Rebat RM4,000 beli Iriz bagi usahawan Grab dan Uber

oleh Careta.my|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan memberikan wang pendahuluan sebanyak RM4,000 melalui skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kepada mereka yang mahu bekerja separuh masa sebagai pemandu perkongsian-perjalanan atau ride-sharing programme seperti Uber dan Grab Car. Menurut Najib, kerajaan menggalakkan rakyat dari golongan B40 (mereka dengan pendapatan isirumah di bawah RM3,900 sebulan dan ke bawah) untuk menceburkan diri dalam pekerjaan sampingan seperti menjadi pemandu Grab Car atau Uber bagi menambahkan pendapatan mereka. Ujar beliau lagi, pendapatan hasil pekerjaan Grab Car dan Uber mampu mencecah RM1,500 sebulan bagi yang menjalankan operasi tersebut secara sambilan, iaitu antara 10 hingga 40 jam seminggu. Untuk pemandu Grab Car/Uber yang beroperasi lebih dari 40 jam seminggu, Najib berkata pendapatan mereka boleh mencecah RM4,300. “Untuk mereka yang tidak mempunyai kenderaan bagi memulakan pekerjaan perkongsian pemandu ini, kerajaan akan memberikan wang pendahuluan sebanyak RM4,000 melalui skim BR1M bagi pembelian sebuah Proton Iriz baharu,” ujar beliau. Golongan B40 merangkumi sebanyak 40 peratus penduduk Malaysia tetapi mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang lebih pantas dari golongan M40 (middle income, 40 per cent - golongan pertengahan, pendapatan isirumah antara RM3,900 hingga RM8,300 sebulan) dan T20 (Top 20 per cent - mereka yang berada di zon 20 peratus tertinggi di dalam graf pendapatan isi rumah, melebihi RM8,300 sebulan). Mekanisma dan tarikh perlaksanaan program bantuan ini akan diumumkan kelak.