Terlalu banyak lampu isyarat - UK rugi lebih RM82 billion

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut laporan akhbar The Telegraph , UK mengalami kerugian ekonomi lebih dari RM82 billion setahun kerana kesesakan trafik akibat terlalu banyak lampu isyarat.

Seorang bekas Menteri Kabinetnya, Grant Shapps telah melakukan beberapa kajian ke atas 85 peratus dari majlis daerah seluruh UK, yang bertanggung-jawab terhadap 93 peratus jumlah jalanraya di negara tersebut.

Shapps mendapati UK mempunyai sebuah persimpangan dengan lampu isyarat pada setiap 9 km dari jumlah keseluruhan semua jalanraya yang dipantau (sepanjang 400,000 km).

Hasil kajian beliau turut mendapati jumlah persimpangan dengan lampu isyarat naik sebanyak 66 peratus sejak tahun 2000 tetapi jumlah kenderaan cuma naik sembilan peratus dalam tempoh waktu yang sama.

Laporan Shapps seterusnya mencadangkan agar majlis daerah membuang kebanyakan lampu isyarat tersebut kerana ia akan menjadikan jalanraya lebih efisien dan lebih bagus untuk ekonomi, seraya menjimatkan kos perjalanan rakyat.

Laporan itu juga berkata sekiranya lampu isyarat ditutup, sistem jalanraya direka kembali agar ia lebih bersifat "terbuka" dan mengamalkan konsep perkongsian antara pengguna, ini akan memaksa pemandu, penunggang motosikal dan basikal serta pejalan kaki untuk lebih bertanggung-jawab dan bergerak dengan lebih perlahan pada persmpangan tersebut.

Antara kes yang dijadikan conoth oleh Shapps ialah sebuah pekan bernama Kent di Ashford  yang telah membuang semua lampu isyaratnya dalam tahun 2008 dan kemudian mengubah susun atur jalanraya agar menjadi lebih mesra pengguna dan mudah. Hasilnya, jumlah kemalangan turun sebanyak 41 peratus dan kesesakan jalanraya turut dikurangkan walaupun jumlah kenderaan bertambah.

Di Malaysia, lihat sahaja bandar serba modern seperti Putrajaya dan cuba kira berapa banyak lampu isyarat yang wujud dan betapa teruk kesesakan di waktu puncak. Lihat juga berapa ramai yang melanggar lampu isyarat di Putrajaya kerana "tidak tahan menunggu lama di persimpangan kosong".

Mungkin pihak universiti tempatan boleh membantu kerajaan dan pihak majlis bandaran untuk mengkaji semula jalanraya tempatan agar ia lebih selamat dan kurang sesak agar duit rakyat tidak rugi begitu sahaja.

Ia juga penting untuk mengurangkan kadar kemalangan kerana walaupun kenyataan ini mungkin tidak dipersetujui oleh polis, rekaan jalanraya juga ialah salah satu faktor punca kemalangan di jalanraya.

Penggunaan kamera AES dan sebagainya dengan terlalu kerap hanya akan memberi tekanan mental kepada rakyat yang sudah mula merasai efek peningkatan kos hidup.