
Selain daripada kejayaan mengenengahkan sesuatu yang begitu asing, Porsche juga membalikkan norma melalui satu lagi model berbeza iaitu sedan empat pintu yang dikenali sebagai Panamera.
Sedan empat pintu mungkin berbunyi biasa, segmen rasmi Panamera ialah Gran Turismo.
Tahun berganti tahun, Panamera memasuki usia kesepuluh sejak pertama kali diperkenalkan pada April 2009.
Rasa macam tidak percaya Porsche membuat keputusan untuk mengeluarkan kereta penumpang empat pintu.
Tidak seperti kereta lain dalam segmen mewah, Panamera menggabungkan prestasi sebuah kereta sport dengan kemewahan dan versatiliti sebuah kereta penumpang.

Keberanian Porsche menjangkaui segmen bukan tradisional ternyata berbaloi apabila pada peringkat awal perancangan pengeluaran ialah sebanyak 20,000 unit sahaja setahun dan sehingga kini rekod tersebut berjaya dipecahkan apabila jualan sudah pun melebihi 235,000 unit.
Untuk sebuah jenama kenderaan berprestasi, angka ratusan ribu adalah suatu yang luar biasa.
Di bawah ialah maklumat menarik tentang Porsche Panamera:
- Sebuah Porsche untuk empat penumpang bukan idea baharu dalam sejarah 70 tahun syarikat. Porsche mula menghasilkan sebuah kereta empat pintu pada tahun 50an yang diasaskan daripada model 356
- Sebuah prototaip kereta empat pintu daripada model 911 turut pernah dikeluarkan
- Pada tahun 80an, versi model 928 yang dipanjangkan dikeluarkan dan digunakan oleh Ferry Porsche sebagai kereta peribadi
- Pada tahun 1988, Porsche mengeluarkan Type 998 iaitu sebuah coupé empat pintu dengan kerusi bersaiz penuh di bahagian belakang. Model ini menggunakan enjin V8 di bahagian hadapan.
- Elemen reka bentuk daripada 989 diterapkan pada 911 (generasi 993). Type 989 kekal sebagai sebuah prototaip seperti projek-projek sebelumnya dan program pembangunan dihentikan pada awal 1992 disebabkan faktor ekonomi
- Pada awal milenium (2000), Porsche melakukan kajian pasaran, menganalisa persaingan dan kemudian membuat keputusan bagi menghasilkan sebuah sedan hatchback empat pintu
- Semasa proses reka bentuk terdapat tiga konsep yang dicadangkain iaitu Mirage, Meteor dan Phantom
- Model produksi mempunyai banyak persamaan dengan konsep Mirage dan akhirnya elemen daripada ketiga-tiga varian tersebut digunakan
- Seterusnya nama Panamera dipilih yang dipengaruhi oleh perlumbaan endurans Mexico iaitu Carrera Panamericana
- Panamera pertama kali dipamerkan secara rasmi pada 19 April 2019 di hadapan media daripada serata dunia di tingat 94 Pusat Kewangan Dunia, Shanghai, China
- Pasaran China mempunyai model khusus iaitu Panamera Executive dengan jarak roda dipanjangkan dan sebahagian daripada versi wajah baharu pada 2013
- Panamera generasi kedua diperkenalkan kepada umum pada 28 Jun 2018
- Panamera Turbo mencatat masa 7:38 minit di Nürburgring-Nordschleife yang dipandu oleh Lars Kern, pelumba pasukan Porsche
- Julat Porsche G2 bermula daripada 330 PS sehingga 680 PS untuk varian plug-in hybrid

Selepas mengeluarkan siri model berbeza iaitu Cayenne, Macan dan Panamera, apakah langkah Porsche yang seterusnya?
Kami tidak pasti tetapi pujian harus diberikan buat Porsche kerana berjaya meneroka dan menanggung risiko untuk sesuatu yang luar biasa buat jenama berprestasi.
Jujur, ketiga-tiga model yang disebutkan ini lebih mudah dijumpai di atas jalan raya berbanding Porsche dua pintu. Maaf, ini adalah kenyataan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
