Mitsubishi Eclipse Cross ini menggunakan pengaruh Evo dalam sistem pacuannya

oleh Careta.my|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Tidak mahu ketinggalan dengan pengeluar kenderaan antarabangsa lain, Mitsubishi Motors Corporation (MMC) turut mempunyai reruai (booth) di Pameran Kenderaan Geneva ke 87 yang berlangsung pada minggu ini. Di sana, MMC mempamerkan Mitsubishi eX concept iaitu model konsep crossover elektrik, ASX, Outlander dan L200. Paling mencuri tumpuan ialah model baharu Eclipse Cross yang bakal dijual di United Kingdom (UK) bermula awal tahun depan. Mitsubishi Eclipse Cross diposisikan di atas Mitsubishi ASX iaitu dalam segmen C SUV di mana ia sekelas dengan Honda CR-V, Nissan X-Trail, Volkswagen Tiguan dan seumpamanya. Reka bentuk - Dynamic Shield Concept Mitsubishi Eclipse Cross (C)MMC 2017.08 Apa yang menarik tentang Eclipse Cross ialah reka bentuk belakang yang berbeza dari pesaing lain dalam pasaran. Ia mempunyai pengaruh dari Mitsubishi Pajero Sport dan paling menyerlah sekali semestinya palang lampu yang merentasi pintu belakang ala Honda CR-X, CR-Z dan Insight. Bahagian depan pula menggunakan bahasa reka bentuk MMC iaitu Dynamic Shield concept dengan jeriji berwarna hitam dan diapit oleh jaluran krom pada kedua-dua belah sisi bampar. Bentuk rupa depan Dynamic Shield ini sememangnya kemas dengan garis-garis tajam dan Mitsubishi berjaya melahirkan identiti tersendiri seperti yang terdapat pada model Outlander dan Pajero Sport. Ia ringkas tetapi jelas, senang kata tepat pada sasaran tanpa drama yang bersimpang-siur. Bahagian dalaman pula adalah tipikal sebuah Mitsubishi, papan pemukanya minimalis tetapi terdapat beberapa peralatan yang menunjukkan Mitsubishi tidak mahu ketinggalan dengan trend semasa. Sebagai contoh, skrin multimedia ala tablet dan paparan meter pada cermin depan atau secara rasmi dikenali sebagai HUD (Head Up Display). Teknologi HUD boleh dianggap sebagai kelengkapan penting memandangkan ia dapat membantu pemandu supaya tidak mengalihkan pandangan ke tempat lain untuk membaca informasi wajib seperti meter kelajuan. Kerusi belakang pula boleh dilipat dengan nisbah 60:40 untuk kemudahan pemandu dan penumpang mengisi muatan yang ingin dibawa bersama. Bukan setakat boleh dilipat malah kerusi itu boleh dilaras ke depan atau belakang. Perehat belakang badan pula boleh dibaringkan untuk keselesaan penumpang. Nadi kuasa Mitsubishi Eclipse Cross (C)MMC 2017.06 Mitsubishi melengkapi Eclipse Cross dengan pilihan enjin yang menarik. Ia ibarat, satu ke utara dan satu ke selatan. Opsyen pertama ialah enjin baharu 1.5 liter turbo suntikan terus (direct injection) yang dipadankan transmisi 8 kelajuan CVT dengan fungsi Sport Mode. Satu lagi enjin ialah bersesaran 2.2 liter diesel turbo yang telah dibuat pengubahsuaian khusus untuk Eclipse Cross. Model enjin itu telah beberapa tahun di pasaran dan ia digunakan pada Mitsubishi ASX pasaran Eropah. Dipadankan dengan enjin diesel Eclipse Cross ialah transmisi baharu 8 kelajuan automatik. Sistem pacuan - Masih ingat dengan AYC Evo? Mitsubishi boleh dianggap sebagai pakar dalam teknologi 4WD, model lama seperti Pajero adalah buktinya. Pengetahuan, pengalaman dan kemahiran teknologi 4WD bukan sahaja ditimba dari SUV ikonik itu malah turut diraih dari dunia perlumbaan rali dan semestinya barisan jentera Mitsubishi Evolution. Menambah keterujaan ialah apabila laman web carscoops.com menerbitkan artikel yang mengatakan Eclipse Cross menggunakan teknologi AYC atau Active Yaw Control. Teknologi ini sebenarnya boleh dikatakan sebagai permulaan era sistem bantuan elektronik seperti yang terdapat pada Mitsubishi Evolution 7. Semasa Evo 7 dilancarkan, suiz AYC yang terletak di sebalik stereng dan pada papan pemuka kereta penumpang berprestasi itu adalah lambang teknologi tinggi (high tech) yang ada pada zaman tersebut (rindunya saat ini). Kini AYC digunakan pada Eclipse Cross yang berfungsi dalam menguruskan tujahan dan kuasa pembrekan pada roda terpilih mengikut gaya kereta dipandu. Ia mengambil input dari darjah putaran stereng, kadar pusingan (yaw rate) kereta, tork pemanduan, tekanan brek dan kelajuan roda. Mitsubishi Eclipse Cross (C)MMC 2017.04 Senang kata, AYC membahagikan kuasa pada roda terpilih supaya kenderaan mempunyai cengkaman optimum dan pada yang sama tidak tergelincir sewaktu selekoh. Jika dahulu, kebanyakan kereta berprestasi menggunakan LSD atau Limited Slip Differential untuk cengkaman di selekoh, kini kebanyakan kereta menggunakan sistem bantuan elektronik di mana sesebuah roda akan berpusing manakala sebuah lagi akan dikurangkan kuasa supaya kereta kekal berada di dalam laluannya. Selain dari itu, di ruang enjin terdapat pendakap tiga poin (tower brace) manakala pengukuhan struktur di bahagian belakang kenderaan menambah lagi ketegaran casis Eclipse Cross. Mitsubishi memberi penekanan kepada aspek tersebut bagi memastikan SUV ini mempunyai DNA pengendalian yang sama seperti produknya yang lain. Perhatian tersebut tidak menghairankan memandangkan memandu pikap Mitsubishi Triton pun terasa seolah-olah seperti sebuah kereta. [gallery columns="5" ids="25739,25733,25731,25735,25740,25732,25736,25737,25738,25734"] Penulis: Muhammad Md Tajudin Foto: © Mitsubishi Motors Corporation