Secara keseluruhan, jualan kenderaan Proton bagi dua bulan pertama tahun ini mencecah 33,399 unit, meningkat 57.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan menurun 17.6 peratus kepada 52,996 unit berikutan tempoh perayaan pada pertengahan Februari yang menjejaskan aktiviti pendaftaran kenderaan.
"Susulan itu, pegangan pasaran Proton bagi Februari dianggarkan sekitar 25.6 peratus, manakala pegangan pasaran setakat tahun ini kini berada pada 28.5 peratus," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam tempoh lima bulan, Proton telah melancarkan lima model meliputi EV, ICE dan PHEV.
Pengenalan model terbabit menyumbang secara langsung kepada peningkatan jumlah jualan dan menjadi pemacu utama prestasi kukuh pada awal 2026.
Proton Saga kekal sebagai model paling laris. Selepas mencatat jualan bulanan tertinggi dalam sejarahnya pada Januari, sebanyak 6,047 unit didaftarkan lagi pada Februari.
Ini menjadikan jumlah jualan Saga setakat tahun ini sebanyak 16,332 unit, meningkat 69.8 peratus berbanding tahun lalu dan sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai model paling laris di Malaysia.
Proton X50 yang diperkenalkan dalam versi terkini pada Julai 2025 terus mencatat prestasi stabil.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B ini merekodkan 1,842 unit pada Februari, menjadikan jumlah jualan setakat tahun ini sebanyak 4,271 unit, meningkat 31.1 peratus berbanding tahun lalu.
Proton S70 2026 turut menunjukkan peningkatan ketara dengan 1,940 unit dicatatkan pada Februari, menjadikan jumlah jualan setakat tahun ini sebanyak 3,544 unit, meningkat 51.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Model itu juga merupakan penyumbang kedua tertinggi kepada jumlah jualan Proton bagi bulan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Datuk Ir Abdul Rashid Musa, berkata Proton memulakan 2026 dengan prestasi yang kukuh hasil permintaan berterusan terhadap barisan model baharu.
Beliau berkata, pada masa sama, usaha menambah baik pengalaman pelanggan di bilik pameran dan pusat servis terus menjadi keutamaan.
"Dalam tempoh terdekat, fokus kami adalah untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan dengan meningkatkan pengeluaran dan penghantaran setiap bulan tanpa menjejaskan kualiti produk.
"Pelaburan yang dibuat di Tanjong Malim memberi keyakinan kepada kami untuk memenuhi permintaan pasaran," katanya.
Abdul Rashid berkata, jualan Proton S70 meningkat 51.5 peratus setakat tahun ini dan momentum tersebut dijangka berterusan dengan kurang daripada sebulan selepas pelancarannya, kira-kira 5,000 tempahan diterima di seluruh negara, menunjukkan penerimaan positif daripada pasaran.
Malah, aplikasi Proton Link 2.0 turut dikemas kini pada awal Mac bagi membolehkan pelanggan membuat tempahan servis secara terus dengan rangkaian pusat 3S/4S Proton di seluruh negara dengan mudah.
"Selain produk baharu, Proton turut memberi perhatian kepada pengalaman pemilikan secara menyeluruh.
"Daripada kemudahan bilik pameran dan pusat servis yang lebih selesa hingga kepada kemudahan dalam talian, kami komited memastikan pengalaman memiliki kenderaan Proton lebih mudah dan memuaskan," katanya.