10 perangai buruk yang merosakkan kenderaan anda

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kita semua ada perangai buruk, dan ia adalah normal untuk mana-mana manusia.

Ada yang suka termenung, ada yang suka mengintai dan ada yang suka mengorek hidung tetapi tidak ada satu pun aktiviti tersebut yang bakal menghadiahkan anda dengan bil besar dari mekanik anda.

Popular Mechanics, salah satu majalah diminati ramai telah menyenaraikan 10 perkara buruk paling sering dilakukan ramai dan bakal merosakkan kenderaan mereka.

 

10. Mengabaikan Brek Parkir
 

sumber: yourmechanic.com


Ramai pemandu beranggapan meninggalkan kenderaan di dalam gear atau gear P sudah mencukupi dan selamat.

Benar tetapi apa yang anda lakukan ialah meletakan seluruh berat kenderaan anda itu pada seketul besi kecil yang dipanggil "parking pawl".

Ia hanyalah sebesar jari anda dan ia bakal haus atau patah sekiranya sering dibiarkan menahan berat seluruh kenderaan.

Kasihani akan besi itu dan gunakan brek parkir anda, walaupun di atas kawasan yang landai.

Apa-apa kerosakan transmisi bakal "merosakkan" akaun bank anda.

Kenderaan moden kebanyakannya sudah pun dilengkapi ciri brek parkir automatik pada saat anda menukar kepada posisi P. 

Namun, apalah salahnya untuk menghabiskan masa sesaat dua bagi memastikan kenderaan anda berada di dalam mod parkir.


9. Membiarkan tangki hampir kering

sumber: How Stuff Works


Sentiasa kita dengar jawapan ini, "Eh banyak lagi tu, boleh jalan balik rumah dan ke pejebat esok," walaupun jarum tolok bahan api sudah hampir ke logo E.

E bermaksud "Empty", dan lawak E itu "Enough" atau cukup adalah satu lawak yang mungkin akan menyebabkan anda menggantikan pam bahan api anda (sesetengah trak pikap mempunyai pam bahan api yang berharga lebih dari RM4,000!).

Kenapa?
 
Mudah. 

Pam tangki bahan api kekal sejuk kerana ia direndam di dalam bahan api di dalam tangki itu sendiri.

Bila bahan api hanya tinggal suku, anda meningkatkan suhu pam tersebut dan komponennya tidak akan tahan selama yang patut.

 

8. Tukar gear dari R ke D sepantas kilat!

sumber: Car From Japan


Ya, kami faham. Ramai yang hendak cepat dan tidak ada masa untuk menunggu kenderaan itu benar-benar berhenti sebelum menukar transmisi dari R (undur) ke D (Drive).

Oleh kerana itu, ramai yang bakal menghadapi dengan kerosakan pra-matang untuk komponen transmisi, enjin dan juga gandar!

 

7. Vroom-vroom semasa enjin sejuk

sumber: yourmechanic.com


Awal pagi, ramai terkejar-kejar untuk tidak lambat ke pejabat.

Kerana itu, ramai yang menghidupkan enjin dan terus memecut laju.

Sedangkan manusia sendiri perlukan senaman memanaskan badan sebelum bersukan, apatah lagi enjin kenderaan buatan manusia yang kolot ini.

Bila kita memecut enjin yang masih sejuk, apa yang terjadi ialah komponen-komponen dalaman enjin menjadi panas secara tiba-tiba dan ini akan mengakibatkan "kejutan suhu".

Menurut Popular Mechanics, berikan 60 saat agar minyak pelincir sempat naik ke seluruh liang komponen enjin sebelum memandu.

Ini menjamin enjin kenderaan lebih tahan lama.

 

6. Memecut bila tidak perlu pun

sumber: Chevy Hardcore


Kita sering melihat pemandu melakukan ini di bandar-bandar, terutama di lampu isyarat.

Sebaik sahaja lampu bertukar menjadi hijau, Ahmad, Muniandy dan Ah Kow terus bertukar menjadi Michael Schumacher, Lewis Hamilton dan Fernando Alonso - memecut Saga, Vios dan Myvi mereka walhal sudah jelas nampak satu lagi lampu isyarat 500 meter di hadapan.

Kemudian semuanya brek keras untuk berhenti, sebelum memulakan Grand Prix Segambut Dalam mereka itu.

Apa yang sebenarnya terjadi ialah Ahmad, Muniandy dan Ah Kow tidak ada Ferrari, Mercedes-Benz atau Renault untuk menjaga kenderaan mereka.

Ketiga badut itu terpaksa mengeluarkan wang saku sendiri untuk mengisi minyak (memecut bakal meningkatkan penggunaan bahan api), menggantikan komponen enjin yang cepat haus atau rosak (juga kerana memecut) dan menggantikan ped brek serta cakera brek yang meliuk.

Alangkah baiknya jika duit itu disimpan untuk membeli T-Shirt Careta yang bakal menjadikan mereka nampak sekacak Hezeri Samsuri?

Kan? 


5. Tombol gear jadi "hand rest"

sumber: Fast and Furious


Bila ada memandu kenderaan manual, sindrom tangan-kiri-tidak-tahu-letak-di-mana acapkali terjadi.

Hasilnya, ada segelintir yang meletakkan pergelangan tangan kiri mereka di atas tombol gear manual, hanya beberapa inci dari peha gadis genit di sebelah pemandu.

Hmmm... mungkin anda bertujuan untuk menyuruh gadis itu melihat anda sangat cekap bermain dengan tuil gear manual tetapi percayalah, apa yang sebenarnya berlaku ialah berat tangan anda itu cukup memberikan tekanan kepada komponen-komponen transmisi manual seperti "bushing" getah dan "synchronisers". 


4. Mendera klac

sumber: Auto Express


Perasan tak bila kita berhenti di lampu isyarat merah, kita akan tekan klac agar mudah untuk bergerak kembali bila lampu bertukar menjadi hijau.

Paling teruk, kita gunakan klac untuk menahan kenderaan dari menggelungsur ketika berhenti di cerun (riding the clutch) - jadi kita tidak penat menekan brek.

Kedua-dua tabiat ini bakal menjahanamkan plet klac kerana jika pedal klac ditekan habis untuk jangka masa lama, anda akan merosakkan "release bearing", "release arm" dan "pressure plate" pada transisi itu.

"Riding the clutch" pula akan menyebabkan kedua-dua plet klac anda hangus awal, dan kerana itu kadang-kadang anda boleh bau sesuatu terbakar - plet klac.

Masukkan transmisi dalam gear Neutral. Itu yang terbaik.

 

3. Membawa terlalu banyak muatan

sumber: Consumer Reports


Kadang-kadang kami pelik, ada keluarga kecil sanggup bersempit kerana si bapa mahu membeli sebuah hatchback walhal sudah tahu kereta akan sendat dengan muatan dan penumpang.

Oleh kerana mereka pemandu, mereka duduk selesa di tempat duduknya tetapi si ibu di sebelah kebas kaki memangku anak sementara anak-anak di belakang bersempit kaki dengan beg baju dan mangkuk tepen.

Lain kali, jadilah ayah yang lebih bertanggung jawab dan belilah sedan. 

Tak cantik, tetapi selesa dan selamat untuk keluarga.

Ini sama dengan ayah yang tidak mahu hidup dengan MPV kerana buruk, maka rela melihat keluarga bersesak di dalam SUV 7-tempat duduk yang sempit.

Apa yang berlaku juga ialah bila kenderaan itu membawa muatan berlebihan, anda akan menggunakan lebih banyak bahan api dan komponen-komponen brek, sistem gantungan dan transmisi juga akan lebih segera haus.

Mereka yang memandu berseorangan juga boleh melakukan kesilapan ini. 

Enam pasang kasut, empat jenis beg tangan, tiga batang payung dan segala macam khazanah di tempat letak barang yang dibiarkan setiap hari bakal menyumbang kepada muatan berlebihan juga.

 

2. Kaki di atas pedal brek, sentiasa

sumber: Car From Japan

Ini sering kami lihat, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda.

Bila mereka memandu menuruni bukit, kaki kanan mereka diletakkan dengan perlahan di atas pedal brek dan kenderaan dibiarkan menggelungsur pada kelajuan tarikan graviti.

Kononnya, mereka sudah bersedia jika perlu membuat brek kecemasan.

Realitinya, ped brek anda sudahpun bergeser secara perlahan dengan cakera, menyebabkan ia haus dengan lebih segera.

Anda juga meningkatkan suhu komponen brek, dan ini boleh menyebabkan ia menjadi terlalu panas dan cakera itu meliuk (warp).

Kerana itu, semasa menuruni bukit, gunakan gear rendah. 

Dengan cara ini, tenaga dari enjin sendiri akan memperlahankan kenderaan.


1. Tidak hirau pada sebarang amaran dari kenderaan

sumber: Autoblog


Kenderaan kita mempunyai lebih dari 30,000 komponen di dalamnya dan mustahil ia kekal okay selamanya.

Seorang pemandu yang baik perlu prihatin akan apa yang berlaku pada kenderaannya.

Setiap gegaran, setiap bunyi berkeriut, setiap geseran dan apa-apa benda yang tidak normal pada kenderaan kita perlu diperiksa atau dipastikan.

Ini akan memastikan kenderaan anda tidak rosak ditengah jalan ketika balik ke kampung pada jam 2 pagi, di sebelah tanah perkuburan.

Ngeri bukan?