Honda BR-V - dipandu uji di Thailand

oleh Careta.my|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
Setelah kami paparkan fakta-fakta tentang Honda BR-V di dalam artikel lalu, kini kami kongsikan pengalaman memandu uji BR-V ini di Bangkok ke Ratchaburi. Honda BR-V yang dipandu uji ini ialah spesifikasi Thailand, bermakna enjin 1.5L dan transmisi CVT tetap sama, cuma spek Thailand lebih bising kerana pengguna di Thailand tidak begitu perlu kenderaan yang senyap seperti di Malaysia. Mungkin kerana pengguna Thai sudah lali menaiki trak pikap, maka kabin yang senyap sedikit sahaja sudah memadai. Di Thailand, Honda ada menjual BR-V dengan lima tempat duduk sahaja, seperti Nissan Livina X-Gear dan Grand Livina di Malaysia. Namun Honda Malaysia berkata, hanya BR-V tujuh tempat duduk yang akan dilancarkan untuk pasaran kita. dsc_6301 Pandu uji Honda BR-V ini ialah dari hotel kami di Sathorn, Bangkok, ke Pasaya Factory Outlet di wilayah Ratchaburi. Jauh keseluruhan perjalanan ialah melebihi 200 km. Setiap BR-V dikongsi dengan dua orang media, dan Careta digandingkan dengan penulis senior, Geroge Wong dari Car Sifu, The Star. Ramai yang sangsi bagaimana BR-V ini dikatakan lebih murah dari Honda HR-V dan CR-V kerana BR-V mempunyai tujuh tempat duduk. Ini mudah untuk diterangkan - Honda CR-V menggunakan platform yang hampir sama dengan Honda Civic. Maka kelengkapan, kabin dan spesifikasi teknikal CR-V lebih modern dan mewah. img_9673 HR-V pula menggunakan platform Jazz dan City, yang juga lebih canggih dari platform Honda Brio yang digunakan sebagai asas kepada model BR-V ini. BR-V juga menggunakan enjin 1.5L sahaja, paling kecil berbanding dengan HR-V dan CR-V. Ruang dalam BR-V nampak modern dan premium - sehingga kita mengetuk panel-panel pintu dan papan pemuka - untuk mengurangkan kos, plastik keras digunakan. Namun, ia tidak nampak murah dan itu yang penting. Beberapa komponen di dalam kabin BR-V nampaknya dicedok dari City dan Jazz, demi mengurangkan kos. Namun begitu, ia nampak harmoni dengan rekabentuk keseluruhan dan sekali lagi, ia tidak nampak murah. Sistem audio yang digunakan ialah sebesar saiz dua DIN, dan mempunyai sambungan USB pada skrin paparan audio itu sendiri. Ini bermakna jika anda ingin mencucuk peranti USB anda, ia akan terbonjol keluar dari panel audio itu. Kurang cantik. img_9629 Kualiti audio biasa-biasa sahaja dan kawalan volume boleh dilakukan di stereng, atau pada muka utama skrin LCD audio itu. Model yang dipandu uji ini tidak mempunyai navigasi satelit tetapi Honda Malysia berkata, kamera undur dan Bluetooth ialah aksesori standard. Transmisi CVT Earth Dreams itu tidak mempunyai paddle shifters di belakang stereng, atau pilihan +/- pada tuilnya. Hanya ada P, R, N, D dan S (sport). Dengan enjin 1.5L serta gaya badan crossover yang tinggi, sebarang usaha untuk memandu secara sporti harus disambut dengan gelengan kepala tanda tidak setuju. img_0567 BR-V ini tidak lebar, tetapi boleh memuatkan kami berdua yang bertubuh agak sasa dan tinggi tanpa mengganggu penumpang di belakang. Stereng BR-V hanya ada pelarasan atas bawah sahaja dan tidak teleskopik. Hanya ada satu lubang pengecas 12V dan satu port USB yang dijumpai. Menyedihkan kerana sebagai sebuah kereta keluarga, ia patut ada lebih dari satu port pengecaj kerana setiap keluarga sekarang sudah ada minima 100 peranti mobil. Okay, tiga. img_9710 Barisan kedua ialah antara tempat paling selesa untuk duduk. Halakan blower di siling kepada anda, ke belakangkan sedikit kerusi itu dan baringkan. Anda akan tidur selama dua jam dengan lena, seperti penulis lakukan. Kerusi itu mungkin pendek dan tidak mempunyai sokongan peha yang panjang tetapi ia tetap selesa. Untuk duduk di belakang, tolak ke depan barisan kedua dan baringkan sedikit kerusi barisan ketiga dan seorang dewasa boleh duduk dengan selesa kerana Honda membuat kerusi barisan ketiga itu tinggi sedikit agar lutut tidak bengkok terlalu banyak seperti mencangkung. img_9718 Walaupun dengan penuh penumpang, ruang tempat letak barang atau boot masih wujud di belakang. Syabas jurutera Honda kerana berjaya membuat packaging kabin yang sangat baik! Kerusi barisan ketiga boleh dilipat ke hadapan sahaja dan tidak boleh “ditanam” ke dalam lantai atau ke tepi dinding. Ini keburukan menggunakan platform asas sebegini. Sistem gantungan atau suspension ialah pegas MacPherson di hadapan dan bar torsion di belakang. Penulis duduk di kesemua barisan dan tahniah Honda, tidak ada sebarang ayunan atau lambungan untuk membuat penumpang rasa mabuk laut. Ini jauh lebih baik dari MPV kecil lain dalam julat harga di bawah RM100,000 untuk jenama bukan nasional. dsc_1863 Di selekoh, BR-V mengambil selekoh dengan stabil tetapi jika dipaksa untuk masuk ke selekoh dengan laju, tayar hadapan akan tersasar (understeer) dan sistem Vehicle Stability Assist (VSA) akan diaktifkan untuk mengawal kenderaan. Dengan dua orang penumpang sahaja, BR-V ini mudah untuk meluncurkan ke kelajuan tinggi (melebihi 150 kmj) tetapi kami anggarkan dengan penumpang penuh, ia mungkin akan perlahan sedikit. Apapun, dengan enjin i-VTEC 1.5L yang modern itu, ia masih enjin yang paling berkuasa dalam genre ini dan BR-V tidak akan menjadi kenderaan paling perlahan di jalanraya. Ia tetap mempunyai cukup tenaga hasil pilihan ratio maya oleh CVT itu. Pecutan dengan dua orang penumpang cukup tegar, dan ada kalanya kami terpaksa mengejar konvoi, BR-V ini mampu melakukannya. Mungkin sedikit bising tetapi hanya bila pendikit ditekan secsra agresif sahaja. dsc_6203 Penggunaaan minyak nampaknya menarik - kami hanya menggunakan 3/4 dari tangki untuk perjalanan seharian sejauh 250 km yang penuh dengan pecutan laju dan trafik sesak. Terus-terang kami nyatakan, jika anda tidak mempunyai anak atau belum beristeri, dan anda mahu sebuah kenderaan untuk dipandu seharian, BR-V ini sebaik Honda City dan Jazz di jalanraya, tetapi dalam pakej yang lebih praktikal. Anda tidak perlu tunggu untuk berkeluarga bagi menjadi praktikal! Di bawah ialah galeri gambar-gambar Honda BR-Vdi Bangkok sekitar pandu uji kami di sana. Gambar dari Honda Malaysia. [gallery size="medium" ids="20787,20788,20789,20790,20791,20792,20793,20794,20795,20796,20797,20798,20799,20800,20801,20802,20803,20804,20805,20806,20807,20814,20808,20810,20811,20812,20813,20809"]