149 kenderaan berjaya dilelong, JPJ KL rai kutipan lebih RM250,000

oleh Qalif Latif|
Sebanyak 149 kenderaan berjaya dilelong menerusi Lelongan Awam Siri 2/2025 anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dengan jumlah kutipan keseluruhan mencecah RM257,100.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, sebanyak 150 kenderaan ditawarkan dalam sesi lelongan yang diadakan di Bilik Merpati JPJ Kuala Lumpur, dengan sambutan menggalakkan daripada orang awam.

Menurut beliau, program lelongan awam ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JPJ dalam memastikan pengurusan aset sitaan dilakukan secara telus dan berintegriti, di samping memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki kenderaan pada harga berpatutan.

Daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang ditawarkan, sebanyak 128 daripadanya merupakan motosikal, diikuti 13 kereta, tiga van dan enam lori rigid.

Hamidi menjelaskan bahawa bidaan tertinggi dicatatkan untuk sebuah Perodua Myvi pada harga RM26,300, manakala bidaan terendah pula ialah RM150 bagi sebuah motosikal Yamaha LC.

Lelongan ini membuktikan minat tinggi masyarakat terhadap program yang dijalankan JPJ secara berkala. Rekod pelaksanaan juga menunjukkan peningkatan penyertaan awam serta keberkesanan inisiatif ini,” katanya.

Untuk perbandingan, pada Lelongan Awam Siri 1/2025 yang diadakan pada 21 Mei lalu, sebanyak 124 kenderaan berjaya dilelong dengan kutipan hasil berjumlah RM237,000, termasuk bidaan tertinggi RM27,000 bagi sebuah lori rigid tipper/dumper.

JPJ Kuala Lumpur turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta serta pihak yang menjayakan program tersebut. Orang ramai juga digalakkan untuk mengikuti saluran rasmi JPJ bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai lelongan akan datang.

Sumber: Harian Metro


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  135 kenderaan yang disita JPJ Selangor telah dilelong setelah mendapat arahan lucut hak daripada…
Berita Domestik
  “Keseluruhan 100 kenderaan sita telah dilelong hari ini (9 Oktober). Daripada jumlah itu, 34…
Berita Domestik
Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPJ Melaka Muhammad Nasroul Mohd Sukeri berkata, sehingga…