Perodua serap kenaikan kos

oleh Careta.my|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh,  berkata hari ini bahawa pihak Perodua akan memastikan objektif penubuhan Perodua untuk menghasilkan kenderaan mampu milik yang berkualiti dan selamat untuk rakyat Malaysia tetap tercapai walalupun negara mengalami masalah pengukuhan matawang asing.

"Nilai US Dollar yang semakin meningkat adalah antara cabaran kami kerana kami masih membeli beberapa komponen dan bahan mentah dalam matawang tersebut," ujar beliau.

Aminar juga berkata pihak vendor Perodua turut sama mengalami cabaran tersebut.

"Kerana itu, Perodua berusaha membantu para vendor dalam pelbagai cara," tambah Aminar.

aminar-perodua-careta

Antara usaha Perodua termasuk menyerap kenaikan harga bahan mentah dan juga mempercepatkan bayaran kepada pihak vendor.

"Kami kini mengubah sistem pembayaran kepada vendor dan memastikan mereka boleh mendapat bayaran dalam masa 30 hari ataupun 15 hari, bergantung kepada jenis komponen," ujar beliau.

Usaha tersebut bertujuan untuk mengurangkan beban vendor agar pengeluaran dan kualiti komponen tidak terjejas.

"Menaikan harga produk kami ialah jalan terakhir," ujar Aminar.

"Kerana itu, buat masa sekarang, Perodua sanggup menyerap kos kenaikan harga komponen akibat pengukuhan US Dollar."

Di samping itu, Perodua turut mengadakan kempen jualan terakhir mereka untuk tahun 2016. Diskaun atau "overtrade" yang diberikan ialah antara RM2,000 hingga RM5,000.

Perodua juga memberikan pilihan alatganti asli yang lebih mampu milik dengan produk ProGanti mereka.

Ia menawarkan alatganti dengan harga yang lebih rendah untuk pemilik yang mahu kos servis yang lebih mampu tetapi masih mahukan kualiti servis dari Perodua.

Mungkin kerana itu, lebih dari 30 peratus pemilik Perodua yang sudah tamat waktu waranti masih berkunjung ke pusat servis Perodua, satu jumlah yang sangat tinggi untuk Malaysia.