Kemalangan jalanraya - bagaimana anda boleh bantu

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bayangkan anda sedang memandu dan anda ternampak satu kemalangan di hadapan anda.

Alhamdulillah ramai di kalangan rakyat Malaysia akan berhenti membantu tetapi adakah kita tahu prosedur untuk memberi bantuan kemalangan?

Kami kongsikan apa yang kami pelajari dari buku Pengendalian Kecemasan Kemalangan Jalanraya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

WhatsApp Image 2016-08-15 at 4.50.04 PM

1. Berhenti sekiranya tiada bantuan lagi

Sekiranya kemalangan baharu berlaku, cari tempat yang selamat untuk berhentikan kenderaan anda. Jangan sampai anda menjadi punca kemalangan seterusnya kerana ia pernah terjadi.

Sekiranya tiada kebakaran, kosongkan kawasan kemalangan dalam jarak 30 meter radius. Sekiranya ada kebakaran, pastikan kawasan kemalangan (dalam radius 30 meter atau lebih) dikosongkan dengan segera.

Sekiranya anda lihat sudah ada ramai yang memberi bantuan, anda tidak perlu menambahkan lagi kekusutan trafik. Teruskan memandu.

Sekiranya anda seorang ahli paramedik bertauliah dan anda lihat tiada siapa yang sedang membantu mangsa, anda patut berhenti dan menolong.

2. Gunakan kenderaan sebagai pelindung (Fend Off)

13517579_10154007164679342_5302166925265638674_o

Sekiranya ada mangsa terbaring di atas jalanraya, cuba pakir kenderaan anda untuk dijadikan benteng bagi menghalang kenderaan dari melanggar mangsa. Pastikan anda parkir di kawasan yang kenderaan lain boleh nampak dari jarak sejauh 250 meter agar mereka sempat berhenti.

Jika kenderaan anda ada safety triangle, keluarkan dan gunakan. Sekiranya kemalangan berlaku di sebelah malam, pastikan lampu kereta anda tidak menyilaukan kereta mendatang. Gunakan lampu suluh untuk memberi amaran kepada pengguna lain.

Jika tiada tempat sesuai, turun dan berdiri di kawasan yang mampu dilihat oleh kenderaan mendatang. Beri amaran visual kepada mereka.

3. Hubungi pihak berkuasa.

Sekiranya di lebuhraya, telefon operator lebuhraya tersebut (PLUS, LPT, Besraya, dll). Jika tidak, dail 999 sudah mencukupi kerana operator itu akan menyambungkan anda dengan segera ke agensi yang berkenaan.

Bantu mereka untuk menilai tempat kejadian. Pastikan:
  • Beritahu keadaan trafik
  • Ada kebakaran atau tidak
  • Ada gas toksik atau tidak (lori tangki, wasap fizikal, dll)
  • Ada kabel elektrik (sekiranya kenderaan melanggar tiang elektrik atau tiang lampu)
  • Ada tumpahan minyak petrol atau bahanapi lain

4. Beritahu lokasi sebenar anda

Pastikan anda tahu lokasi anda. Sekiranya di lebuhraya, cuba periksa penanda batuan (road marker) dan beritahu operator lokasi anda di kilometer berapa, hala utara atau selatan dari Kuala Lumpur.

Jika tiada penanda batuan, gunakan bangunan (land mark) sebagai gambaran kasar lokasi anda (berhadapan dengan sekolah, di sebelah stesen minyak, sebelum pasar, dll).

Tanya penduduk tempatan atau tahan kenderaan lain untuk tanya lokasi tempat. Ia membantu ambulan dan pihak berkuasa sampai dengan lebih cepat.

5. Beritahu keadaan kemalangan

Terangkan keadaan kemalangan. Beritahu segera sekiranya ada mangsa tersepit atau cedera parah di luar kenderaan.

Beritahu maklumat penting seperti jenis kenderaan, berapa banyak kenderaan yang terbabit dan adakah cecair atau asap keluar dari mana-mana kenderaan tersebut.

6. Agihkan tugas

Sekiranya sudah ada orang awam lain berhenti, agihkan tugas sementara menunggu pihak berkuasa atau ambulan hadir.

Pastikan lalulintas di kawal dan ada laluan untuk ambulan.

Pastikan bukti kemalangan seperti kenderaan terbabit, bekas tayar, komponen kenderaan yang tercabut dan sebagainya tidak diganggu. Jika sempat, ambil gambar lokasi kemalangan.

Pastikan barang-barang berharga mangsa dijaga. Jika anda mahu menyimpannya supaya tidak dicuri, beritahu dengan pada orang awam di sekeliling anda bahawa barang persendirian mangsa ada dalam simpanan anda.

7. Bantuan kepada mangsa

Sekiranya anda tiada kemahiran paramedik, jangan bantu mangsa yang pengsan dan terbaring. Anda mungkin menambahkan lagi kecederaan mereka.

Jika mangsa masih sedar, bercakap dengan mangsa untuk pastikan ia tidak pengsan. Cuba bertanya akan cara menghubungi warisnya.

Anda juga boleh membantu memberitahu keadaan mangsa dengan cara kaedah AVPU:

  • Alert - sedar sepenuhnya
  • Verbal - sedar bila dikejutkan dengan percakapan kuat
  • Painful - sakit bila bergerak
  • Unresponsive - tidak sedarkan diri

Untuk mengetahui tahap pernafasan mangsa, anda boleh guna teknik Look, Listen and Feel

  • Look - lihat dada mangsa samada bergerak naik dan turun atau tidak
  • Listen - dengar pernafasan mangsa menggunakan telinga
  • Feel - rasa pernafasan mangsa dengan meletakkan pipi berhampiran mulut mangsa

Kesemua ini cara mudah dan ringkas untuk mengetahui keadaan mangsa tanpa perlu memegang mereka. Jangan berbuat sesuatu yang anda tidak pasti kerana anda mungkin menambahkan kecederaan mangsa

8. Serahkan lokasi kemalangan

49744995 - a vector illustration of paramedic giving help to an injured girl after accident

Apabila pihak berkuasa (polis) sudah tiba, serahkan semua barangan mangsa kepadanya dan tunggu untuk berikan maklumat diri anda.

Apabila ambulan atau bomba tiba, pastikan mereka ada kawasan untuk bertindak dan melakukan kerja-kerja menyelamat. Kebanyakan pasukan bomba sudah mempunyai pasukan paramedik mereka sendiri. Serahkan barangan peribadi mangsa kepada pihak polis sahaja.

9. Tampil jadi saksi

Sekiranya anda nampak apa yang berlaku, anda wajib menjadi saksi untuk membantu penyiasatan.

Ramai mangsa yang kerugian kerana tidak mendapat pampasan sepatutnya kerana saksi tidak mahu tampil membantu. Tunggu dan berikan maklumat anda kepada polis.

10. Jangan ambil sikap tak endah

Jangan anggap orang lain akan berhenti membantu. Sekiranya anda yang sampai dahulu ke lokasi kemalangan, beranikan diri dan bantu kerana suatu hari nanti, mungkin kita yang menjadi mangsa.