Honda Civic Hatchback 1.5L VTEC TURBO kini dijual di Thailand - Harga RM147K!

oleh Careta.my|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Belum reda lagi dengan igauan Honda Civic Type R yang dipertontonkan di Pameran Kenderaan Geneva pada awal minggu ini, negara jiran Thailand pada kelmarin melancarkan pula Honda Civic Hatchback 1.5L VTEC TURBO. Model hatchback itu dijual pada harga THB 1,169,000 atau bersamaan RM 147,214.15 mengikut kadar tukaran semasa. Sebagai perbandingan, Honda Civic 1.5L VTEC TURBO Sedan dijual pada harga THB 1,099,000 (RM 138,398.93) dan THB 150,992.10 (RM 150,992.10) untuk gred RS. Honda Civic generasi kesepuluh mendapat sambutan hangat di Thailand dan sehingga kini telah pun terjual sebanyak 35,000 unit sejak ia dilancarkan setahun yang lalu. Honda Civic Hatchback Thai 2017.04 Di sana hanya terdapat satu varian yang dikenali sebagai CIVIC HATCHBACK berbanding model Civic sedan dengan empat varian iaitu TURBO RS, TURBO, 1.8 EL dan 1.8 E. Walaupun penampilan Civic hatchback berbeza namun ia masih mengekalkan garis dan lengguk bahasa gayaan Civic sedan. Honda Civic hatcback menggunakan lampu utama LED sama seperti model sedan. Kelengkapan lain seperti gril, lampu belakang, bampar depan dan belakang pula adalah unik untuk model ini. Di bahagian but belakang terdapat dua spoiler iaitu satu di bahagian atas manakala satu lagi merentasi but dengan lampu brek ketiga ditengahnya. Spoiler tengah itu diletakkan sama seperti model hatchback Honda iaitu CR-X, Insight dan CR-Z iaitu bukan dibucu cermin tetapi sedikit di atas bingkai dan bersambung dengan lampu belakang. Hasilnya ialah reka bentuk yang nampak anggun sekali. Nadi kuasa turut menggunakan semula seperti yang terdapat pada Civic sedan iaitu 1.5 liter DOHC VTEC TURBO dan dipadankan dengan transmisi CVT. Enjin itu berkuasa 173 hp pada 5,500 rpm dengan tork maksimum 220 Nm dari 1,700 hingga 5,500 rpm. Output kuasa enjin 1.5 liter VTEC TURBO sebenarnya berada dalam julat kuasa enjin 2.4 liter tetapi dengan penggunaan minyak yang hampir sama dengan enjin 1.8 liter. Memandangkan Civic hatchback lebih pendek iaitu berukuran 4,518 mm berbanding Civic sedan pada 4,630 mm, saiz storan but belakang juga mengecil iaitu 414 liter berbanding 519 liter pada Civic sedan. Walau bagaimanapun, Civic hatchback mempunyai kelebihan apabila ia dapat mencapai penggunaan ruang maksimum apabila kerusi belakang direbahkan tanpa apa-apa halangan seperti yang terdapat pada kereta sedan. Honda Civic Hatchback Thai 2017.01 Sistem multimedia pula menggunakan Advanced Display Audio bersaiz tujuh inci dengan keupayaan sambungan Bluetooth dan USB serta Apple CarPlay. Untuk lebih keselesaan, enjin boleh dihidupkan dari luar melalui butang Engine Remote Start pada suis kawalan jauh dan pada masa yang sama mengurangkan suhu panas dalam kereta melalui penyaman udara yang sedia terbuka. Untuk ciri-ciri keselamatan, Honda Civic hatchback dilengkapi enam beg udara, Sistem Bantuan Penstabilan (VSA), Hill Start Assist (HSA) serta Anti-lock Braking System (ABS) dengan Electronic Brake Distribution (EBD). Ciri-ciri lain pada model hatchback ini ialah Kamera Undur Pelbagai Sudut, Brek Parkir Elektronik, Isyarat Hentian Kecemasan (ESS), Auto Brake Hold, Walk Away Auto Lock serta pelbagai lagi kelengkapan. Honda Civic Hatchback ditawarkan melalui lima pilihan warna iaitu Midnight Burgundy Pearl, White Orchid Pearl, Crystal Black Pearl, Modern Steel Metallic dan Lunar Silver Metallic. Buat yang tertanya-tanya sama ada Honda Civic hatchback akan dipasarkan di sini atau tidak, jawapannya ialah Honda Malaysia belum memberi apa-apa pengesahan kecuali akan mengkajinya jika terdapat permintaan kuat dari pasaran. [gallery columns="4" ids="25803,25804,25801,25802"] Penulis: Muhammad Md Tajudin