10 point - Kenapa enjin ada yang di depan, di tengah dan di belakang?

oleh HEZERI SAMSURI|
Lokasi enjin secara amnya ada di tiga tempat - di hadapan kenderaan, di tengah atau di belakang.

Kami kongsikan kenapa lokasi itu dipilih.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
porsche 911
Porsche 911 tetap mengekalkan enjin di atas gandar belakang.

 

1. Enjin Belakang (Rear- Engine) sebenarnya digunakan oleh kenderaan sejak awal lagi. Contoh terbaik ialah Volkswagen Beetle dan kerana enjinnya di belakang, ruang but adalah lebih besar (untuk zaman 1940-an) serta cengkaman maksimum membolehkan lebih banyak ia memberi pemanduan yang lebih bertenaga (berat enjin memberi tekanan ke atas roda belakang).

2. Namun begitu, selepas munculnya Austin Mini dengan enjin hadapan serta pacuan roda hadapan, pasaran kenderaan enjin belakang hanya berfokus kepada kenderaan perlumbaan atau kereta sport. Contoh terbaik ialah Porsche 911.

3. Dengan enjin berada di belakang, digabungkan dengan Pacuan Roda Belakang (RWD), pemandu yang terlatih akan merasakan kenikmatan cengkaman maksimum serta lontaran tenaga yang lebih padat. Sayangnya, ia memerlukan latihan kawalan yang tinggi kerana ia mudah untuk oversteer (drift tanpa kawalan).

 

 

4. Enjin Tengah (Mid Engine) pula sebenarnya bukanlah enjin itu berada betul-betul di tengah, tetapi di bahagian belakang kenderaan dan sebelum gandar roda belakang.

5. Ia memberikan agihan berat yang terbaik untuk sebuah kenderaan, membolehkan ia mengambil selekoh dengan lebih mantap. Sayangnya, jika hilang kawalan, kereta berenjin tengah sangat sukar untuk dikawal semula kerana pusat graviti yang lebih rendah menjadikan ia sukar untuk berhenti dari berpusing 360-darjah.

6. Satu lagi masalah ialah kenderaan dengan enjin tengah akan mempunyai ruang kabin yang sempit kerana tempat enjin itu akan berebut dengan tempat duduk belakang. Kerana itu, kereta berenjin tengah selalunya tidak mempunyai tempat duduk atau mempunyai tempat duduk yang muat untuk dua orang dewasa tanpa kaki. Antara contoh terbaik ialah Toyota MR2 (gambar atas) atau Porsche Cayman.

 

 

 

7. Enjin Hadapan (Front Engine) ialah apa yang digunakan oleh 98 peratus kenderaan di dalam pasaran sekarang. Dan dari jumlah itu, 90 peratus adalah kenderaan Pacuan Roda Hadapan (FWD) dan kesemua itu patut berterima kasih kepada Austin Mini (gambar atas) yang mempopularkan kedudukan tersebut. 

8. FWD dengan enjin di hadapan adalah konfigurasi paling selamat kerana ia mudah dikawal. Jika selekoh diambil terlalu laju, besar kemungkinan ia cuma akan understeer (tidak mahu membelok dengan secukupnya) dan cara untuk keluar dari situasi itu ialah dengan mengangkat kaki dari pedal pendikit. Mudah.

 

 

9. Kereta RWD dengan enjin di hadapan pula memberikan imbangan berat yang lebih baik dan membenarkan aksi drift dilakukan tetapi ia mahal untuk dibina, memakan ruang kabin dan menggunakan bahan api yang lebih banyak. Kerana itu RWD dengan enjin di hadapan masih lagi khusus untuk kenderaan mewah dan kereta sport. Contoh terbaik ialah BMW 3-Series ke atas, Toyota GT86 dan banyak lagi. 

10. Pemilihan lokasi enjin bergantung kepada genre kenderaan itu dan juga kepada harga yang disasarkan. Pastinya, kenderaan biasa akan menggunakan platform enjin di hadapan tetapi jenama-jenama mewah dan prestasi masih merasakan lokasi enjin di belakang atau di tengah mempunyai sifat yang lebih premium.

Berita Berkenaan

Informasi
Ia merupakan mitos semata kerana gula tidak larut dalam petrol dan ia akan kekal dalam bentuk…
Berita Global
Anda boleh mengubah kereta elektrik itu menjadi sebuah EV yang mampu menawarkan pemanduan yang…
Berita Global
Projek super dron AZ1000 yang dihasilkan oleh Arase Aizawa Aerospatiale LLC itu diperlihatkan…