10 perkara tentang Audi S3 2024, kuasa bertambah, brek lagi berkuasa

oleh Muhammad Md Tajudin|
Audi S3 Saloon 2024
Audi S3 Saloon 2024
Kemeriahan penawaran dan penerimaan kenderaan utiliti sukan (SUV) tidak bermakna kereta sedan perlu diabaikan.

Kereta sedan masih mempunyai ramai peminat dan pengeluar sendiri tidak mengabaikannya. 

Kereta sedan dan hatchback juga merupakan habitat untuk model berprestasi walaupun dengan kehadiran SUV berkuasa tinggi.

Setakat ini litar lumba di serata dunia masih lagi dikuasai kereta sedan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Audi S3 Sportback 2024

 

Di antara sedan dan hatchback berprestasi ialah Audi S3 Saloon dan Sportback yang kini berada di dalam generasi keempat selepas diperkenal pada 2020.

Terbaru Audi berkongsi sepuluh perkara mengenai S3 2024.

Model ini menjalani ujian pertama di Salahah, Oman dan menurut Audi bukan sekadar naik taraf biasa.

1. Kuasa dan tork lagi tinggi

 

Audi S3 Sportback dan Saloon 2024

 

Enjin 2.0 liter TFSI empat silinder membekalkan 333 ps dan tork 420Nm atau 23 ps dan 20Nm lebih tinggi yang diterjemah kepada peningkatan prestasi pecutan dan ketangkasan.

Daya kilas maksimum berada pada julat 2,100 sehingga 5,500 rpm.

Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 4.7 saat dan kelajuan dihadkan kepada 249 km/j.

2. Penalaan enjin yang dioptimum

 

Audi S3 Sportback 2024

 

Pengecas turbo yang dalam keadaan bersedia (preloaded) memastikan penghantaran kuasa lebih spontan.

Selain itu, injap pendikit yang dibuka dalam peringkat tujah (thrust phases) turut meningkatkan prestasi.

Bukaan injap yang lebih besar dan lama menjadikan pengumpulan daya kilas lebih pantas dan meningkatkan lagi tindak balas enjin.

Ciri tersebut boleh dinikmati di dalam mod Dynamic dan Dynamic Plus baharu.

3. Tetapan transmisi lebih sporti

 

Audi S3 Sportback dan Saloon 2024.

 

Kotak gear S tronic tujuh kelajuan membolehkan S3 dipecut lebih pantas hasil daya kilas permulaan lebih tinggi.

Prestasi tersebut dicapai dengan memampatkan pek cekam pada cekam berkenaan dengan lebih kuat.

Selain itu, masa penukaran gear dalam injakan penuh (full load) dipendekkan dan kelajuan enjin ditingkatkan di dalam separa injakan (partial load) semasa gear dalam kedudukan D.

Tetapan tersebut menyumbang kepada tindak balas yang sangat baik.

4. Pemisah daya kilas (tork)

 

Audi S3 Sportback 2024

 

Sama seperti Audi RS 3, sedan dan hatchback S3 2024 dilengkapi pemisah daya kilas yang meningkatkan kelincahan dan kestabilan.

Teknologi ini membolehkan pembahagian daya kilas secara aktif dan boleh ubah sepenuhnya di antara roda belakang.

Pemisah daya kilas menggunakan cekam pelbagai cakera kawalan elektronik pada setiap aci pacu.

Tugasnya membahagikan daya kilas di antara roda belakang pada bahagian dalam dan luar (di selekoh) secara optimum berdasarkan keadaan dan mod pemanduan.

5. Mod pemanduan Audi baharu

 

Audi S3 Sportback 2024

 

Mod Dynamic Plus memastikan dinamik pemanduan yang tinggi.

Pemisah daya kilas menghantar sebanyak mungkin tujahan kepada gandar dan roda belakang pada bahagian luar dan cenderung kepada pembelokan lebih (oversteer).

Sistem Kawalan Penstabil Elektronik (ESC) berfungsi secara automatik di dalam Mod Sport.

Campur tangan sistem ESC pada tahap sederhana memastikan pemandu dapat menikmati dinamika kereta dengan lebih mengasyikkan.

Enjin dan kotak gear turut ditala khusus untuk mod Dynamic Plus. Berbanding mod Dynamic, kelajuan melahu enjin ditingkatkan sebanyak 200 rpm kepada 1,300 rpm.

Tetapan itu dibuat bagi meningkatkan lagi prestasi ketika mula memecut. Tindak balas pendikit juga lebih langsung (direct).

Selain penukaran gear lebih pendek, transmisi turut menyumbang kepada peningkatan dinamika dengan tukaran gear atas lebih lambat dan gear bawah lebih awal.

6. Kamber negatif lebih besar

 

Audi S3 Sportback 2024

 

Bukaan roda depan dengan kamber negatif lebih besar boleh dibuat apabila Audi memasang galas pangsi (pivot bearings) pada ampaian McPherson depan.

Bukaan kamber negatif lebih besar menyumbang kepada cengkaman dan dinamika yang lebih tinggi di selekoh.

Bersama tetulang wishbone ampaian lebih tegar, S3 menjadi lebih lincah.

7. Stereng progresif yang dioptimumkan

 

Audi S3 Sportback 2024

 

S3 didatangkan dengan stereng progresif atau lebih banyak stereng dipulas atau membelok lebih langsung (direct) dirasakan pemandu.

Untuk meningkatkan rasa stereng, Audi telah membuat pelarasan.

Pada sudut tengah, stereng lebih kejat dan meningkatkan ketepatan dan maklum balas untuk pengendalian keseluruhan lebih baik.

8. Brek lebih berkuasa

 

Audi S3 Saloon 2024

 

Dinamika pemanduan yang dipertingkatkan juga bermakna brek perlu bekerja lebih keras.

S3 2024 dilengkapi cakera depan lebih besar. Cakera depan saiz 18 inci dengan diameter 357 milimeter (mm) dan 34 mm atau empat milimeter lebih tebal berbanding sebelum ini.

Satu lagi ciri baharu ialah angkup brek omboh berkembar pada bahagian depan dan secara keseluruhannya meningkatkan prestasi pembrekan.

9. Tayar prestasi tinggi

 

Audi S3 Saloon 2024

 

Audi memberikan dua tayar baharu saiz 19 inci dengan ukuran 235/35.

Tayar baharu mempunyai cengkaman tinggi dan kestabilan di litar yang jitu terutama sekali di atas permukaan kering.

Tayar dengan label D pula untuk pengendalian merentasi julat kelajuan.

10. Kawalan penstabilan

 

Audi S3 Saloon 2024

 

Mod sport ESC S3 direka untuk dinamika yang maksimum dengan kerjasama enjin, kotak gear dan pemisah daya kilas.

Kesemua sistem kawalan ampaian S3 telah ditala khusus untuk tindak balas pembelokan dan pengendalian dinamik.

Seperti yang dinyatakan, kawalan daya kilas roda terpilih dengan campur tangan ESC yang sederhana (sedikit brek pada dua roda dalam di selekoh) telah dipertingkatkan.

Begitu juga dengan ciri-ciri cengkaman dan nyah pecut.

Perbezaan daya putaran roda bermakna S3 boleh memasuki selekoh dengan lebih mudah dan pematuhan darjah stereng yang lebih jitu atau "stereng dengar kata".

Peningkatan dinamika pemanduan juga selari dengan kestabilan yang ditambah baik pada hadnya.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Audi S3 Sportback dan Saloon 2024