12 Fakta Menarik berkenaan syarikat penala HKS

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Siapa sahaja di dalam dunia permotoran yang tidak kenal kombinasi huruf H, K dan S yang berasal daripada Jepun ini. 

HKS amat terkenal sebagai sebuah syarikat penala dan memproduksikan pelbagai barangan dan komponen aftermarket seperti camshaft, rod penyambung sehinggalah kepada komponen luar seperti kit intercooler, sistem ekzos, kit turbo, sistem pengurusan enjin (EMS) serta peralatan prestasi tinggi yang lain.

Sebagai bahan bacaan tambahan di hujung minggu yang indah ini, jom ikuti beberapa fakta menarik berkenaan syarikat HKS:
 


1. HKS merupakan gabungan nama daripada pengasas Hasegawa Hiroyuki dan Kitagawa Goichi dan segala hal ehwal berkenaan dana disalurkan oleh Sigma Automotive (anda kenal SARD?).

2. Hasegawa Hiroyuki merupakan bekas jurutera bagi Yamaha Motor Company. Hebat-hebat juga generasi yang lahir daripada Yamaha ini ya? 
 


3. Kit turbo pertama didunia dihasilkan oleh HKS pada tahun 1974 untuk model Skyline GC100 bernadikan enjin L20. Kit ini mampu meningkatkan sehingga 40% kuasa berbanding enjin standard (115 PS/161 Nm -> 160 PS/226 Nm).

4. Hanya tiga tahun selepas itu, baharulah kit turbo dengan jenama HKS dijual secara rasmi. Untuk itu, HKS membeli turbocharger daripada USA dan membangunkan kit mereka tersendiri. 

5. HKS merupakan antara pelopor produk elektronik seperti kawalan bahan api F-CON, AIC, TwinPower, Turbo Timer, EVC, FCD dan VPC. 

EVC, Turbo Timer dan F-CON merupakan tiga produk terlaris HKS. 

 


6. HKS M300 merupakan sebuah Toyota Celica XX yang ditala oleh HKS dan mampu mencapai kelajuan 301 km/j di Yatabe Max Speed, pertama kali dalam sejarah automobil Jepun. 

Menggunakan enjin 5M-G turbo berkembar, ia mampu menjana 600 hp, satu angka yang cukup impresif pada tahun 1983!
 


7. HKS (ketika di bawah jenama RalliArt) juga pernah membangunkan enjin empat silinder tersendiri menggunakan asas daripada enjin G54B Mitsubishi. 

Selain daripada blok asal G54B, hampir kesemua komponen dibangunkan menggunakan produk HKS seperti piston, twin-cam head dan karburetor berkembar Solex 50 mm. 

Hasilnya? 276 hp dan 264 Nm dalam badan Mitsubishi Starion. 
 


8. Jangan tidak tahu, HKS turut terlibat di dalam perlumbaan motosikal, dengan enjin lumba 200E bersesaran 600 cc dua silinder dan dua injap DOHC. 

Ketika awal pengenalan, enjin 200E ini mengejutkan ramai orang dengan prestasinya yang memberangsangkan, sebelum ia kemudian digunakan hampir 95% oleh para pelumba. 
 


9. Antara jentera yang menerima talaan sepenuhnya daripada HKS adalah Skyline R32 HKS Zero-R dengan empat unit sahaja menjadikan ia sangat rare di atas muka bumi ini. 

Zero-R dengan enjin RB26DETT telah ditambah sesarannya menjadi 2,688 cc dan mampu menghasilkan kuasa setinggi 600 PS!

Baca: Nissan Skyline R32 HKS Zero-R

 


10. Sejarah R32 dan HKS tidak pernah terhenti setakat itu dan menerusi perlumbaan JTC Group A, mereka mempelajari selok belok modifikasi untuk GT-R dengan cara berlumba. 

Kemenangan pertama HKS di dalam perlumbaan tersebut hanya diperoleh setelah dua tahun mereka mencuba nasib. 

11. HKS juga banyak menceburi sukan permotoran yang berlainan seperti kejuaraan F3, drift D1GP, time attack, malah FIM World Endurance Championship di Suzuka!

Kesemua ini membantu HKS lebih mendalami dan menghasilkan produk yang bersesuaian. 
 


12. HKS juga sebenarnya turut membuat #2Kerja di bawah HKS Aviation, di mana mereka menghasilkan enjin untuk kegunaan Ultra-Light Plane

Enjin berkod 700E empat lejang dua silinder dan karburetor berkembar ini mampu menghasilkan 60 hp pada 6,200 rpm untuk fasa take-off dan 56 hp pada putaran enjin 5,800 rpm. 

Ia dihasilkan sebagai alternatif kepada enjin dua lejang Rotax yang sangat tidak mesra bahan api. 

Antara kapal terbang ringan yang menggunakan nadi 700E ini termasuklah Capella T-Raptor, Earthstar Thunder Gull, Murphy JDM-8 dan Phoenix Air Phoenix.

Baca: #2Kerja - Kerja sambilan yang dilakukan oleh syarikat automotif dunia
 

 


Bagi mereka yang tidak mengetahui, pengasas HKS, Hiroyuki Hasegawa dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya pada usianya 71 tahun tiga tahun lalu.

Berehatlah dengan aman, HKS-san!

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Antara yang sah dan bakal menarik tumpuan peminat JDM di Malaysia pada Tokyo Auto Salon Kuala…
Berita Global
Tidak pun lama selepas GR 86 dilancarkan di peringkat global, penala terkenal HKS mula…
Berita Global
Ia mula digunakan pada model berprestasi tinggi Nissan Skyline GT-R R32 dengan angka output 276…