10 Fakta Menarik Berkenaan Kereta Sports Toyota Celica

oleh Mohamad Hanif|
Toyota Celica sudah pun lama dihentikan produksinya menerusi generasi ketujuh pada tahun 2006, dan bermakna sudah 14 tahun model tersebut tidak mempunyai sebarang pengganti.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jika diimbas kembali sejarah, Toyota Celica mula memunculkan diri di persada dunia kira-kira 50 tahun yang lalu, di mana produksi bermula pada Disember 1970.

Jadi, apa yang menariknya berkenaan Celica yang kini menyambut ulang tahun yang ke-50 ini?
 

1. Apa maksud Celica?


Jika anda perasan, kebanyakan nama-nama model klasik Toyota banyak diinspirasikan daripada perkataan asing (seperti contoh Latin) dengan maksud yang tertinggi, terulung dan teragung.

Seperti contoh, Supra membawa maksud yang tertinggi, Corona (cincin matahari), Corolla (mahkota kecil), Camry (mahkota), dan Crown (semestinya mahkota).

Untuk nama Celica, ia sebenarnya diambil daripada perkataan Latin 'coelica' yang membawa maksud 'heavenly' atau 'celestial' (syurga, cakerawala).

Indah betul nama-nama klasik Toyota ni, kan?
 

2. Celica = Japanese Mustang!


Era 70-an menyaksikan kebanjiran kereta-kereta pony seperti Ford Mustang, Chevrolet Camaro, Pontiac Firebird dan Dodge Challenger mula meraih populariti tersendiri.

Jepun pada ketika itu mempunyai kereta sports pertama mereka, Toyota 2000GT, namun ianya amat mahal dan tidak mempunyai tahap praktikaliti dan kegunaan yang diharapkan.

Jadi, apa opsyen yang ada?

Toyota Celica dan jika anda perhati rekaan luarannya banyak diinspirasikan daripada kereta-kereta Amerika yang disebutkan itu tadi, namun dengan tambahan ciri reliabiliti dan kualiti Toyota yang terkenal sejak zaman berzaman.

Dan disebabkan cita-cita Toyota untuk menjadikan Celica model global yang sukses, Celica juga menjadi kereta Jepun pertama yang dipasang menggunakan teknologi robotik termaju (pada ketika itu).
 

3. Macam-macam stail badan ada!


Celica generasi pertama hanya didatangkan dalam bentuk coupe dua pintu dan liftback tiga pintu yang memang menyerupai model Mustang pada ketika itu.

Tatkala generasi kedua tidak nampak begitu menarik, generasi ketiga Celica (kod nama A60) mula didatangkan dalam pelbagai stail badan, seperti coupe dua pintu, liftback tiga pintu dan juga convertible!

 

4. Mahukan Celica yang lebih berkuasa? Celica Supra jawapan untuk anda.


Sebagai sebuah kereta sports, Toyota Celica pada awalnya hanya didatangkan dengan barisan enjin empat silinder sebaris sahaja, bermula dari enjin T-Series (1.4 liter - 1.6 liter 2T-G), dan enjin R-Series (1.9 liter - 2.2 liter).

Model dengan enjin 2.2 liter itu hanya mampu menghasilkan 91 hp dan 165 Nm sahaja.

Jika anda (pada era 70-an) mahukan kereta Jepun yang lebih berkuasa, anda perlu mendapatkan model ini, Celica Supra.

Celica Supra senang cerita merupakan sebuah Celica yang bertambah dimensinya, disebabkan Toyota mahu menyumbat enjin enam silinder sebaris.

Celica Supra generasi pertama datang dengan enjin inline-6 berikut:

  • 2.0 liter M-EU - 125 PS/184 Nm
  • 2.6 liter 4M-E - 140 PS/184 Nm
  • 2.8 liter 5M-E - 118 PS/197 Nm

 

5. Celica juga dapat sentuhan Yamaha, Lotus


Bukan Celica enjin inline-4, akan tetapi generasi terawal Celica Supra (dikenali sebagai Celica XX atau Celica double X) memang bukan calang-calang kereta sports.

Ini kerana kereta tersebut turut mendapat bantuan kejuruteraan daripada Lotus Cars, dan sesetengah komponen yang digunakan disumberkan daripada Lotus Excel.

Malah, enjin asal 1G-EU 2.0 liter enam silinder sebaris DOHC itu sebenarnya mendapat sentuhan daripada Yamaha, yang sememangnya dikenali sebagai penala enjin dan pengeluar alat muzik terkemuka dunia.

 

6. Celica kekal menjadi kereta sport pacuan roda hadapan


Setelah tiga generasi ditawarkan dalam konfigurasi pacuan roda belakang, Toyota akhirnya memutuskan untuk memisahkan model Celica dan Supra.

Jika anda perasan, kod generasi keempat Toyota Celica telah berubah daripada 'A' kepada 'T', merujuk kepada platform pacuan roda hadapan yang turut sama digunakan oleh model Toyota Carina.

Sementara model Supra pula kekal eksklusif dengan platform A, dengan enjin enam silinder sebaris dan konfigurasi pacuan roda belakang.
 

7. Celica GT-Four - versi Celica paling berkuasa, 4WD!


Toyota sebenarnya tidak menyisihkan peranan Celica secara total, ini kerana pengeluar automotif gergasi Jepun itu turut mendatangkan model berprestasi tinggi yang dikenali sebagai Celica GT-Four.

Tiga generasi sempat dihasilkan dalam variasi GT-Four, di mana generasi pertama GT-Four (All-Trac untuk sesetengah pasaran) dilengkapi dengan enjin 3S-GTE yang menghasilkan 190 hp dan 249 Nm, transmisi manual dan sistem pacuan semua roda 4WD.

Generasi kedua, enjin 3S-GTE tersebut dipertingkatkan dengan ciri intercooler air-to-air dan turbo jenis twin entry sekaligus meningkatkan angka output kepada 222 hp dan 304 Nm.

Generasi terakhir merupakan Celica paling berkuasa pernah dihasilkan, dengan enjin 3S-GTE yang telah dinaiktaraf (252 hp), di mana versi akhir mendapat ciri seperti hud aluminium, ABS empat saluran, turbo twin entry CT20B dan 'super strut suspension'.
 

8. Unit homologasi Celica GT-Four, 2500 unit sahaja


Untuk melayakkan Toyota memasuki kejohanan World Rally Championship (Group A), sebanyak 2,500 unit homologasi telah pun diproduksi dengan ciri tambahan seperti sistem anti-lag, unit penyembur air untuk intercooler hadapan, sistem suntikan air, spoiler kecil pada hud, dan extender spoiler belakang.

Daripada 2,500 unit yang dihasilkan, 2,100 unit dikhususkan untuk pasaran Jepun, 300 unit untuk pasaran Eropah, 77 (Australia) dan selebihnya untuk pasaran tertentu.

Unit untuk pasaran Jepun datang standard dengan sistem pendingin hawa automatik, dan brek ABS.

 

9. Toyota menipu dalam WRC?


Ini merupakan satu cerita menarik dari musim perlumbaan Rally Catalunya 1995, di mana pasukan Toyota didapati 'menipu' dengan menggunakan komponen restrictor yang tidak sah.

Pada ketika itu, Toyota telah berjaya menemui satu cara untuk membenarkan aliran udara ke dalam intake turbo melangkau meterai yang terdapat pada unit restrictor.

Ketika perlumbaan, plet restrictor itu akan 'dialihkan' beberapa inci sekaligus menggagalkan tujuan sebenar restrictor tersebut dipasang, dan kembali ke tempat asal tanpa meninggalkan kesan - sama seperti keadaan sebelum perlumbaan yang ditetapkan oleh FIA.

Penggunaan alat yang licik ini membolehkan kereta mendapat 25 peratus udara ekstra, dan menyumbang kepada penambahan kira-kira 50 bhp, tatkala regulasi Group A pada ketika ini memerlukan kuasa kereta dihadkan kepada 300 bhp.

Disebabkan kejuruteraan yang sangat genius itu, para hakim yang mengadili dan memeriksa kondisi kereta tersebut tidak dapat menemukan penipuan yang dilakukan oleh Toyota.

Menurut presiden FIA Max Mosley menyifatkan alat tersebut sebagai 'peranti paling sofistikated pernah saya lihat sepanjang 30 tahun bekerja'.

Disebabkan itu, Toyota Team Europe telah diharamkan daripada bertanding dalam WRC 1995 dan 1996.

 

10. Toyota Curren - Celica yang tidak ternama


Disebabkan kepopularitian Celica (dan Supra), tidak ramai yang tahu bahawa Celica juga pernah wujud dalam nama lain, iaitu Toyota Curren.

Toyota Curren dibina antara tahun 1994-1999 menggunakan casis daripada Celica T200 (generasi keenam) dan dijual eksklusif untuk pengedar Vista Store, tidak seperti Celica yang khusus untuk Corolla Store.

Boleh dikatakan kedua-dua model Celica dan Curren ini membawakan persamaan dari segi reka bentuk luaran dan dalaman, cuma yang membezakannya hanyalah bentuk lampu Curren yang lebih bersegi, berbanding Celica dengan lampu bulat.

Walaupun dengan tempoh produksi yang amat singkat, Toyota Curren berjaya dihasilkan sebanyak 42,000 unit!

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam perkembangan terkini, Celica dikatakan bakal menerima inovasi terbaharu Toyota, di mana ia…
Berita Global
Kali ini, berita tersebut datang sendiri daripada pengerusi Toyota, Akio Toyoda dalam satu temubual…
Informasi
"Dua botol plastik berkenaan akan dihantar kepada pakar bagi pengesahan lanjut. Siasatan lanjut…