12,000 notis advokasi kepada pengguna ingkar peraturan trafik

oleh Penyumbang Rencana|
foto Utusan Malaysia
Hampir 12,000 notis advokasi dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang ingkar undang-undang trafik sejak pelaksanaan Ops Pematuhan Undang-Undang (Op PUU), selama enam hari bermula 6 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sebanyak 11,984 notis advokasi dikeluarkan sepanjang operasi yang dijalankan sejak 6 September hingga Jumaat.

Katanya, Op PUU menumpukan kepada aspek pendidikan, penglibatan komuniti, pengurangan kesesakan akibat sikap pengguna jalan raya serta usaha pencegahan jenayah.

“Operasi ini bertujuan menanam kesedaran jangka panjang mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.

“Antara kesalahan lazim yang diberi perhatian termasuk pejalan kaki tidak menggunakan lintasan zebra atau jejantas, menghalang lalu lintas serta berhenti melepasi garisan putih di lampu isyarat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Op PUU di Jalan Bukit Bintang awal pagi Sabtu. 

Menurutnya, polis turut menumpukan pemantauan terhadap pengguna yang melanggar lampu isyarat merah, penunggang motosikal tanpa topi keledar serta kenderaan yang dipasang ekzos dan aksesori haram.

“Pada peringkat awal, operasi dilaksanakan di kawasan tumpuan lalu lintas di pusat bandar seperti Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan P. Ramlee dan Jalan Tun Razak sebelum diperluaskan ke seluruh ibu negara.

“Operasi advokasi ini akan diteruskan sehingga tarikh yang belum ditetapkan. Selepas fasa advokasi tamat, tindakan penguatkuasaan penuh akan diambil,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran mengenai kepatuhan undang-undang turut akan diperluaskan ke sekolah dengan kerjasama pelbagai agensi.

Jelasnya, matlamat kita adalah untuk membentuk masyarakat yang lebih patuh undang-undang. 

Tegasnya, tindakan tetap akan dikenakan terhadap kesalahan serius seperti memandu atau menunggang tanpa lesen walaupun dalam tempoh advokasi.

“Bagi kesalahan terang-terangan, tindakan segera akan diambil tanpa kompromi.

“Operasi ini melibatkan kekuatan penuh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dengan sokongan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Utusan Malaysia

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Saya arahkan supaya dipertingkatkan semua operasi berkenaan Ops Mabuk. Kita sudah tekankan…
Berita Domestik
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata, meskipun ia tidak terlalu…
Berita Domestik
Beliau berkata, pihaknya memandang serius setiap kes kemalangan maut yang berlaku dan tidak akan…