan dalam tahun 2006 dan mempunyai tujuh pusat 3S, iaitu di Mutiara Damansara, Pulau Pinang, Johor Bahru, Sungai Besi, Kuching, Ipoh dan Melaka.

 

Sebuah anak syarikat UMW Toyota, anda boleh pelajari lebih lanjut mengenai produk Lexus di Malaysia dengan melayari laman web www.lexus.com.my atau menghubungi nombor bebas tol 1800 88 53987.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
   Sama seperti kereta Lexus, bahagian luar adalah terjemahan kepada falsafah reka bentuk L-…
Berita Global
  Untuk NX 2024, beberapa penambahbaikan dibuat seperti pengukuhan ketegaran badan dan talaan…
Berita Global
Menurut laporan Forbes yang memetik kata-kata eksekutif Toyota, syarikat itu sedang merancang untuk…