Kemalangan kereta pandu sendiri di Singapura

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Kereta pandu sendiri yang sedang diuji di jalan raya Singapura bertembung dengan sebuah lori pada hari Selasa (semalam). Kemalangan itu terjadi selepas kereta pandu sendiri bertukar lorong dan "memakan" sebahagian dari lorong yang dilalui lori tersebut. Kemalangan itu bagaimanapun tidak mendatangkan kecederaan walaupun dua orang jurutera nuTonomy, syarikat yang bertanggungjawab untuk menjalankan pembangunan dan ujian kereta pandu sendiri sedang berada di dalam kereta tersebut.

Menurut LTA (Land and Transport Authority), kereta pandu sendiri yang sedang diuji mestilah mempunyai pemandu keselamatan yang berkelayakan untuk mengawal kereta tersebut jika sesuatu yang tidak diingini terjadi.

Singapura yang mempunyai kadar keluasan tanah yang terhad, sedang menggalakkan pembangunan kereta pandu sendiri di negara itu sebagai satu cara untuk mengurangkan kesesakan jalan raya, iaitu dengan memupuk rakyatnya untuk berkongsi kereta.

NuTonomy, syarikat dari Amerika Syarikat yang sedang membangunkan dan menjalankan ujian kereta pandu sendiri di Singapura, bakal membantu mengeluarkan teksi pandu sendiri pertama di dunia.

Aplikasi perkongsian kereta Grab telah menjadi rakan kongsi nuTonomy pada bulan September lepas bagi membolehkan pengguna aplikasi telefon pintar tersebut membuat tempahan teksi pandu sendiri. Tempat menaikkan dan menurunkan penumpang telah disetkan pada sistem pemanduan kereta tersebut.

Menurut nuTonomy, walaupun kereta pandu sendiri mampu membawa penumpang ke tempat yang telah disetkan, jurutera nuTonomy tetap berada di dalam kereta bagi mengawal dari berlaku kemalangan yang tidak diingini. NuTonomy berharap servis teksi robot bakal beroperasi di jalan raya Singapura pada hujung tahun 2016 selepas menamatkan ujian dan tempoh percubaan.

Sumber: Ib Times